Khamis, 7 Julai 2022 | 3:49pm
Amyza pernah memberi petanda seolah-olah rumah tangga dibina selama 18 tahun mula goyah pada Disember lalu.
Amyza pernah memberi petanda seolah-olah rumah tangga dibina selama 18 tahun mula goyah pada Disember lalu.

Amyza 'meroyan' bila dicurangi

PUTRAJAYA: "Saya isteri pertama, kini dan selamanya," kata pelakon Amyza Aznan selepas menimbulkan spekulasi berhubung status perkahwinan dengan suami, Khairil Idzhar Md Nazir.

Pada 30 Disember lalu, Amyza memuat naik hantaran dalam Instagram (IG) memberi petanda seolah-olah rumah tangga yang dibina selama 18 tahun mula goyah.

Amyza berkata, rumah tangganya kini berada dalam keadaan baik.

"Jujurnya, tiada apa-apa kemelut berlaku dalam rumah tangga. Nak kata rumah tangga goyang, tidaklah goyah teruk, hanya manja-manja sahaja.

"Alhamdulillah, kini, semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

"Sebenarnya, jika ada masalah, kita perlu perbaiki, tetapi kalau tak boleh, tepuk dada tanya selera," katanya kepada BH Online.

Amyza ditemui pada sidang media supertele, Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara, hari ini.

Amyza masih bahagia melayari hidup bersama suami dan anak-anaknya.
Amyza masih bahagia melayari hidup bersama suami dan anak-anaknya.

Mengulas sejauh manakah kebenaran rumah tangga diuji dengan kehadiran orang ketiga, Amyza tidak menafikan pernah berdepan situasi itu.

"Bohonglah jika saya cakap tak pernah berhadapan dengan orang ketiga. Namun, bila suami datang balik dan berjanji tidak mengulangi perkara sama, jadi, kenalah beri peluang.

"Saya kena buang perasaan was-was dan letak kepercayaan kepada suami. Alhamdulillah, sekarang gangguan sudah tiada. Kalau ada pun, ada saya kisah?

"Namun, awalnya, saya meroyan dan marah, tetapi tidaklah sampai mencederakan suami.

"Biasalah, orang lelaki memang nakal, walaupun suami saya. Sudah namanya lelaki mesti ada sikap nakal, jadi biarkan. Kalau terlampau kawal, mereka rimas pula. Bila rimas, lagi mereka nak buat.

"Tak mengapa, buatlah, lambat laun mereka akan datang balik pada kita. Tetapi, itu pendapat saya, tak tahulah orang lain bagaimana," katanya.

Tambah Amyza, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak di atas apa yang berlaku dan sentiasa muhasabah diri untuk kekal positif.

"Kini, saya hanya berserah. Saya berfikir setiap apa yang berlaku dan setiap perbuatan suami, semuanya dari kekurangan saya sebagai isteri tidak sempurna.

"Jadi, dari situ, saya reda dan akan terima sahaja. Kalau terus menyalahkannya, saya akan sentiasa marah dan tidak menerima permohonan maaf.

"Jadi, saya muhasabah diri. Apa yang terjadi mungkin salah saya kerana tidak menjaga suami dengan baik. Dari situ, saya memperbaiki diri.

"Saya percaya wanita baik untuk lelaki baik, jadi, saya cuba jadi yang terbaik untuk dirinya," katanya.

Amyza dan Khairil mendirikan rumah tangga pada 2004. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Andre Mikhail, Andrian Adam dan Ayden Andika.

Berita Harian X