Ahad, 3 Julai 2022 | 8:30am
Azzam dan isterinya, Shazwanie bernikah pada 1 Januari lalu. Foto Ihsan Azzam Sham
Azzam dan isterinya, Shazwanie bernikah pada 1 Januari lalu. Foto Ihsan Azzam Sham

Azzam, isteri bakal timang cahaya mata

KUALA LUMPUR: Selepas lebih enam bulan bernikah, pasangan artis, Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie mengesahkan bakal bergelar ibu bapa, tidak lama lagi.

Berkongsi berita gembira di Instagram (IG), Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzammuddin Lop Hisham mengesahkan isterinya hamil lima bulan.

Azzam yang juga penyanyi lagu Cinta Jangan Pergi bagaimanapun enggan berkongsi jantina cinta hati mereka itu.

"Tiada kejutan apa-apa. Cuma, apabila tiba waktunya, pasti kami dedahkan.

Azzam menjelaskan ketika trimester pertama, isterinya, Shazwanie berdepan alahan teruk. Foto Ihsan Azzam Sham
Azzam menjelaskan ketika trimester pertama, isterinya, Shazwanie berdepan alahan teruk. Foto Ihsan Azzam Sham

"Cuma, kalau diizinkan, saya mahu anak perempuan. Tetapi kalau dapat anak lelaki, saya dan isteri memanjat kesyukuran," katanya yang menjuarai musim ketiga program realiti, Big Stage.

Azzam berkata, ketika trimester pertama, Shazwanie berdepan alahan teruk.

"Memang isteri cepat mual dan hendak muntah. Saya kasihan melihat dirinya.

"Isteri juga sensitif dengan pelbagai bau. Lucunya, kadang-kadang apa yang dia hidu, saya tak bau pun. Tetapi saya layan juga," katanya.

Pasangan yang bernikah sejak 1 Januari lalu mengharapkan doa yang baik dan dipermudahkan proses kehamilan dan bersalin kelak.

"Kami berharap urusan isteri saya dan kandungan yang bakal dilahirkan, dipermudahkan.

"Moga bakal anak ini akan menjadi anak yang soleh, penyejuk mata, penenang hati, membesar dengan baik dan sihat walafiat.

"Semoga dirinya menjadi insan berjasa kepada agama Islam dan masyarakat... Amin Ya Mujib," kongsinya melalui entri IG.

Azzam sedang rancak mempromosikan single baharu, Pusara Kasih.

Berita Harian X