Sabtu, 2 Julai 2022 | 6:23pm
Ras Adiba (empat dari kiri) dan suami, Mohamed Azam bergambar bersama tetamu pada majlis resepsi di sebuah hotel di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
Ras Adiba (empat dari kiri) dan suami, Mohamed Azam bergambar bersama tetamu pada majlis resepsi di sebuah hotel di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA

Resepsi Ras Adiba, suami meriah

PORT DICKSON: Resepsi perkahwinan Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan suaminya, Mohamed Azam Ali berlangsung meriah di Hotel Regency Resort di sini, hari ini.

Berkonsepkan serba putih, majlis itu diadakan di luar pekarangan hotel berhampiran pantai dengan dihadiri kira-kira 300 tetamu merangkumi ahli keluarga dan rakan terdekat.

Bekas personaliti penyiaran berusia 54 tahun itu bernikah dengan Mohamed Azam yang juga ahli perniagaan, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2 Jun lalu.

Ras Adiba adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Presiden Persatuan OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang hak Orang Kurang Upaya (OKU).

"Alhamdulillah, kami dapat bersama dan disatukan. Kali ini, majlis dapat diadakan dengan kehadiran keluarga dan sahabat serta rakan media.

"Saya juga bersyukur majlis dapat diadakan di kampung ayah saya di Negeri Sembilan. Lebih menarik, ada ramai kakitangan BERNAMA yang masih berkhidmat dan bersara hadir menyerikan majlis.

"Mereka datang memberi sokongan kepada saya dan suami.

"Saya sangat berbesar hati, inilah silaturahim yang mesti diteruskan," katanya kepada pemberita.

Ras Adiba dan suami, Mohamed Azam Ali beramah mesra dengan Aminuddin pada majlis resepsi di sebuah hotel di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
Ras Adiba dan suami, Mohamed Azam Ali beramah mesra dengan Aminuddin pada majlis resepsi di sebuah hotel di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA

Mohamed Azam, 60, menzahirkan rasa syukur apabila majlis resepsi berlangsung dengan meriah dan berdoa agar pernikahan itu kekal selama-lamanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian McFeeters serta petugas BERNAMA.

Turut hadir memeriahkan majlis bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BERNAMA, Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang BERNAMA, Khairdzir Md Yunus dan bekas Timbalan Ketua Pengarang, Ahmad Fuad Yahya.

Bekas personaliti penyiaran seperti Zakiah Anas turut hadir dan majlis dimeriahkan dengan persembahan Datuk M Nasir dan Jay Jay, atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus. - BERNAMA

Ras Adiba (depan, kanan) dan suaminya Mohamed Azam (belakang, kanan) bergambar bersama tetamu. - Foto BERNAMA
Ras Adiba (depan, kanan) dan suaminya Mohamed Azam (belakang, kanan) bergambar bersama tetamu. - Foto BERNAMA

Berita Harian X