Sabtu, 2 Julai 2022 | 3:00pm
Ezuwan berkongsi, hampir 1,000 baju pernah ditempah arwah Adibah, tetapi beliau menolak tajaan, sebaliknya suka menyokong bisnes rakan. - Foto Zaidi Mohamad
Ezuwan berkongsi, hampir 1,000 baju pernah ditempah arwah Adibah, tetapi beliau menolak tajaan, sebaliknya suka menyokong bisnes rakan. - Foto Zaidi Mohamad

Arwah Adibah sokong bisnes rakan, tak cerewet

KUALA LUMPUR: Selain Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Ezuwan Ismail kehilangan seorang lagi bintang yang sentiasa mempercayai hasil kreatifnya sebagai pereka fesyen, iaitu Allahyarham Adibah Noor.

Nyata, pemergian dua figura terkenal ini amat menyentuh hati dan memberi kesan kepada dirinya.

Ezuwan berkata, mereka antara insan yang sentiasa mempercayai kebolehannya dalam menghasilkan rekaan untuk artis bertubuh gempal.

"Seperti arwah Kak Pah (Sharifah Aini), arwah Adibah juga selesa menggunakan khidmat saya sejak lebih sedekad lalu. Hampir 1,000 baju pernah ditempah arwah, tetapi beliau jenis menolak tajaan, sebaliknya suka menyokong bisnes rakan.

"Arwah berkongsi mengenai penyakit kanser ovari yang dideritai ketika saya ke rumahnya di Pandan Indah untuk mengecilkan baju yang ditempah pada pertemuan terakhir pada 5 Jun lalu.

"Saya memang terkejut melihat perubahan wajah dan fizikalnya, namun saya percaya arwah kuat. Namun, saya macam tak percaya dan baru sahaja bertemu ketika menerima berita pemergiannya. Saya yakin arwah boleh sembuh, tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya kepada BH Online.

Ezuwan yang juga anggota kumpulan trio E1 berkata, dia memberi semangat kepada arwah pada pertemuan terakhir itu.

"Saya cakap kena kuat menempuh ujian dan boleh sembuh. Saya juga menawarkan diri membeli apa-apa yang ingin dimakan. Cakap sahaja, saya boleh cari dan uruskan," katanya yang turut menghadiri pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai pada 19 Jun lalu sebagai penghormatan terakhir.

Ezuwan berkata, mereka bertemu pada sebuah acara fesyen yang dihoskan arwah pada 2011 yang juga detik permulaan kerjasama.

"Masa itu, saya datang bersama arwah Kak Pah. Sebelum kenal dengan arwah, ramai mencabar saya untuk menghasilkan rekaan baju untuk arwah.

"Selepas melihat busana rekaan saya untuk arwah Kak Pah, arwah tergerak nak guna khidmat saya. Daripada tempah tiga pasang dan selesa dengan ukuran badannya, tempahan bertambah sehingga lebih 1,000 pakaian.

"Kali pertama arwah datang membuat ukuran badan di rumah saya. Masa itu, saya belum memiliki butik.

"Selepas itu, urusan kami banyak menerusi aplikasi WhatsApp dan pengurusnya. Semua tempahan akan dibeli tanpa mengharapkan tajaan," katanya ketika ditemui untuk program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin.

Tambah Ezuwan, arwah sangat selesa dengan saiz badannya, malah, jenis tak banyak 'songeh'.

"Bagi mereka yang tak kenal arwah, mesti berprasangka arwah seorang diva. Tetapi, hakikatnya, arwah baik hati dan tidak cerewet.

"Sampai satu tahap, arwah hanya lepas tangan untuk saya menampilkan kreativiti. Arwah hanya beritahu warna fabrik dan jenis baju apa yang dikehendaki.

"Sepanjang menghasilkan rekaan baju, arwah tak pernah merungut soal saiz dan bentuk badannya. Arwah selalu bergurau, kalau ada perubahan saiz, tambahlah seinci dua sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pada pemerhatian saya, arwah tak pernah risau soal bentuk tubuhnya. Janji, baju saya reka untuknya dapat menampakkan ilusi kurus. Itu juga mungkin jadi faktor arwah selesa menggunakan khidmat saya," kata Ezuwan sambil menjelaskan arwah juga mengesyorkannya menyiapkan pakaian untuk penyampai radio dan kakitangan Suria FM.

Ezuwan menunjukkan tiga baju arwah Adibah yang pernah diguna dalam GV8 yang belum sempat dikecilkan ukuran. - Foto Zaidi Mohamad
Ezuwan menunjukkan tiga baju arwah Adibah yang pernah diguna dalam GV8 yang belum sempat dikecilkan ukuran. - Foto Zaidi Mohamad

Menceritakan semula detik terakhir pertemuan di kediaman arwah, pereka fesyen kelahiran Kelantan itu mengakui dia amat terkejut perubahan mendadak dialami arwah.

"Bahagian bahu dan pergelangan tangan arwah sudah mengecil. Arwah nampak lesu, pucat dan tidak sihat.

"Beliau mengenakan 'snow cap' untuk menutup kepalanya yang sudah botak. Arwah terpaksa cukur rambut sampai licin. Saya tergerak hati mahu membelikan arwah rambut palsu untuk dihadiahkan kepadanya.

"Dalam hati, mulanya saya fikir arwah buat pembedahan bariatrik atau potong perut. Tetapi, arwah menderita sakit.

"Kemudiannya, barulah arwah berkongsi cerita mengenai penyakit kanser ovari tahap empat yang diketahui sejak awal Ramadan lalu," katanya.

Ezuwan mendedahkan, dia berbual dengan arwah selama dua jam.

"Semuanya diceritakan tanpa rahsia. Mungkin arwah percayakan saya, jadi saya perlu hormati keputusan arwah untuk tidak mendedahkan perkara ini," katanya memberitahu arwah memintanya menyiapkan tiga busana baharu dan mengecilkan tiga lagi ukuran pakaian yang pernah digunakan ketika menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim kelapan.

Katanya, dia sempat menyiapkan tiga baju baharu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 18 Jun lalu.

"Salah satunya, baju berwarna jingga yang tular kerana perubahan bentuk badannya yang hilang 18 kilogram.

"Bagaimanapun, tiga baju yang pernah dipakai dalam GV8 dan menjadi kesukaan arwah belum sempat saya kecilkan. Saya akan kembalikan kepada pengurusnya.

"Lagipun, tiga baju ini milik arwah kerana sudah dibayar. Ia bukan hak saya untuk disimpan sebagai kenangan," katanya.

Sepanjang lebih 10 tahun bekerjasama, Ezuwan mengakui, agak ralat tidak mempunyai gambar kenangan bersama arwah.

"Saya memang jarang bertemu arwah sepanjang bekerjasama. Arwah menghadiri pertunjukan fesyen, tetapi saya pula tiada kerana menunaikan umrah.

"Ketika pertemuan terakhir, saya tak sampai hati mahu mengabadikan gambar bersama. Wajah arwah pucat apabila berat berat menyusut.

"Biarpun tiada gambar bersama, tetapi kenangan bersama arwah tetap abadi dalam ingatan," katanya.

Berita Harian X