Khamis, 30 Jun 2022 | 3:00pm
Lagu Makna sesuai dengan jiwa Salwa, biarpun berkolaborasi dengan penyanyi rap, Red Rahimad.
Lagu Makna sesuai dengan jiwa Salwa, biarpun berkolaborasi dengan penyanyi rap, Red Rahimad.

Salwa gabung pop latin, dangdut dalam Makna

KUALA LUMPUR: Jika diikutkan hati, penyanyi era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman tidak berminat merakamkan lagu baharu. Namun, dek pujukan anak saudaranya, Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim, penyanyi Satu Dua Kau ini mengalah.

Kali terakhir masuk studio enam tahun lalu, Salwa, 57, mengaku mahu mengurangkan aktiviti seni dan kurang berminat menghasilkan single, mahu pun album.

"Namun, Aman bersungguh mahu saya merakam lagu baharu bersama penyanyi rap, Red Rahimad.

"Jadi, semangat itu datang daripada Aman. Kalau saya sendiri, keinginan untuk menyanyi hanya tinggal 50 peratus, biarpun masih penuhi undangan persembahan," katanya kepada BH Online.

Selepas mendengar melodi dan lirik single baharu yang hendak dirakam, Salwa bagaimanapun tertarik.

"Lagu diberi judul Makna itu sesuai dengan jiwa biarpun berkolaborasi dengan penyanyi rap," katanya yang merakamkan single I Miss You, kira-kira enam tahun lalu.

Single Makna dirakam Salwa yang dicungkil bakat melalui Pertandingan Bintang Radio Pujaan Negeri Johor 1985, dicipta Red, Aman, Pown Hasril, Otromen dan Ariff Peter.

Makna menggabungkan genre pop latin dan dangdut.

Akui Salwa, selepas lama tidak kembali ke studio rakaman, dia berdebar-debar.

"Pada mulanya, saya gementar kerana menyangka saya perlu 'rap.' Tak tidur malam dibuatnya kerana runsing.

"Rupa-rupanya, saya hanya perlu menyanyi pada bahagian dangdut, manakala Red melantunkan 'rap'," katanya.

Kali terakhir masuk studio enam tahun lalu, Salwa mahu mengurangkan aktiviti seni dan kurang berminat menghasilkan single, mahupun album.
Kali terakhir masuk studio enam tahun lalu, Salwa mahu mengurangkan aktiviti seni dan kurang berminat menghasilkan single, mahupun album.

Salwa berkata, single Makna membawa pembaharuan dalam katalog muzik yang dihasilkannya kerana kali pertama berganding dengan artis rap.

"Terbit keinginan untuk mencuba. Alhamdulillah, proses rakaman lancar dan tidak mengambil masa lama.

"Mungkin lagu itu lebih kurang dangdut, jadi mudah menghayatinya," kata isteri kepada bekas pemain bola sepak skuad Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz itu.

Sempat merakamkan video muzik single Makna, Salwa berharap bingkisan baharu itu mendapat maklum balas baik peminat.

Sementara itu, Salwa yang sudah lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, berterima kasih kepada suami serta dua anak yang sentiasa menyokong dirinya.

Tambah Salwa, suami tidak pernah mengongkong keinginannya untuk menyanyi. Sebaliknya, Subadron sentiasa memberi semangat untuk terus melangkah.

"Itu satu daripada sebab membuatkan saya gembira dan tidak tertekan. Anak juga beri galakan.

"Saya lakukan semua ini secara sukarela dan besar hati. Mudah-mudahan, single Makna diterima serta dapat diputarkan di radio.

"Apabila sampai masanya untuk berundur, saya akan pergi kerana saya tidak berhasrat untuk menyanyi sampai tua. Saya ada sasaran sendiri dan tahu bila masa sesuai untuk mengucapkan selamat tinggal kepada industri seni," katanya.

Lagu dan video muzik Makna dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun lalu dan boleh ditonton di saluran YouTube COF Music.

Berita Harian X