Jumaat, 24 Jun 2022 | 1:00pm
Yin May menyifatkan hasil sentuhan Tiara berjaya memberi dimensi baharu kepada penghasilan video panduan keselamatan penerbangan. - NSTP/Aziah Azmee
Yin May menyifatkan hasil sentuhan Tiara berjaya memberi dimensi baharu kepada penghasilan video panduan keselamatan penerbangan. - NSTP/Aziah Azmee

Klip video himpun tokoh popular

KUALA LUMPUR: Sejak dimuat naik di YouTube kelmarin, video panduan keselamatan terbaru terbitan Malaysia Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), tular dan menjadi topik laman sembang.

Diarah figura seni yang banyak menghasilkan projek pentas bertaraf antarabangsa seperti Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) dan P Ramlee The Musical, iaitu Puan Seri Tiara Jacquelina, klip video berdurasi tujuh minit 36 saat berjudul Satu, Dua, Tiga, Jom! itu mendapat reaksi baik penonton yang rata-ratanya kagum dengan kreativiti ditonjolkan.

Paling ketara, klip video yang akan mula disiarkan dalam pesawat Malaysia Airlines, Ogos depan, menghimpunkan ramai tokoh popular merangkumi pelbagai bidang.

Antaranya, ahli astrofizik, Tan Sri Mazlan Othman; Ikon Kemanusian, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood; Miss Malaysia/Universe 2020, Francisca Luhong James; gimnas negara, Farah Ann Hadi dan pereka fesyen, Syomir Izwa Gupta.

Tidak ketinggalan selebriti popular Diana Danielle; Datuk Yusry Abd Halim bersama isteri, Datin Lisa Surihani serta dua anak; selain Sangeeta Krishnasamy; penyanyi rap, Arabyrd; Azman Naim; penyanyi jazz, Ida Mariana; pelakon Ola Bola The Musical dan kru kabin Malaysia Airlines.

Melihat barisan pelakon ditampilkan, mungkin ramai menyangka kos pembikinan video panduan keselamatan Malaysia Airlines ini, tinggi.

Namun, bagi Tiara, tiada yang lebih menyentuh hati apabila ramai daripada pelakon terbabit yang juga kenalannya, sanggup dibayar 'token' iaitu dalam kadar rendah sebagai tanda, demi merealisasikan projek itu.

Atas kesudian mereka, sebahagian daripada kos pembikinan klip video itu dapat dijimatkan.

Tiara berkata, beliau memilih anak tempatan yang juga personaliti terkenal untuk dipaparkan dalam klip video berkenaan bagi melambangkan semangat Malaysia.

"Pada mulanya, kami ingin menghasilkan video keselamatan melambangkan budaya Malaysia. Namun, konsep itu dikembangkan dengan memaparkan semangat Malaysia kerana ramai figura hebat terbabit dalam projek ini.

"Saya beruntung berjaya menghimpunkan ramai figura hebat kerana kebanyakan daripada mereka adalah kenalan saya. Saya juga sangat berbesar hati apabila mereka sanggup muncul biarpun dibayar 'token'. Jadi, apabila membabitkan ramai figura hebat, pasti ramai yang menyangka kos menghasilkan video keselamatan ini menelan jutaan ringgit.

"Hakikat sebenar bukan begitu. Kami juga faham keadaan Malaysia Airlines selepas pandemik COVID-19," katanya kepada BH Online.

Tiara berkata, syarikat penerbitannya, Enfiniti Productions (M) Sdn Bhd berusaha menghasilkan klip video yang tampak mahal, namun mengikut bajet Malaysia Airlines.

"Dengan kerjasama 150 bakat yang sanggup bertolak ansur dalam soal kadar bayaran, ia sangat membantu dalam aspek penjimatan kos," katanya.

Tiara dan Yin May bersama barisan pelakon yang menjayakan video panduan keselamatan berjudul Satu, Dua, Tiga, Jom! - NSTP/Aziah Azmee
Tiara dan Yin May bersama barisan pelakon yang menjayakan video panduan keselamatan berjudul Satu, Dua, Tiga, Jom! - NSTP/Aziah Azmee

Tiara berkata, biarpun dipersembahkan dalam bentuk muzikal, klip video itu memaparkan lapan langkah keselamatan yang wajib dilaksanakan mengikut syarat industri penerbangan antarabangsa seperti pemakaian tali pinggang keledar dan jaket keselamatan serta panduan lain.

Tambah Tiara, beliau cukup berhati-hati dalam memberi sentuhan kreatif pertama sebagai pengarah kerana enggan mengecewakan MAS sebagai klien dan rakyat Malaysia.

"Bukan mudah hendak memastikan penumpang memberi perhatian ketika kru kabin menyampaikan langkah keselamatan dalam pesawat. Jadi, kepercayaan diberi Malaysia Airlines adalah tanggungjawab besar buat saya untuk memastikan penonton 'melekat' kepada klip video itu.

"Sehubungan itu, saya ambil masa hampir tiga bulan untuk tampil dengan konsep video. Ini termasuk membuat persediaan intensif seperti penghasilan papan cerita, komposisi lagu, latihan sehinggalah kepada penggambaran selama tiga hari.

"Saya tidak boleh mengelak daripada berasa gementar kerana ini taruhan pertama sebagai pengarah. Namun, bagi memantapkan sentuhan, saya dapatkan khidmat Yusry kerana beliau lebih mahir dalam sudut teknikal," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May, mengakui terkesima dengan hasil sentuhan Tiara.

Yin May berkata, pihaknya tidak menyangka Tiara tampil dengan klip video hebat, malah tersasar daripada jangkaan awal.

Namun, tambahnya, apa yang penting, Malaysia Airlines memastikan panduan keselamatan diterima penumpang.

Tambahnya, lapan langkah keselamatan wajib sebelum pesawat berlepas perlu disampaikan dengan tepat dalam klip video berkenaan.

"Kami bentangkan papan cerita kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum penggambaran dilakukan. Ini kerana kami ingin memastikan video keselamatan yang berkonsep muzikal ini, diluluskan. Apa yang penting, lapan langkah keselamatan wajib tidak boleh diabaikan.

"Tiara berjaya merealisasikan projek ini malah memberi dimensi baharu kepada penghasilan video keselamatan penerbangan," katanya.

Dikatakan video keselamatan penerbangan berkonsep muzikal yang pertama kali diterbitkan syarikat penerbangan dunia.

Versi tontonan penumpang sebelum berlepas berdurasi empat minit, manakala versi penuh boleh ditonton melalui hiburan atas penerbangan dan platform YouTube.

Berita Harian X