Rabu, 22 Jun 2022 | 3:00pm
Hisham dan Scha mahukan lakonan semula jadi apabila membawa watak suami isteri, bukannya sengaja hendak menggatal.
Hisham dan Scha mahukan lakonan semula jadi apabila membawa watak suami isteri, bukannya sengaja hendak menggatal.

Hisyam, Scha panggil 'Baby' cipta keserasian

KUALA LUMPUR: Mengisi slot Samarinda di TV3 sejak 16 Mei lalu, keserasian antara teraju utama, Hisyam Hamid dan Scha Elinnea dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan, tampak cukup ketara dan bukan dibuat-buat.

Berkongsi rahsia, rupa-rupanya Hisyam yang melakonkan watak Farel Zafeeq, meminta Scha yang menghidupkan karakter Raina Badrina, membahasakan diri masing-masing sebagai 'B' atau 'Baby' ketika berkomunikasi sepanjang masa di lokasi penggambaran.

Hisyam, 37, menjelaskan, usaha itu diambil bagi mewujudkan keserasian dalam menghidupkan watak sebagai suami isteri.

"Kami perlu ada keserasian sebab ikut jalan cerita, kami akan lebih rapat pada penghujung cerita. Jadi, kami kena panggil diri masing-masing 'B' atau 'Baby' sepanjang penggambaran.

"Apabila biasa dengan panggilan itu, di hadapan kamera, kami tampak semula jadi. Perkara ini nampak kecil dan remeh atau ada orang fikir, kami sahaja hendak menggatal.

"Namun, ia sebenarnya penting untuk nampak serasi di skrin.

"Jadi, ramai penonton komen suka tengok keserasian kami yang sudah dipupuk lebih awal," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Hisyam menegaskan, panggilan 'B' atau 'Baby' antara mereka hanya di lokasi penggambaran.

"Di luar, tidaklah begitu. Isteri saya juga okay. Apa sahaja yang saya buat, isteri tahu. Ikut cara saya, apa yang berlaku di set, kekal di sana," katanya.

Hisyam menegaskan, panggilan ‘B’ atau ‘Baby’ antaranya dan Scha hanya di lokasi penggambaran dan diketahui isterinya.
Hisyam menegaskan, panggilan ‘B’ atau ‘Baby’ antaranya dan Scha hanya di lokasi penggambaran dan diketahui isterinya.

Hisyam mengaku rapat dengan Scha di set penggambaran.

"Kami banyak melakukan perkara bersama. Scha selalu berkongsi masalah dan saya pula, kongsi pengalaman. Namun, semua itu untuk mendapatkan keserasian.

"Bagi saya, dalam menjayakan watak pasangan bercinta, kena ada keserasian yang kuat. Penonton kena percaya dengan watak kami.

"Jadi, kalau di set pun janggal, tidak banyak berbual, elemen itu akan nampak di televisyen (TV)," katanya ditemui pada Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Sebelum ini, Hisyam pernah bekerjasama dengan Scha dalam drama Hatimu Sedingin Salju.

Hisyam turut menjelaskan aksi mesra bersama Scha dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan yang dianggap keterlaluan.

"Sebagai pelakon, ada babak yang kita rasa okay, kita buat. Tetapi, kalau babak keterlaluan, saya tak buat.

"Bergantung kepada pengarah apakah sesuai atau tidak. Saya tahu, babak mesra sensitif, mungkin ada penonton suka dan benci.

"Saya lakonkan babak ikut kesesuaian. Kalau fikir tidak perlu, saya tak buat. Mesti batasan dan tidak boleh keterlaluan," katanya.

Sementara itu, Hisyam terkejut drama Kerana Aku Isteri Bidaan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan, terutama di TikTok.

"Saya tiada akaun TikTok. Saya tengok 'view' beratus ribu dan komen banyak. Saya baca ramai yang tahu mengenai drama ini melalui TikTok," katanya.

Baru-baru ini, TV3 mengumumkan drama Kerana Aku Isteri Bidaan dan dua drama lain, iaitu Melur Untuk Firdaus dan Bisik-Bisik Gelora, merekodkan lebih 2.5 juta penonton ketika bersiaran dari jam 7 malam sehingga 11 malam pada 15 Jun lalu.

Berita Harian X