Rabu, 15 Jun 2022 | 7:34pm
Noor Kartini mempertahankan anaknya, Ameera apabila diasak soal tidak lagi tampil berhijab.
Noor Kartini mempertahankan anaknya, Ameera apabila diasak soal tidak lagi tampil berhijab.

'Little Miss Khan' belum berhijab sempurna

PETALING JAYA: Ibu kepada personaliti media sosial, Nur Ameera Khan iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed tidak melenting, sebaliknya hanya tersenyum apabila diasak persoalan anaknya yang kini tampil tidak berhijab.

Noor Kartini berkata, Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan bukan berhijab secara sempurna dan masih dalam proses memperbaiki diri.

"Jika tengok Ameera, dia bukan bertudung penuh. Dia masih pakai topi, ikat rambut dan sebagainya. Maksudnya, Ameera masih dalam fasa melatih dirinya.

"Jadi, saya rasa lebih kita mendoakan yang baik-baik sebab perkara baik akan berbalik kepada kita juga, insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Noor Kartini ditemui pada majlis Gold Rally Winner Celebration di Colony, Mutiara Damansara, petang tadi.

Meskipun berhadapan pertanyaan mahupun kata negatif netizen mengenai anak-anaknya, Kartini berkata, dia tidak sesekali tertekan.

Malah, ibu kepada lapan orang itu bersyukur anak-anaknya tidak melakukan perkara tidak senonoh.

"Saya bersyukur, boleh dikatakan tiada satu pun anak-anak saya orang nampak berada di kelab malam, minum, mabuk dan merokok. Semuanya tiada.

"Kalau ikutkan dengan cara kehidupan di ibu kota ini, banyak benda lebih teruk. Tetapi, Alhamdulillah, kita duduk di sekeliling keluarga.

"Ameera lebih banyak keluar dengan adik-beradiknya, kecuali acara membabitkan jenama besar yang menjemputnya hadir seorang diri.

"Mungkin keluarga kami dikenali, jadi benda kecil pun orang nampak besar. Sedangkan, mereka sendiri mungkin menghadapi isu lebih besar, tetapi secara tertutup," katanya.

Noor Kartini tidak sesekali tertekan meskipun berhadapan pertanyaan mahupun kata negatif netizen mengenai anak-anaknya. - NSTP/Aswadi Alias
Noor Kartini tidak sesekali tertekan meskipun berhadapan pertanyaan mahupun kata negatif netizen mengenai anak-anaknya. - NSTP/Aswadi Alias

Justeru, Noor Kartini berkata, dia tidak rimas terkena tempias populariti anak-anaknya, malah, percaya semuanya akan berjalan lancar apabila sentiasa berfikiran positif dan mendoakan yang baik-baik.

"Saya kena kuat menghadapinya dengan baik. Saya tidak tertekan sebab kami sekeluarga tidak mengambil tahu mengenai komen negatif. Jika orang beritahu pun, kami gelak sahaja.

"Sebab ramai menghantar mesej langsung kepada kami dan minta maaf kerana pernah mengata. Saya hanya ucapkan Alhamdulillah, Allah bukakan hati mereka.

"Manusia tiada yang sempurna, jadi apabila mendoakan perkara baik-baik, baik juga kita akan dapat," katanya.

Mengulas hasrat anaknya, Neelofa berhijrah ke Arab Saudi mengikut suaminya, Haris Ismail yang mahu menyambung pelajaran, Noor Kartini menzahirkan rasa syukur.

"Saya bersyukur kerana sering menggalakkan anak-anak berhijrah. Malah, saya sendiri kalau diberikan peluang akan berhijrah," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai Kucate yang dibangunkan sejak Disember, tahun lalu, Noor Kartini bersyukur perniagaannya berkembang positif dalam tempoh enam bulan.

Noor Kartini berkata, perniagaannya banyak membantu orang ramai menjana pendapatan sampingan mahupun tetap, terutamanya ketika tempoh mencabar era pandemik.

"Saya berbangga dengan pencapaian rakan bisnes Kucate yang menyahut cabaran Rally For Gold sepanjang Mei lalu.

"Majlis istimewa ini adalah cara saya meraikan pencapaian, meniupkan semangat dan memberi inspirasi kepada rakan niaga lain untuk berjaya," katanya.

Berita Harian X