Isnin, 13 Jun 2022 | 3:00pm
Filem pendek The Boys Club berdurasi 23 minit dibikin melalui pengalaman Wen yang pernah mengalami gangguan seksual di tempat kerja. Foto Ihsan Chen Yih Wen
Filem pendek The Boys Club berdurasi 23 minit dibikin melalui pengalaman Wen yang pernah mengalami gangguan seksual di tempat kerja. Foto Ihsan Chen Yih Wen

Langkah berani bawa rezeki

KUALA LUMPUR: Keberanian rakyat Malaysia, Chen Yih Wen, 37, mengangkat isu gangguan seksual dalam filem pendek arahannya, The Boys Club memikat juri Busan International Short Film Festival (BISFF) Ke-39 apabila karya itu dipilih meraih Anugerah NETPAC, iaitu badan antarabangsa dikenali sebagai The Network For the Promotion of Asian Cinema (NETPAC) yang bertanggungjawab memacu industri perfileman Asia.

Filem pendek berdurasi 23 minit itu dibikin melalui pengalaman Wen yang pernah mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Merasai sendiri apa yang dilalui mangsa, Wen mendapat ilham menghasilkan filem dokumentari pendek yang menyentuh isu gangguan seksual yang sehingga hari ini masih berleluasa.

Wen yang bertugas sebagai wartawan bebas untuk agensi media antarabangsa terharu dengan kejayaan diraih The Boys Club, apatah lagi pengiktirafan diberi pada sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, bulan lalu.

Wen yang mula menghasilkan dokumentari dan filem pendek sejak 2010, bagaimanapun mengakui bukan pengiktirafan yang diharapkan ketika berkarya.

"The Boys Club berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah mengalami gangguan seksual ketika menjalani penggambaran projek dokumentari.

"Ketika itu, seorang rakan sekerja sesuka hati menyentuh dan memegang saya. Malah, dia tanpa segan silu bercerita mengenai hubungan intimnya.

"Saya tidak berdiam diri. Saya mengadu hal itu kepada majikan dan kami bersemuka. Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan berat dikenakan. Malah, pelaku masih bersikap sama.

"Jadi, saya angkat isu itu dalam The Boys Club agar boleh dijadikan pengajaran kepada mereka yang menontonnya.

"Jika karya itu dapat dijadikan bahan rujukan di sekolah, tentu lebih baik lagi. Saya kecewa apabila ada orang cuba menormalisasikan isu gangguan seksual," katanya.

Tambah Wen, gangguan seksual bukanlah isu membabitkan wanita wanita semata-mata. Malah, ada lelaki turut menjadi mangsa kes seumpama itu.

"Ini isu masyarakat yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada anak, ibu atau kakak.

"Sebagai saksi, jangan diamkan perbuatan itu. Orang yang melakukan kesalahan itu akan merasakan diri mereka kebal dan berkuasa," katanya.

Menjalani penggambaran ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikuatkuasakan April tahun lalu, Wen berkata, ada ketikanya, kerja 'shooting' dilakukan sendirian.

"Disebabkan saya wartawan bebas, saya bergerak ke mana-mana sahaja. Apabila membuat liputan di luar, saya gunakan kesempatan merakamkan 'shot' untuk dokumentari The Boys Club," katanya yang mengambil masa empat hari untuk menyudahkan kerja penggambaran.

The Boys Club menyertai Doc Edge Festival 2022 iaitu festival dokumentari dianggap prakelayakan Anugerah Akademi (Oscar) yang dianjurkan hingga bulan depan. Foto Ihsan Chen Yih Wen
The Boys Club menyertai Doc Edge Festival 2022 iaitu festival dokumentari dianggap prakelayakan Anugerah Akademi (Oscar) yang dianjurkan hingga bulan depan. Foto Ihsan Chen Yih Wen

BISFF yang dianggap festival filem pendek tertua di Korea Selatan dan mendapat pengiktirafan Anugerah Akademi (Oscar) dan British Academy of Film and Television Arts (BAFTA), berlangsung pada 27 April lalu hingga 2 Mei.

Tahun ini sebanyak 3,243 filem daripada 111 negara menghantar penyertaan, namun hanya 40 filem daripada 37 negara disenaraikan untuk bersaing.

Anak jati Kuala Lumpur, Wen memiliki ijazah sarjana dalam bidang Media Kreatif Filem dan Produksi TV daripada RMIT University.

Wen meraih hadiah utama BMW Shorties 2010 menerusi karya berjudul Like Toy Dolls.

The Boys Club menyertai Doc Edge Festival 2022 iaitu festival dokumentari dianggap prakelayakan Anugerah

Akademi (Oscar) yang dianjurkan hingga bulan depan.

Berita Harian X