Sabtu, 11 Jun 2022 | 11:00am
Md Nasir menyerahkan cenderahati kepada Deddy dalam kunjungannya di kediaman sutradara itu di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. Foto Ihsan FINAS
Md Nasir menyerahkan cenderahati kepada Deddy dalam kunjungannya di kediaman sutradara itu di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. Foto Ihsan FINAS

Deddy M Borhan bimbing pelapis

KOTA KINABALU: Kehebatan figura ini dalam menghasilkan karya 'box office' pada era kebangkitan filem Melayu sekitar 1970-an dan 1980-an, tertulis dalam sejarah sinematik tempatan.

Siapa tidak kenal pengarah, pelakon dan seniman veteran serba boleh, Datuk Deddy M Borhan atau nama sebenar, Maddin Borhan, 78, yang banyak menghasilkan filem bermutu yang masih ditonton hingga hari ini.

Deddy cukup sinonim dengan filem Azura dibintangi Datuk Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud hingga memecahkan rekod sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tiket 'box-office' lebih RM2 juta.

Mendekati insan hebat ini, Deddy kini lebih cenderung membimbing penggiat seni dengan menumpukan usaha membangunkan bakat baharu dalam industri filem terutama di Sabah.

Walaupun anak jati Tuaran itu berhenti menghasilkan filem, namun, Deddy yang juga Presiden Persatuan Penggiat Perfileman Sabah (FILEMS), tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri filem tempatan.

"Sebenarnya, saya tidak berhenti. Saya masih aktif dengan cuba membangunkan ahli persatuan atau penggiat industri kreatif di Sabah.

"Saya lihat daripada aspek mana atau apa yang boleh dibantu. Apa pengalaman yang boleh dikongsi kepada orang ramai dalam industri perfileman dan sebagainya.

Pada usia 78 tahun, Deddy komited membimbing sutradara pelapis demi kemajuan industri perfileman negara. Foto Ihsan FINAS
Pada usia 78 tahun, Deddy komited membimbing sutradara pelapis demi kemajuan industri perfileman negara. Foto Ihsan FINAS

"Kita juga ada anjurkan bengkel, perjumpaan bersama pengarah, artis atau orang muda yang berminat menceburi industri seni kreatif terutama filem," katanya ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai harapan Deddy terhadap industri filem negara, beliau mahu industri filem Malaysia terus melonjak.

"Saya berharap industri filem tempatan akan berkembang baik sampai ke peringkat lebih jauh," katanya.

Mengenai potensi Sabah dalam bidang penghasilan filem, Deddy berpendapat negeri itu sudah mencapai lebih banyak kemajuan berbanding waktu dahulu.

Deddy senang hati melihat lebih ramai pengarah tempatan berani tampil berkarya menerusi filem, apatah lagi dengan adanya bantuan FINAS melalui agihan dana.

Selain itu, peralatan penggambaran termasuk perisian komputer canggih yang digunakan sekarang mampu menghasilkan filem bermutu.

Sementara itu, Md Nasir berkata, kunjungan FINAS ke kediaman Deddy sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada pengasas Sabah Film Productions itu.

"Saya ziarah Deddy yang juga tokoh perfileman negara yang mempunyai pelbagai bakat iaitu berlakon, mengarah filem, menulis skrip, menyanyi dan menjadi produser.

"Melalui Sabah Film Productions, Deddy menaikkan semula kehebatan filem Melayu khususnya filem Azura selain filem Hapuslah Air Matamu, Keluarga Si Comat dan sebagainya.

"Sumbangan Deddy sangat besar dan FINAS pernah menganugerahkan beliau trofi Karyawan Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28," katanya.

Sabah Film Productions ditubuhkan pada 1975 dikatakan sinonim dengan kebangkitan semula dunia filem Melayu

era 1970-an dan 1980-an selepas kegemilangan Studio Malay Film Productions dan Cathay Keris Film.

Filem pertama diterbitkan Sabah Film Productions berjudul Keluarga Comat arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar pada 1975.

Berita Harian X