KUALA LUMPUR: "Seronok, bangga pun ada," itulah reaksi penyanyi dan pelakon, Janna Nick berhubung video cabaran lagu gatal nyanyiannya dimuat naik bintang sensasi K-Pop, Psy hingga tular dalam media sosial, semalam.
Sebagai peminat Psy, kesudian penyanyi yang mencetuskan fenomena menerusi lagu Gangnam Style itu menggunakan lagu Gatal disifatkan Janna sebagai satu penghargaan besar.
"Saya dapat tahu mengenainya menerusi pengikut media sosial. Saya memang minat Psy dan menjadi salah seorang pengikutnya dalam Instagram (IG).
"Sebagai peminat, sudah tentu saya teruja kerana Psy bukan sekadar selebriti media sosial, malah, bintang terkemuka antarabangsa.
"Lebih membuat saya berbangga adalah Psy turut memuat naik video yang menyaksikannya membuat gerak bibir seolah-olah menghafal lirik lagu Gatal," luahnya kepada BH Online.
Terdahulu superstar itu mengejutkan warga maya Malaysia selepas memuat naik video berlatar belakang balik tabir yang menyaksikannya sedang duduk atas kerusi, sambil merakam video swafoto menggunakan telefon bimbit.
Menyusul pula video kedua, aksi Psy membuat miming single terbaharu penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu.