Ahad, 5 Jun 2022 | 7:08pm
Mak Wan sekadar ingin melepaskan lelah dan menghiburkan diri sendiri selepas berdepan episod perceraian, baru-baru ini.
Mak Wan sekadar ingin melepaskan lelah dan menghiburkan diri sendiri selepas berdepan episod perceraian, baru-baru ini.

Mak Wan 'karaoke' nak lepas tekanan selepas bercerai

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Mak Wan Latah, 61, yang tular menerusi video sedang berkaraoke mohon maaf sekiranya peminat kurang senang melihat aktivitinya itu.

Pelakon 7 Hari Mencintaiku 3 itu berkata, video berkenaan dirakam untuk simpanan sendiri, namun, secara tidak sengaja dimuat naik dalam aplikasi TikTok.

"Saya mohon maaf kepada netizen yang kurang senang melihat video ini.

"Sebenarnya, saya tidak berniat memuat naik video dalam TikTok, tetapi maklumlah saya sudah berusia, secara tidak disengajakan tertekan butang kongsi sehingga rakaman tular dan menerima kecaman ramai.

"Saya mengunjungi pusat karaoke untuk menghiburkan diri. Memang saya suka menyanyi selepas penat bekerja, namun, tetap menjaga batas.

"Saya sekadar ingin melepaskan lelah dan menghiburkan diri sendiri terutama selepas mengalami episod duka, baru-baru ini," katanya kepada BH Online.

Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud berterima kasih kepada peminat yang menegurnya secara baik, namun, pada masa sama mohon maaf kepada mereka yang kurang senang melihat video berkenaan.

Tambahnya lagi, netizen yang mengecam tidak berada dalam kasutnya. Hanya mereka yang melaluinya sahaja tahu kesakitan yang ditanggung.

Bagaimanapun, kata Mak Wan, dia tidak suka berkongsi kesedihannya kepada khalayak, sebaliknya, lebih gemar menyimpan kedukaan dalam diri sendiri.

Mak Wan tak berniat memuat naik video dalam TikTok, tetapi secara tak sengaja tertekan butang kongsi sehingga video tular dan menerima kecaman ramai.
Mak Wan tak berniat memuat naik video dalam TikTok, tetapi secara tak sengaja tertekan butang kongsi sehingga video tular dan menerima kecaman ramai.

Katanya, ramai yang menyangka dirinya tidak terkesan dengan keruntuhan rumah tangga bersama bekas suami, Husain Dolah, 74, yang hanya mampu bertahan selama tiga bulan.

"Siapa tidak sedih dengan apa yang berlaku. Memang luaran saya nampak kuat, tetapi, hakikatnya saya juga menangis. Takkanlah saya hendak mengurung diri dalam bilik dan menangis, termenung dan meratapi nasib selama-lamanya.

"Saya perlu 'move on'. Alhamdulillah, saya mempunyai ramai rakan sekeliling yang sentiasa ada pada saat saya berdepan dengan ujian ini. Jadi, ia membantu membina kekuatan dalam diri saya," katanya.

Mak Wan berkata, dia juga menganggap kontroversi bertubi-tubi diterima rentetan perceraian mungkin teguran Allah buatnya selepas 23 tahun bergelar anak seni.

"Semua ini teguran Allah. Ada artis diuji ketika awal pembabitan dalam bidang seni.

"Ada pula yang diuji pada peringkat pertengahan, tetapi saya diuji pada usia emas.

"Namun, saya terima dan anggap ia teguran Allah buat saya. Selama ini, Allah banyak membantu, mungkin kini tiba giliran ujian buat saya.

"Saya memang terduduk dengan cemuhan, tetapi biasalah mulut orang kita tidak boleh tutup. Apa yang berlaku, sudah pun berlaku, jadi, saya kena terima," katanya.

Ditanya adakah serik kembali berumah tangga selepas episod kegagalan dilalui, Mak Wan berkata, dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

Terdahulu, Mak Wan mendirikan rumah tangga dengan Husain Dolah pada 22 Januari lalu di Pejabat Agama Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, perkahwinan hanya bertahan tiga bulan apabila Husain melafazkan cerai terhadap Mak Wan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 21 April lalu.

Berita Harian X