Ahad, 5 Jun 2022 | 5:01pm
Nafiez membawa ibunya dari Perlis bertemu ibu Fify di Subang Jaya demi memohon restu mereka. - Foto IG Nafiez Zaidi
Nafiez membawa ibunya dari Perlis bertemu ibu Fify di Subang Jaya demi memohon restu mereka. - Foto IG Nafiez Zaidi

Keluarga Nafiez merisik Fify

KUALA LUMPUR: Perhubungan cinta pelakon Fify Azmi dan kekasihnya, Nafiez Zaidi memasuki fasa serius apabila keluarga menghantar rombongan merisik, semalam.

Nafiez membawa keluarganya dari Perlis bertemu keluarga Fify di Subang Jaya, Selangor demi mempertemukan dua keluarga dan memohon restu.

Katanya, dia enggan membuang masa untuk bercinta lama-lama, malah merancang menyunting Fify sebagai suri hidupnya penghujung tahun ini.

"Jika boleh saya dan Fify enggan bertunang, mahu terus bernikah. Jadi, majlis merisik ini sebagai permulaan melangkah ke fasa seterusnya.

"Kami sibuk dengan tuntutan kerjaya seni, jadi saya bawa keluarga dari Perlis berkenalan dengan keluarga Fify, semalam.

"Apabila keluarga sudah bertemu, ia menandakan saya memang tak main-main dalam perhubungan ini. Saya serius mahu memperisterikan Fify," kata Nafiez kepada BH Online.

Pada majlis merisik itu, rombongan keluarga Nafiez menyerahkan gelang tangan dan rantai yang diserahkan dalam kotak hitam sebagai simbolik ikatan.

"Biarlah sudah membina ikatan, tetapi saya dan Fify tidak mahu soal peribadi terlalu mendapat pendedahan.

"Cuma, kami mengharap doa agar segala perancangan berjalan lancar. Apa sahaja kemungkinan boleh terjadi, namun, saya dan Fify tawakal serta cuba sehabis baik menjaga ikatan hubungan ini," katanya.

Nafiez enggan membuang masa bercinta lama-lama, malah merancang menyunting Fify sebagai suri hidupnya penghujung tahun ini. - Foto IG Nafiez Zaidi
Nafiez enggan membuang masa bercinta lama-lama, malah merancang menyunting Fify sebagai suri hidupnya penghujung tahun ini. - Foto IG Nafiez Zaidi

Nafiez dan Fify mula rapat sejak membintangi filem Ada Hantu 2 pada Disember, tahun lalu. Namun, hubungan cinta mula berputik sehinggalah menjadi teman istimewa.

"Fify buat saya selesa, jadi perhubungan kami mudah dan senang," katanya yang diperkenalkan dalam drama Kiah The Spy pada 2013.

Dalam perkembangan seni, Nafiez atau nama sebenarnya, Abdul Nafis Abduzaidi berkata, dia akan mula menjalani penggambaran filem aksi, Bakara arahan Adrian Teh yang turut dibintangi Hairul Azreen dan Iedil Putra.

Filem Bakara akan menjalani penggambaran di Turki, Istanbul.

"Sebab utama saya potong rambut pendek kerana tuntutan watak dalam filem Bakara.

"Saya memegang watak Lans Koperal Nik Zainal," katanya.

Berita Harian X