Isnin, 30 Mei 2022 | 5:00pm
Pameran khas mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung, Biduanita Negara dan barangan peribadi yang jarang dipamerkan kepada khalayak.
Pameran khas mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung, Biduanita Negara dan barangan peribadi yang jarang dipamerkan kepada khalayak.

Koleksi peribadi P Ramlee, Saloma dipamer

KUALA LUMPUR: Pemain piring hitam, mesin taip dan but koboi yang dipakai ketika membawa watak ketua penyamun dalam filem terbitan 1961, Ali Baba Bujang Lapok menjadi antara khazanah berharga milik Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang boleh dilihat di pameran khas, P Ramlee dan isterinya, Puan Sri Saloma di gedung beli-belah, Fahrenheit88 di ibu negara.

Peminat juga boleh melihat barangan peribadi milik Saloma seperti kaca mata, 'clutch' berwarna hitam kegemaran seniwati itu dan blaus pendek ketat yang digayakan ketika mendendangkan lagu Hancur Badan Dikandung Tanah bersama P Ramlee dalam filem Ragam P Ramlee terbitan 1964.

Mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada peminat, pameran yang pada mulanya dirancang dianjurkan sebulan sejak 14 April lalu, dilanjutkan sehingga akhir Julai ini.

Semalam, genap 49 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee yang menghembuskan nafas terakhir pada 28 Mei 1973 dan jasanya dalam industri seni, terus dikenang.

Arkib Negara Malaysia dalam kenyataan menyebut, pameran khas itu pada mulanya dianjurkan sempena kempen Raya Melodies anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal yang memilih P Ramlee dan Saloma sebagai tema dekorasi pusat beli-belah berkenaan.

"Fahrenheit88 memilih Arkib Negara Malaysia sebagai rakan strategik kerana jabatan kerajaan itu bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan koleksi artifak milik seniman terulung bersama isterinya di Pustaka Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang.

"Pameran khas itu mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung, Biduanita Negara dan barangan peribadi yang jarang dipamerkan kepada khalayak," katanya.

Nama P Ramlee sinonim dengan perkembangan, pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air.

P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929. Minat mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak muda lagi.

Kerjayanya sebagai anak seni bermula ketika ditawarkan berlakon dalam filem bertajuk Chinta pada 1948.

Filem terakhir lakonannya ialah Laksamana Do Re Mi, manakala lagu terakhir ciptaannya adalah Ayer Mata Di Kuala Lumpur.

Jumlah lagu nyanyian atau ciptaan P Ramlee melebihi 350 lagu.

Sepanjang hayat, P Ramlee berlakon dan mengarah sebanyak 66 filem. Karya sulung arahannya adalah Penarik Becha yang diterbitkan pada 1955.

Selain itu, filem Melayu pertama yang dirakam dalam warna penuh Eastman yang diarahkan sutradara dari India, Phani Majumdar, Hang Tuah lakonan P Ramlee pada 1956 menerima anugerah Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia ke-3 di Hong Kong.

Mendapat sambutan cukup menggalakkan peminat, pameran khas P Ramlee dan Saloma yang pada mulanya dirancang dianjurkan sebulan sejak 14 April lalu, dilanjutkan sehingga akhir Julai ini.
Mendapat sambutan cukup menggalakkan peminat, pameran khas P Ramlee dan Saloma yang pada mulanya dirancang dianjurkan sebulan sejak 14 April lalu, dilanjutkan sehingga akhir Julai ini.

Filem itu juga ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 1957 dan tercalon untuk anugerah Golden Bear pada festival sama.

Lakonan hebat P Ramlee yang penuh emosi melayakkan beliau menang Aktor Terbaik Festival Filem Asia di Tokyo pada 1957 menerusi filem Anakku Sazali.

Ketika zaman kegemilangannya, filem Pendekar Bujang Lapok (1959) disenarai dalam Top 5 filem Melayu dihasilkan di Singapura, selain menang Anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Ke-6 di Kuala Lumpur pada 1959.

Pasangan hidup P Ramlee, Salmah Ismail atau Saloma adalah anak seni sejati yang mengabadikan diri untuk dunia seni sepanjang hayat.

Allahyarham dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1935. Saloma mula mengasah bakat dalam bidang seni suara apabila mendapat peluang membuat persembahan bersama Kumpulan The Singapore Boy di New World Cabaret dan nyanyian pertamanya, Seven Lovely Days.

Pada 1950-an, Saloma hanya dikenali melalui menerusi dendangannya dan watak sampingan dalam filem Melayu sehinggalah dilamar melakonkan watak utama menerusi filem Azimat pada 1958 dan filem Kaki Kuda (1958).

Saloma terus melangkah dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa filem popular seperti Seniman Bujang Lapok pada 1961, Ragam P Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968).

Arkib Negara Malaysia menambah, sebagai seniman serba boleh, P Ramlee berjaya mengetengahkan unsur kebudayaan Melayu dan kesepakatan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dalam setiap filem dihasilkan.

Karya ditonjolkan bukan sahaja relevan sepanjang zaman, tetapi sarat dengan nilai dan kritikan sosial tajam. Malah, P

Ramlee berjaya mempamerkan Malaysia sebagai negara bersatu padu tanpa mengira bangsa, kaum dan budaya.

"Karya P Ramlee mampu melahirkan masyarakat harmoni dan mempunyai nilai budaya tinggi.

"Disebabkan kekuatan 'aura bintang' dua tokoh ternama ini, Fahrenheit88 dan Arkib Negara Malaysia bersepakat mengangkat mereka dalam menyemarakkan sambutan Syawal selepas fasa peralihan ke endemik.

"Sudah dua tahun pusat beli-belah sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti perayaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19," katanya.

Justeru, pemilihan ikon tersohor, P Ramlee dan Saloma mampu mengembalikan kemeriahan sambutan perayaan di Malaysia.

Berita Harian X