Sabtu, 28 Mei 2022 | 8:30am
Filem Do Re Mi, antara karya agung arwah P Ramlee yang terus subur dan menjadi tatapan generasi hari ini.
Filem Do Re Mi, antara karya agung arwah P Ramlee yang terus subur dan menjadi tatapan generasi hari ini.

Sesudah 49 tahun pemergian P Ramlee

KUALA LUMPUR: Sepanjang hayatnya, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pernah disanjung, dibangga, dipuji, dibenci, dicemburui dan dihina.

Pada penghujung usia, tokoh seniman yang terkenal di Nusantara itu hidup bagaikan kera sumbang. Tiada lagi teman rapat yang membina populariti di studio Jalan Ampas, Singapura bersamanya.

Media massa pula bagaikan sudah tidak lagi menyokongnya, malah ada yang mahu menjatuhkannya. Ditamatkan kontrak dengan EMI dan Shaw Brothers, penghujung usia beliau penuh kegetiran dan paling menyedihkan ialah menghadapi masalah kewangan.

Matinya dalam kemiskinan, namun khazanah filem dan muzik yang ditinggalkan kekal abadi dan bernilai jutaan ringgit.

Khazanah seni ditinggalkan bukan milik beliau, bukan juga milik Malaysia.

Shaw Brothers mengaut keuntungan dengan hasil kreatif arwah P Ramlee. Difahamkan, ada pihak tertentu berkomplot dan memulakan perang media memburukkan seniman yang dilahirkan di Pulau Pinang.

Hasilnya, beliau dipulaukan, diejek dan pernah kena 'boo' oleh anak bangsanya sendiri.

Namun, hakikat tak mampu dinafikan, kehilangan P Ramlee tiada galang ganti.

Detik 29 Mei 1973 pastinya sentiasa dalam lipatan kenangan. P Ramlee menghembuskan nafas terakhir dalam ambulans yang membawanya ke hospital selepas tidak sedarkan diri di rumahnya di No 22, Jalan Dedap, Setapak, (kini Pustaka Peringatan P Ramlee) pada jam 4.30 pagi pada usia 44 tahun.

Diam tak diam, esok genap 49 tahun seniman agung itu meninggalkan dunia. Namun, nama dan karya seninya tetap dikenang zaman berzaman, mungkin masih hidup 1,000 tahun lagi.

Benarlah ungkapan P Ramlee kepada teman baiknya, Allahyarham Datuk Aziz Satar bahawa, beliau akan terus 'hidup' seribu tahun lagi menerusi karyanya.

P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh mencipta kegemilangan sekitar 1955 bukan sahaja sebagai pelakon, malah, penyanyi, pengarah, komposer, penulis skrip, lirik dan pelawak.

Anwardi berpendapat kita sudah ‘kehilangan’ P Ramlee sejaknya membuat keputusan meninggalkan Jalan Ampas di Singapura dan berpindah ke Kuala Lumpur.
Anwardi berpendapat kita sudah ‘kehilangan’ P Ramlee sejaknya membuat keputusan meninggalkan Jalan Ampas di Singapura dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Keputusannya meninggalkan Malay Film Productions dengan menyertai Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur pada 1964 bukanlah satu keputusan tepat apabila bermulalah zaman kejatuhan insan hebat bernama P Ramlee.

Pada saat akhir kehidupannya cukup menyedihkan dan karya dihasilkan tidak lagi mendapat sambutan. P Ramlee seperti dipinggirkan, malah tidak menerima undangan menjayakan persembahan.

Namun begitu, P Ramlee tidak patah semangat untuk terus berkarya. Sebelum menutup mata, P Ramlee sempat menghasilkan karya hebat, Ayer Mata Di Kuala Lumpur.

Pemergian mengejut P Ramlee pada pagi Selasa begitu memeranjatkan teman seperjuangan dan rakyat Malaysia. Malah, ia mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak menyifatkan kematian P Ramlee sebagai satu kehilangan tokoh seni ulung yang sukar dicari ganti.

Pengarah, Anwardi Jamil berkata, kita sudah 'kehilangan' P Ramlee sejaknya membuat keputusan untuk meninggalkan Jalan Ampas di Singapura dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Anwardi yang juga anak kepada pelakon legenda, Datuk Rosnani Jamil dan Allahyarham Datuk Jamil Sulong pernah bertemu dengannya beberapa kali pada 1968.

Katanya, ibunya berkawan rapat dengan isteri P Ramlee, Allahyarham Puan Sri Saloma.

"Ibu sangat terkejut apabila mendapat panggilan mama (Saloma) mengenai pemergian arwah. Ibu cukup bimbangkan keadaan mama memandangkan mereka sangat rapat. Ibu beritahu mama sangat sedih.

"Tidak dinafikan, surat khabar dan televisyen (TV) menyiarkan berita pemergian arwah, tetapi beliau menghembuskan nafas terakhir ketika namanya bukan lagi berada di puncak populariti. Laporan mengenainya juga tidak besar.

"Arwah sudah lama tidak keluar di akhbar dan TV. Jika tidak kerana meninggal dunia, tiada laporan mengenainya. Pemergian arwah hanya dirasai beberapa tahun selepas kehilangannya.

"Selepas itu barulah arwah dianugerahkan pingat dan gelaran," kata Anwardi kepada BH Online.

Yusof berkongsi, pemergian arwah P Ramlee pada pagi Selasa mengejutkannya, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia selepas dipinggirkan.
Yusof berkongsi, pemergian arwah P Ramlee pada pagi Selasa mengejutkannya, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia selepas dipinggirkan.

Ketika pergi, bintangnya sudah tidak lagi bersinar. Pemergiannya sama seperti artis biasa.

"Seperti dalam paparan media, ramai tahu kehidupan arwah pada penghujung usia bukan sesuatu menggembirakan. Arwah hidup dalam suasana tidak gembira dan kurang gemilang," katanya.

Sutradara terkemuka, Datuk Yusof Haslam tidak menafikan pemergian arwah P Ramlee mengejutkannya dan keluarga.

Yusof berkata, dia mengetahui berita pemergian arwah menerusi bapanya ketika sedang minum.

"Saya masih muda dan berusia 19 tahun pada ketika itu. Saya dan keluarga amat terkejut, termenung dan saling berpandangan ketika arwah bapa memaklumkan berita ini.

"Ketika itu, arwah seperti dipinggirkan dan tidak dihargai, kisahnya sudah lama tidak mendapat perhatian media.

"Jadi apabila arwah meninggal dunia secara mengejut, semua orang bagaikan terkejut.

"Kakak yang tinggal di sebuah flat di Kampung Baru bercerita, sepanjang jalan orang ramai berduyun-duyun mengiringi jenazah arwah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang," kata Yusof yang mengikut P Ramlee sejak kanak-kanak lagi.

Pemergian arwah memalitkan kesedihan mendalam kerana namanya mula terpinggir selepas kemunculan muzik Pop Yeh Yeh dan kemasukan lagu Beatles ke Malaysia.

"Zaman berubah, kemunculan muzik Pop Yeh Yeh dan kumpulan Beatles menyebabkan lagu-lagu arwah tidak lagi dimainkan. Ketika arwah meninggal dunia, namanya sudah suram.

"Arwah masih minat berkarya, tetapi tertekan. Ini kerana arwah tidak boleh berkarya dalam keadaan selesa kerana produser tidak mahu menyokongnya.

"Demi survival, beliau terpaksa buat filem walaupun tidak berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Bagi penyanyi Fairuz Misran yang juga peminat tegar bintang legenda itu menerusi wajah dan gayanya seiras arwah P Ramlee.

Fairuz yang juga peminat tegar menerusi wajah dan gayanya yang seiras amat mengagumi kelembutan suara dan sifat kemelayuan arwah P Ramlee.
Fairuz yang juga peminat tegar menerusi wajah dan gayanya yang seiras amat mengagumi kelembutan suara dan sifat kemelayuan arwah P Ramlee.

Fairuz akui, mula meminati arwah ketika berusia 17 tahun.

Katanya, dia mengenali arwah menerusi karyanya kerana tempat tinggalnya di Kimanis, Sabah agak terpencil.

Justeru, katanya, dia tidak mempunyai sumber elektrik, sebaliknya penduduk setempat hanya mendengar radio dengan menggunakan bateri.

Dari situ, katanya, dia sering mendengar arwah bapa saudara memutarkan lagu-lagu arwah. Sejak itu, dia mula mengikuti karya arwah.

"Sebelum kampung mempunyai elektrik, saya hanya mendengar lagu arwah menerusi corong radio.

"Saya tidak tahu apa yang menyebabkan timbul minat untuk menjadi seperti arwah. Tetapi, saya amat mengagumi kelembutan suara dan sifat kemelayuan arwah.

"Beliau insan seni yang hebat. Setakat ini, tidak pernah muncul lagi insan seni sehebat Allahyarham P Ramlee," katanya.

Berita Harian X