Jumaat, 27 Mei 2022 | 1:00pm
Selasa lalu, Enfiniti mengumumkan keputusan sukar iaitu membatalkan pementasan teater Muzikal PGL yang dirancang sejak 2019.
Selasa lalu, Enfiniti mengumumkan keputusan sukar iaitu membatalkan pementasan teater Muzikal PGL yang dirancang sejak 2019.

Tiket Muzikal PGL RM1.2 juta dipulangkan

KUALA LUMPUR: Keluhan panjang yang kedengaran sepanjang temu bual cukup menggambarkan kekecewaannya atas apa yang terjadi.

Bayangkan, penat lelah bertahun-tahun membuat persiapan dan kesabaran menanti untuk hasil kerja dipertontonkan kepada umum, namun semua impian itu tidak kesampaian.

Akhirnya, dengan berat hati, projek pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) yang tertangguh hampir tiga tahun lalu, terpaksa dibatalkan.

Berkongsi perasaan mengenai khabar yang mengejutkan banyak pihak itu, penerbit dan pengasas, Enfiniti Productions (M) Sdn Bhd, Puan Seri Tiara Jacquelina mengaku bukan mudah untuknya membuat keputusan itu.

Walaupun, selama ini jiwanya cukup kental, malah istilah mengalah atau putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, namun akui Tiara, kali ini dia pasrah dengan takdir tertulis.

"Sebelum ini, untuk membuat keputusan mementaskan semula Muzikal PGL adalah keputusan besar kerana naskhah ini boleh dianggap karya agung untuk produksi kami.

"Justeru, apabila kami memutuskan untuk membatalkannya, sudah tentu ia suatu keputusan yang berat dan sukar buat kami.

"Bayangkan, kami sudah membuat persiapan awal sejak November 2019, seperti mengadakan sesi uji bakat mencari pelakon, mencetak tiket dan membina set serta memulakan proses latihan dan praproduksi,"

"Malah, kami sudah mengeluarkan 30 peratus daripada keseluruhan kos pementasan. Walaupun kerugian jutaan ringgit, kami reda dan pasrah atas apa yang berlaku," katanya kepada BH Online.

Selasa lalu, Enfiniti mengumumkan keputusan sukar iaitu membatalkan pementasan Muzikal PGL yang dirancang sejak 2019.

Enfiniti melalui kenyataan menyebut, selama ini, sebagai syarikat yang sentiasa komited dalam seni persembahan, konsep the show must go on (persembahan mesti diteruskan) menjadi pegangan.

Namun, Enfiniti menjelaskan, syarikat tidak mampu menolak ada masanya, keadaan sebaliknya berlaku sehingga terpaksa membuat keputusan membatalkan projek berkenaan dengan berat hati.

Tiara berkata, bukan tiada usaha dibuat untuk mementaskan Muzikal PGL, namun, kekangan dihadapi membuatkan dia terpaksa membuat keputusan dengan berat hati.

"Persiapan kali ini lebih berbanding sebelumnya. Kami hendak beri pembaharuan dan memperkenalkan pelakon baharu yang boleh menjadi pelapis.

"Sudah tentu sebelum keputusan akhir ini dibuat, kami cuba sedaya upaya memastikan pementasan dapat diteruskan, tapi apakan daya.

"Wabak COVID-19 yang belum berakhir menyebabkan banyak usaha kami terbantut. Dalam keadaan yang tidak stabil ini, kami tidak mahu menanggung risiko.

"Mujur kami sudah menghentikan penjualan tiket dan sempat menjual 7,000 tiket sahaja yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

"Ini pun kami perlu berdepan pelbagai kemungkinan apabila proses pemulangan wang kepada pembeli yang akan dilakukan mulai Julai ini," luahnya.

Selama ini jiwa Tiara cukup kental, malah istilah mengalah tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, namun pasrah dengan takdir tertulis.
Selama ini jiwa Tiara cukup kental, malah istilah mengalah tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, namun pasrah dengan takdir tertulis.

Tiara bagaimanapun tidak menolak pembatalan pementasan Muzikal PGL membuktikan seni teater adalah antara industri yang terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19.

"Hendak kata nazak itu, tidaklah. Tetapi saya boleh katakan ia memberi cabaran hebat kepada penggiat industri yang mahu mementaskan teater berskala besar, terutama produksi saya yang mengeluarkan kos sendiri tanpa sokongan mana-mana pihak.

"Enfiniti sudah 'moved on' apabila kami sekarang lebih fokus kepada produk tarikan pelancong luar dan dalam negeri yang akan dilaksanakan di Langkawi.

"Konsep produk pelancongan ini lebih kepada semula jadi dan 'outdoor'. Produk ini adalah Dream Forest Langkawi. Projek ini dilaksanakan di hutan hujan Langkawi yang mana pelancong akan merasai pengalaman menarik dan menghiburkan ketika berjalan di hutan pada waktu malam," katanya.

Meskipun diuji dengan pembatalan muzikal yang diangkat daripada filem itu, semangat juang pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) 1995 menerusi filem Ringgit Kasorrga ini tetap utuh.

Malah, Tiara masih menaruh harapan untuk menyaksikan Muzikal PGL dipentaskan kepada khalayak, suatu hari nanti.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu berjanji apa-apa atau meletak garis masa kerana tidak mahu memberi harapan kepada peminat muzikal ini.

"Sejujurnya, keinginan untuk mementaskan kembali Muzikal PGL tetap ada. Insya-Allah, kalau ada rezeki, pasti impian itu akan jadi kenyataan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang tiket Muzikal PGL atas kesabaran dan pertimbangan anda pada waktu yang tidak terduga ini.

"Kami berharap agar anda akan terus menyokong industri seni persembahan yang terjejas teruk sejak dua tahun lalu," katanya.

Enfiniti melalui agensi tiket akan bayaran pembelian tiket secara berperingkat mulai 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Muzikal PGL kali pertama dipentaskan di Istana Budaya pada 2006, diikuti dua lagi penerbitan dan pementasan ketiga pada Februari 2009.

Berita Harian X