Isnin, 23 Mei 2022 | 8:30am
Kumpulan Dendang Pendidik berentap untuk dipilih ke peringkat separuh akhir Pertandingan Dikir Barat 2022.
Kumpulan Dendang Pendidik berentap untuk dipilih ke peringkat separuh akhir Pertandingan Dikir Barat 2022.

RTM hidupkan semula Dikir Barat

KUALA LUMPUR: Kali terakhir dianjurkan pada 2015, RTM mengambil inisiatif mementaskan Pertandingan Dikir Barat 2022 demi menghidupkan seni muzikal rakyat daripada terus terpinggir, apatah lagi dengan ledakan media sosial dan platform hiburan lain.

Terus mencungkil bakat generasi muda untuk mempamerkan aksi mengikut kreativiti sendiri, lapan kumpulan berjaya melepasi peringkat saringan pertandingan itu yang dilancarkan Mac lalu, berkonsepkan Menjunjung Seni dan Warisan.

Lapan kumpulan itu adalah Kumpulan Sidi Bara, Sound Creative, Sirat Maharaja, Seruling Kasih, Raja Gamuda Pasir Tumbuh, Sri Dewi, Anak Singa dan Dendang Pendidik.

Semua kumpulan ini menewaskan 12 kumpulan lain yang bertanding pada peringkat saringan.

Pastinya bukan mudah laluan untuk lapan pasukan itu mara ke peringkat seterusnya kerana latar belakang pencapaian masing-masing yang cukup membanggakan.

Pada peringkat suku akhir yang akan disiarkan TV2 mulai jam 9 malam, kelmarin hanya empat kumpulan dengan markah tertinggi bakal terpilih ke peringkat separuh akhir.

Menampilkan gandingan pengacara Issey Fazlisham dan Jeed Zulkifli, semua persembahan peserta diadili lima juri tetap.

Pertandingan dikir barat ini mula diadakan secara dwi tahunan pada 2010 dengan kali terakhir dianjurkan pada 2015.

Sebelum ini, pertandingan dikir barat anjuran RTM berjaya melahirkan kumpulan pendikir hebat seperti Tok Jogho dan Tukang Karut.

Membuka penyertaan kepada warga negara Malaysia berusia 18 hingga 45 tahun, setiap pasukan merangkumi pemuzik seramai lima orang, awak-awak (13 orang) dan masing-masing seorang Tok Juara dan Tukang karut.

Pada peringkat separuh akhir pada 28 Mei depan, empat kumpulan yang layak akan bertanding dengan tema bagi setiap persembahan bakal diberi.

Hanya dua kumpulan layak melangkah ke peringkat akhir yang akan dianjurkan pada 4 Jun ini dengan tawaran hadiah lumayan menanti pemenang.

Berita Harian X