Sabtu, 21 Mei 2022 | 3:00pm
Lala teruja diberi peluang bekerjasama dengan Kak Ogy untuk kali ketiga menerusi drama Wan Senja pada Syawal lalu di TV3. - Foto IG Wan Sharmila
Lala teruja diberi peluang bekerjasama dengan Kak Ogy untuk kali ketiga menerusi drama Wan Senja pada Syawal lalu di TV3. - Foto IG Wan Sharmila

Cari nahas kerja 'main-main' dengan Kak Ogy

KUALA LUMPUR: Selepas penat bekerja sepanjang Ramadan, pelakon kecil molek, Wan Sharmila, 40, memilih untuk meraikan Syawal dengan cara berbeza dengan memilih destinasi percutian ke kota London, England.

Kini masih berada di kota London, Wan Sharmila atau lebih mesra di sapa Lala bagaimanapun tidak berkongsi mengapa memilih memilih bercuti ke luar negara ketika Syawal.

Lala berkata, dia hanya mahu menyambut lebaran dengan sederhana selepas sibuk bekerja.

"Saya sambut raya biasa-biasa sahaja, iaitu secara sederhana yang boleh. Ini kerana saya lebih fokus pada 10 Ramadan terakhir, memandangkan saya sibuk dengan penggambaran.

"Jadi, beberapa hari terakhir Ramadan baru saya memutuskan untuk berehat dan bercuti, sebelum sambung bekerja selepas Aidilfitri," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Lala pernah berkongsi tidak lagi mempunyai perasaan menyambut Syawal selepas pemergian ibunya pada 2015.

Sebelum pandemik COVID-19, Lala lebih selesa menyambut Syawal di luar negara ketika orang lain sibuk beraya.

Tampil menerusi drama Wan Senja sempena Syawal, Lala turut berkongsi keghairahannya diberi peluang untuk bekerjasama dengan aktres berpengalaman, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Kak Ogy untuk kali ketiga.

Lala bersama teman-temannya ketika menyambut Syawal di kota London, baru-baru ini. - Foto IG Wan Sharmila
Lala bersama teman-temannya ketika menyambut Syawal di kota London, baru-baru ini. - Foto IG Wan Sharmila

Kata Lala, ia adalah satu peluang menyeronokkan. Sebagai pelakon lebih muda, dia perlu menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya.

"Ini adalah kali ketiga bekerja dengan Kak Ogy. Alhamdulillah, dari awal hingga kali ini, semuanya baik-baik sahaja.

"Saya berharap beroleh lagi peluang untuk bekerja dengan pelakon berpengalaman seperti Kak Ogy. Banyak perkara yang boleh saya belajar.

"Apabila bekerja dengan Kak Ogy, paling utama, saya kena sentiasa bersedia. Jika bekerja, buat cara bekerja. Kalau kita main-main, memang nahaslah.

"Kak Ogy, seorang pelakon senior yang tahu apa yang perlu dilakukan. Dia tahu apa yang patut marah atau tak berpuas hati. Jujurnya, ia adalah pengalaman berharga terutama buat pelakon baru yang nak belajar berlakon.

"Ini satu peluang, tidak semua orang boleh dapat peluang bergandingan dengan pelakon sehebat Kak Ogy. Jadi, saya rasa bertuah dapat digandingkan lagi. Berlakon bersama Kak Ogy, terutamanya dapat menjayakan adegan yang sukar dengan insan hebat sepertinya," katanya.

Menjayakan watak Maizura bersama barisan pelakon seperti Ali Reza Kavoossi, Nabila Razali, Fify Azmi dan ramai lagi, Lala berharap, drama air mata itu disambung lagi kerana mesej diketengahkan amat besar pengajarannya.

"Maizura, mewakili kakak yang baik dan anak Kak Ogy. Dia seorang yang ada masalah keluarga dan rumah tangga, jadi banyak konflik air mata dihadapi.

"Bukan itu sahaja, drama Wan Senja ini penuh pengajaran dari setiap watak diketengahkan.

"Semoga mesej disampaikan dalam drama Wan Senja dapat diterima baik. Dan saya harap drama ini juga boleh disambung, bukan hanya terhenti pada empat episod sahaja," katanya.

Wan Senja ditayangkan pada Syawal lalu di TV3.

Berita Harian X