Rabu, 18 Mei 2022 | 8:30am
The Assistant menampilkan lakonan hebat Iedil dan Hairul menyertai festival filem antarabangsa di Itali, diikuti Switzerland dan Belgium pada Julai depan.
The Assistant menampilkan lakonan hebat Iedil dan Hairul menyertai festival filem antarabangsa di Itali, diikuti Switzerland dan Belgium pada Julai depan.

Kisah banduan pikat dunia

KUALA LUMPUR: Masih menunggu slot tayangan di pawagam tempatan mulai esok, filem aksi dan 'thriller' arahan Adrian Teh, The Assistant sudah menjadi sebutan festival filem dunia.

Mula mencuri tumpuan pembikin dan pengkritik filem antarabangsa, The Assistant yang menampilkan lakonan hebat teraju utama iaitu Iedil Dzuhrie Alaudin dan Hairul Azreen, menyertai Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali, bulan lalu.

Julai depan, The Assistant akan menyertai Neuchâtel International Fantastic Film Festival (NIFFF) di Switzerland, diikuti satu lagi festival filem di Brussels, Belgium.

Adrian berkata, undangan daripada penganjur festival filem antarabangsa yang berminat terhadap filem The Assistant dianggap pembakar semangat dan isyarat kejayaan buah tangannya itu.

"Perhatian dan pengiktirafan awal ibarat membakar semangat saya untuk menghasilkan karya yang baik pada masa hadapan.

"Malah, selepas tayangan perdana filem ini di FEFF, saya dan pelakon menerima tepukan gemuruh dan 'standing ovation' daripada penonton," katanya kepada BH Online.

Filem The Assistant terbitan Act 2 Pictures mengangkat kisah seorang pemuda yang merengkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

Adrian berkata, pada mulanya, dia menyangka karya dari Malaysia tidak akan mengundang minat pengkritik dan peminat filem antarabangsa.

"Dalam hati bersarang rasa kecil dan rendah diri. Saya tertanya mahukah orang luar di Eropah menonton filem kita atau apakah mereka kenal karya anak tempatan kita?

"Namun, segala-galanya terbukti apabila orang luar menghargai seni kita," katanya yang menganggap pengalaman menyertai festival filem antarabangsa dan pendedahan diterima The Assistant di pentas global, cukup menyenangkan.

Adrian sempat menjadi duta kecil Malaysia mempromosikan negara dan karya seni tempatan kepada pembikin filem Eropah ketika menyertai FEFF.

Dari kiri Hairul, Iedil dan Adrian peroleh pengalaman baharu setiap kali menyertai festival filem antarabangsa membawa filem The Assistant untuk dipertontonkan kepada pengkritik dan peminat filem.
Dari kiri Hairul, Iedil dan Adrian peroleh pengalaman baharu setiap kali menyertai festival filem antarabangsa membawa filem The Assistant untuk dipertontonkan kepada pengkritik dan peminat filem.

Mengulas kecenderungannya menggunakan khidmat Hairul yang pernah bekerjasama dengannya dalam filem Paskal, Adrian memuji sikap profesional suami Hanis Zalikha itu.

"Saya tidak jemu menjawab kenapa begitu senang mengambil Hairul berlakon dalam karya saya. Kata kunci utama, dia sangat menyenangkan dan profesional.

"Memang sudah banyak kali orang cakap 'balik-balik Hairul'. Tetapi, hendak buat macam mana, dia sangat komited dan tidak keterlaluan saya anggap antara pelakon bagus di Malaysia," katanya yang sudah enam kali bekerjasama dengan pelakon itu.

Adrian berkata, atas komitmen diberi, Hairul layak mendapat bayaran yang disifatkan 'boleh tahan'.

"Hendak cakap soal bayaran, memang 'boleh tahan'. Tetapi dia layak dapat bayaran itu. Dia senang bekerjasama, mudah serasi dan memberi hasil yang baik," katanya.

Adrian berharap peminat yang berpeluang menonton filem berkenaan pada tayangan perdana dan malam gala di ibu negara, baru-baru ini, agar tidak berkongsi butiran terperinci mengenai The Assistant terutama jalan cerita.

"Bagi mereka yang sudah menonton filem ini, jika boleh, usah 'spoil' dengan mendedahkan jalan cerita filem ini.

"Ada sesetengah elemen dalam filem ini harus ditonton sebagai 'first timer'. Ingat semua, 'no spoiler' supaya penonton lain dapat merasai pengalaman 'fresh' di pawagam," katanya sambil memberitahu filem itu ditayangkan serentak di Singapura, mulai esok.

Adrian menambah, kos pembikinan The Assistant yang menjalani penggambaran tahun lalu, mencecah RM6 juta.

"Filem ini sarat dengan babak aksi dan banyak 'twist' serta pengakhiran filem ini tidak boleh dijangka," katanya.

Sementara itu, Iedil atau nama penuh, Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin berbangga dapat berlakon di bawah arahan Adrian dan berganding dengan Hairul.

"Ini filem aksi pertama sepenuhnya yang saya bintangi. Saya berganding dengan Hairul buat kali pertama dalam filem ini.

"Sesuatu yang harus dipuji, Adrian sering turun padang pada sesi latihan dan koreografi.

"Latihan intensif sebelum masuk ke set penggambaran dari pagi membawa ke malam memberi pendedahan dan persediaan untuk saya mengatasi kekurangan dan kelemahan diri," katanya yang melebarkan sayap di Indonesia dengan membintangi drama bersiri.

Adrian dan pelakon filem The Assistant bangga mewakili Malaysia ke peringkat global.
Adrian dan pelakon filem The Assistant bangga mewakili Malaysia ke peringkat global.

Sementara itu, Hairul mengakui meminati lakonan pentas teater yang menjadi kekuatan Iedil.

"Iedil menjadi antara salah seorang pelakon kegemaran. Saya banyak bertanya dengannya. Banyak babak kami lakonkan bersama dalam filem ini.

"Dia juga buat saya jadi selesa. Dalam babak kaki kami diikat kabel, dia banyak menyokong saya supaya tidak rasa sakit. Pendek kata, dia buat saya selesa tanpa wujud jurang," katanya.

Hairul menambah, mereka akan bergandingan lagi dalam filem aksi Bakara arahan Adrian yang menjalani penggambaran di Turki, bulan depan.

The Assistant mengangkat kisah Zafik lakonan ledil yang terpaksa merengkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak

dilakukannya.

Selepas hilang segala-galanya, Zafik bertemu Feroz (Hairul Azreen) yang sering muncul pada waktu yang tepat. Adakah

Zafik berjaya merungkai motif sebenar Feroz?

Sepanjang perkenalan mereka, berlaku pelbagai konflik dan pertarungan hingga pertumpahan darah.

Sebelum ini, dilaporkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) membuat tiga potongan terhadap filem aksi berkenaan.

Adrian dilaporkan berkata, banyak dialog yang mengandungi bahasa kasar diluluskan kerana filem itu mendapat klasifikasi tontonan untuk individu berusia lebih 18 tahun.

Mengetengahkan genre thriller dan aksi, The Assistant adalah kolaborasi Sony Pictures Entertainment Malaysia dan Act 2 Pictures.

Selain Iedil dan Hairul Azreen, The Asistant menampilkan Henley Hii dan Farali Khan.

Berita Harian X