Sabtu, 14 Mei 2022 | 1:00pm
Menyahut cabaran, Siti Saleha melangkah keluar dari zon selesa dengan menerima pelawaan penerbit program bual bicara Women Talk sebagai hos. Foto IG Siti Saleha
Menyahut cabaran, Siti Saleha melangkah keluar dari zon selesa dengan menerima pelawaan penerbit program bual bicara Women Talk sebagai hos. Foto IG Siti Saleha

Rezeki terpijak Siti Saleha

KUALA LUMPUR: Lebih 12 tahun berkongsi bakat sebagai pelakon, akhirnya, aktres berbakat besar, Siti Saleha mencabar diri keluar dari zon selesa demi menyahut cabaran sebagai hos program bual bicara terbitan TV3, Women Talk.

Siti Saleha yang melonjak populariti menerusi drama Nora Elena, Jika Masih Ada Rindu dan 7 Hari Mencintaiku itu secara rasmi mengendalikan episod pertama, Women Talk, hari ini.

Pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tiga kali itu memberitahu, TV3 mula merisik untuk memberi peluang kepadanya mengendalikan program Women Talk bersama hos lain, sejak Mac lalu.

"Sudah lama TV3 mahu saya teroka ruang sebagai hos. Cuma sebelum ini, saya terikat dengan komitmen lakonan. Jadi, saya tidak boleh tamak.

"Saya kena tegas dengan keputusan untuk memberi keutamaan kepada bidang lakonan terlebih dahulu.

"Namun, akhirnya, Elaine Daly yang bertindak sebagai salah seorang penerbit program bual bicara berkenaan mengirimkan mesej mengajak saya menjadi hos.

"Kebetulan, saya sudah lapang daripada kerja lakonan. 'Umpan' Elaine akhirnya mengena dan saya bersetuju untuk mengacara program itu bersama Deborah Henry sebagai hos utama," katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Basildon, England ini percaya masanya sudah tiba untuk dia mewarnai kanvas seni dalam dunia pengacaraan pula.

"Saya anggap peluang dan tawaran ini sebagai ruang mencuba skop kerja lain. Selama ini, pernahlah menjadi pengerusi majlis untuk acara tertutup.

"Tetapi kerja sebagai hos ini tuntutannya berbeza. Saya perlu membiasakan diri bekerja dengan kru. Apatah lagi, program ini dibuat secara rakaman. Jadi. banyak aspek kerja dan produksi yang saya timba kali ini," katanya.

Women Talk boleh ditonton di www.tonton.com.my dan saluran rasmi TV3 di YouTube. Foto Ihsan TV3
Women Talk boleh ditonton di www.tonton.com.my dan saluran rasmi TV3 di YouTube. Foto Ihsan TV3

Siti Saleha berkata, tugas mengendalikan Women Talk menjadi lebih mudah kerana isu diketengahkan sangat dekat dengan dirinya sebagai wanita bekerjaya.

"Banyak topik diangkat dalam program ini sedikit sebanyak memberi input dan pengetahuan berguna kepada saya," katanya yang hangat dengan drama 7 Hari Mencintaiku musim ketiga yang disiarkan TV3.

Bintang yang diangkat sebagai pemenang trofi Asian Model, Asia Model Festival 2020 di Seoul, Korea Selatan ini berkata, pada mulanya, produksi Women Talk meminta dia mengendalikan 13 episod program berkenaan.

"Bagaimanapun, selepas meminta 'diskaun' disebabkan kekangan masa memenuhi komitmen berlakon, saya hanya terbabit dalam enam episod sahaja.

"Rakaman semua episod itu sudah selesai dibuat. Antara topik yang saya kendalikan bersama Deborah, termasuk kupasan wanita dalam dunia politik, kesaksamaan jantina dan pengurusan kewangan," katanya.

Menurut pemenang kategori Pelakon Filem Wanita Popular bagi edisi ke-27 dan ke-28 ABPBH ini, peluang menjadi pengacara dianggap sebagai rezeki terpijak.

"Saya sudah memahat nama dan membina pengalaman sebagai pelakon. Sekarang saya berjinak-jinak menjadi hos. Setiap tahun, saya harus berani membuka langkah baharu.

"Saya tidak boleh statik dengan apa yang sudah ada di depan mata. Tetapi kerja mengacara ini, membuka ruang untuk saya menyerap ilmu dan pengetahuan serta belajar banyak perkara baharu," katanya.

Selain Deborah dan Siti Saleha, Zoraya Vadillo juga memikul mandat sebagai hos bersama Women Talk yang mula disiarkan TV3 sejak 2 April lalu.

Menerusi program ini, Deborah, Siti Saleha dan Zoraya masing-masing berkongsi pandangan dan berbincang dengan lebih lanjut mengenai isu yang menjadi fokus utama dalam kalangan wanita.

Mereka meneruskan perbincangan topik dan isu yang menarik untuk wanita bersama tetamu dan ikon jemputan.

Antara topik yang diselami adalah berkaitan industri perniagaan, perceraian, peranan wanita dalam kepemimpinan, stabiliti kewangan, tip kecantikan dan banyak lagi.

Antara tetamu diundang adalah pengasas Pops Malaya Rose Yasmin Karim, selebriti terkenal Siu Lim, peguam syariah perceraian, Nursahila Ayub dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Tidak ketinggalan penasihat kewangan, Brenda Yong, artis terkenal, Dr Soo Wincci serta ahli estetik dan doktor selebriti, Dr Katalina.

Sebelum ini, Women Talk mengupas topik penting dalam memperkasakan wanita seperti meraikan kemenangan wanita Malaysia bersama Datuk Nicol David dan wakil United Nations (UN), Datuk Noor Farida Ariffin.

Begitu juga topik kerisauan berhubung gangguan seksual bersama peguam, Datuk David Morals dan ahli pakar Anti Gangguan, Buli dan Diskriminasi, Emillia Sharff.

Turut dipaparkan isu wanita dan kanak-kanak dan program vaksinasi COVID-19 bersama Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Adeeba Kamaruzaman dan doktor terkenal sosial media, Dr Malar Santhi.

Women Talk boleh ditonton di www.tonton.com.my dan saluran rasmi TV3 di YouTube.

Layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia untuk maklumat lanjut dan program terkini TV3.

Berita Harian X