Jumaat, 29 April 2022 | 12:26pm
Arwah Wan Hasan sering mengingatkan anak-anaknya jangan lupa berdoa supaya Tuhan mengambil nyawanya pada hari baik dan tempat suci. - Foto IG Sharifah Zarina
Arwah Wan Hasan sering mengingatkan anak-anaknya jangan lupa berdoa supaya Tuhan mengambil nyawanya pada hari baik dan tempat suci. - Foto IG Sharifah Zarina
Sharifah Zarina terkilan hasrat arwah bapa untuk berbuka puasa bersama anak-anak tidak kesampaian apabila meninggal dunia ketika solat sunat Isyak di masjid, semalam. - Foto IG Sharifah Zarina
Sharifah Zarina terkilan hasrat arwah bapa untuk berbuka puasa bersama anak-anak tidak kesampaian apabila meninggal dunia ketika solat sunat Isyak di masjid, semalam. - Foto IG Sharifah Zarina

Bapa Sharifah Zarina meninggal dunia dalam masjid

KUALA LUMPUR: Bapa kepada penyanyi Sharifah Zarina, Wan Hasan Syed Jamil Alqadiri Aljilani, 69, menghembuskan nafas terakhir selepas rebah ketika menunaikan solat sunat Isyak di sebuah masjid di Kuching, Sarawak, semalam.

Berkongsi berita sedih menerusi hantaran video dimuat naik dalam akaun Instagram, Sharifah dilihat menangis teresak-esak saat menceritakan detik pemergian insan kesayangannya itu.

Mengulas lanjut, penyanyi Langit Ketujuh itu meluahkan rasa terkilan kerana hasrat arwah bapa untuk berbuka puasa bersama anak-anak tidak kesampaian.

"Sebelum ini, arwah ada menghubungi saya dan meluahkan hasratnya berkumpul dan berbuka puasa bersama anak-anak. Malah, arwah turut berhasrat bergambar beramai-ramai.

"Dalam perbualan itu, arwah kedengaran sangat teruja dan berharap hasratnya menjadi kenyataan.

"Arwah memang mahu berkumpul kerana dia tidak tahu apakah peluang dapat dirasai, tahun hadapan. Dan, sepatutnya saya pulang ke kampung esok (Sabtu) untuk menyambut hari raya.

"Sebaik sahaja mendapat perkhabaran ini, saya terus tukar jadual penerbangan. Nampaknya, hasrat arwah berkumpul dan berbuka puasa bersama anak-anak tak kesampaian. Sebaliknya, kami pulang hanya menziarah jenazahnya," kata Sharifah dalam nada sebak ketika dihubungi BH Online.

Walaupun berat hati menerima ketentuan takdir, namun, Sharifah Zarina reda dan pada masa bersyukur kerana doa arwah yang mahu meninggal dunia di tempat suci dijawab Tuhan.

"Arwah sering mengingatkan anak-anaknya setiap kali solat, jangan lupa berdoa supaya Tuhan mengambil nyawanya pada hari yang baik dan di tempat suci. Apabila melihat arwah menghembus nafas terakhir dalam masjid dan pada malam 27 Ramadan, terus hilang rasa sedih.

"Apa yang dihajati selama ini Allah sudah makbulkan. Saya harap doakan untuk roh arwah," luah Sharifah.

Tambah Sharifah, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching selepas solat Jumaat.

Terdahulu, berita duka yang dikongsi Sharifah Zarina menerusi hantaran video menarik perhatian pengikut dan rakan artis apabila rata-rata menzahirkan rasa simpati sambil mendoakannya tabah menghadapi ujian itu.

Berita Harian X