Selasa, 26 April 2022 | 12:30pm
Kemunculan Smith kali pertama di khalayak ramai disifatkan keluar daripada ‘pertapaan’ selepas kontroversi melempang Rock di pentas Anugerah Akademi Ke-94, penghujung Mac lalu. - Foto AGENSI
Kemunculan Smith kali pertama di khalayak ramai disifatkan keluar daripada ‘pertapaan’ selepas kontroversi melempang Rock di pentas Anugerah Akademi Ke-94, penghujung Mac lalu. - Foto AGENSI

Will Smith jalani rawatan kerohanian di India

KUALA LUMPUR: Aktor Hollywood kontroversi, Will Smith muncul di lapangan terbang Mumbai, India, selepas hampir sebulan menyepikan diri selepas terpalit kontroversi melempang pelakon dan pelawak, Chris Rock di pentas Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, penghujung Mac lalu.

Kemunculan pertama Smith di khalayak ramai pada 23 April lalu disifatkan keluar daripada 'pertapaan' selepas insiden yang menggegarkan industri Hollywood itu.

Mengikut laporan portal The Indian Express menerusi foto yang dikongsi, Smith dilihat turun daripada kereta dan menuju ke terminal lapangan terbang berkenaan.

Malah, foto berkenaan juga menunjukkan Smith kelihatan seperti sedang berinteraksi dengan seorang lelaki yang berkemungkinan besar menjadi 'tuan rumah' sepanjang berada di India.

Namun, tujuan Smith berada di India masih kabur. Bagaimanapun, berdasarkan kelibat sami yang berada di sisinya, ia berkemungkinan berkaitan dengan rawatan kerohanian bersama Isha Foundation's Sadhguru.

Kelibat Smith bersama sami yang berada di sisinya, dikaitkan berkemungkinan menjalani rawatan kerohanian bersama Isha Foundation’s Sadhguru. - Foto AGENSI
Kelibat Smith bersama sami yang berada di sisinya, dikaitkan berkemungkinan menjalani rawatan kerohanian bersama Isha Foundation’s Sadhguru. - Foto AGENSI

Smith pernah mengeluarkan kenyataan dirinya salah seorang pengikut Sadhguru.

Terdahulu, Smith menerima padah apabila penganjur Anugerah Akademi, Akademi Seni Filem dan Sains mengambil tindakan tegas terhadap bintang terkemuka Hollywood itu dengan memutuskan larangan menyertai acara itu selama 10 tahun, bulan lalu.

Smith meletak jawatan daripada Anugerah Akademi kerana menyesali dan menyedari kesilapannya pada 1 April lalu, lapor agensi berita Anadolu.

"Saya sepenuhnya akan menerima sebarang tindakan akibat atas kelakuan. Tindakan saya semasa penyampaian Anugerah Akademi Ke-94 mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan," kata Smith dalam satu kenyataan - AGENSI.

Berita Harian X