Ahad, 24 April 2022 | 1:00pm
Nelydia akur kehebatan Fasha, malah memuji antara heroin popular yang mempunyai disiplin tinggi. - Foto Ihsan TV3
Nelydia akur kehebatan Fasha, malah memuji antara heroin popular yang mempunyai disiplin tinggi. - Foto Ihsan TV3

Serap ilmu 'otai'

KUALA LUMPUR: Dua belas tahun lalu, Nelydia Senrose pernah dipertemukan dengan aktres digelarnya 'living legend', Fasha Sandha dalam drama Spa Qistina.

Ketika itu, Nelydia berusia 15 tahun dan masih menuntut di tingkatan tiga. Fasha pula masih solo dan menjadi antara heroin drama pujaan ramai.

Masa berlalu, namun, bagi Nelydia, memerhatikan cara Fasha bekerja dan komitmennya di lokasi penggambaran, aktres 'senior' itu terus dikagumi.

Akhirnya, siapa sangka, selepas lebih sedekad, mereka kembali beraksi bersama dalam drama Khilaf Asmara terbitan Radius One Sdn Bhd yang disiarkan TV3 sejak 18 April lalu.

Bercerita transisi kerjaya seni Fasha, Nelydia akur, kehebatan idolanya itu.

"Ketika kami berlakon dalam drama Spa Qistina, Fasha adalah antara heroin popular yang mempunyai disiplin tinggi.

"Selepas dua bulan kami berada di set penggambaran drama Khilaf Asmara, Fasha tetap menyenangkan.

"Saya pada mulanya rasa gementar kerana bagi saya, Fasha adalah 'living legend'. Dari dulu hingga sekarang, Fasha masih bertahan.

"Pasti ada sesuatu dalam dirinya hingga boleh meneruskan survival seni. Tidak ramai yang boleh jadi sepertinya. Biarpun sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri, dia masih diterima.

"Fasha memiliki komitmen tinggi hasil kerja keras dan dedikasi... Bukan mengharapkan tuah semata-mata," katanya kepada BH Online.

Antara babak Nelydia, Fasha dan Fattah Amin dalam drama Khilaf Asmara. - Foto Ihsan TV3
Antara babak Nelydia, Fasha dan Fattah Amin dalam drama Khilaf Asmara. - Foto Ihsan TV3

Isteri kepada Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid ini sedar Fasha sudah 'masak' dengan rentak seni hiburan.

"Fasha tahu suasana di set penggambaran. Namun, dia memilih untuk menjaga 'call time' dan menghormati masa. Fasha selalu datang awal hingga kita terikut-ikut dengan caranya," katanya.

Mengenai drama Khilaf Asmara, Nelydia memegang watak gadis bernama Irma.

"Sebenarnya, ini 'first baby' saya di bawah arahan Uchee Fukada. Selain mengarah, Uchee juga menulis skrip. Jadi hasilnya lebih 'deep'.

"Seperti kebiasaannya, plot 'twist' pasti ada, tetapi tunggulah kesudahannya.

"Saya lebih memahami jalan cerita ini kerana sudah berkahwin. Tidak terlalu bergantung kepada skrip, jadi otak kena 'jalan' cepat," katanya.

Mengulas mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Nelydia memberitahu, dia mungkin terikat dengan penggambaran beberapa telefilem.

"Saya harap dapat meluangkan waktu bersama suami pada bulan mulia ini," katanya yang dilantik TV3 sebagai wajah kempen Ramadan Raya 2022.

Berita Harian X