Jumaat, 15 April 2022 | 6:00pm
Faye tidak kisah diberikan peranan menjayakan watak ibu kerana menganggapnya satu proses
Faye tidak kisah diberikan peranan menjayakan watak ibu kerana menganggapnya satu proses

Faye cabar diri bawa watak komedi

KUALA LUMPUR: Sekiranya dahulu ditawarkan watak utama, kini pelakon, Faye Kusairi, tidak kisah diberikan peranan menjayakan watak ibu.

Faye atau nama sebenar, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 35, berkata, dia tidak mempunyai masalah dalam menjayakan watak lebih berusia kerana memahami ia adalah satu proses dalam bidang lakonan.

"Saya okay sahaja, tiada masalah. Saya memahami ia satu proses dan saya perlu terima proses penambahan usia itu.

"Ada segelintir teman menganggap saya tak patut mengambil sesetengah karakter, tetapi bagi saya, itulah cabaran sebagai seorang pelakon. Kita kena terima cabaran membawakan pelbagai karakter.

"Tetapi, tidaklah menerima semuanya, selagi ia bersesuaian dengan karakter dan boleh membawakannya, jadi mengapa tidak? Saya akan buat sahaja, tiada masalah," katanya kepada BH Online.

Faye Kusairi ditemui pada sidang media drama Do You Love Me, Captain? secara virtual, baru-baru ini.

Faye sukar menjayakan drama Do You Love Me, Captain? berikutan janggal menghidupkan naskhah komedi. - Foto IG Faye Kusairi
Faye sukar menjayakan drama Do You Love Me, Captain? berikutan janggal menghidupkan naskhah komedi. - Foto IG Faye Kusairi

Menerusi drama komedi itu, Faye membawakan watak Harlina, iaitu seorang ibu saudara yang agak gila, tetapi kelakar.

"Dalam drama ini, Harlina kelihatan sebagai wanita berusia yang menyeronokkan, bukan tidak. Jadi, selagi watak ini menyeronokkan, saya okay sahaja, insya-Allah," katanya.

Mengulas lanjut, Faye tidak menafikan agak sukar untuk dirinya menjayakan drama arahan Adam Hamid itu ekoran janggal menghidupkan naskhah komedi.

"Saya jarang menerima tawaran berlakon komedi, jadi memang ia memaparkan sisi berbeza. Selalunya saya keluar televisyen, dengan watak jahat, kali ini watak antagonis, tetapi kelakar.

"Saya akui ia mencabar sebab watak komedi bukan forte saya. Saya tidak rasa saya seorang yang kelakar dan cabarannya untuk membuat orang terhibur dengan komedi saya.

"Saya tidak pandai, tetapi saya harap hasilnya baik ketika ditayangkan nanti. Ia bukan sesuatu yang saya selalu buat, tetapi saya sudah cuba yang terbaik," katanya.

Drama Do You Love Me, Captain? terbitan Creative Skill Solution ditayangkan di slot Lestary TV3 sejak 13 April lalu.

Ia turut dibintangi Sharifah Rose, Ali Rezark, Azim Yusof dan Hazeeq Dean.

Berita Harian X