Khamis, 14 April 2022 | 11:00am
Dari kiri, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali, Mohamad Azhan, Farhan dan Farah Hanini pada program Santai Budaya Kota Seni di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dari kiri, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali, Mohamad Azhan, Farhan dan Farah Hanini pada program Santai Budaya Kota Seni di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Aktifkan semula Petaling Jaya sebagai Kota Seni

KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) rancak menggerakkan aktiviti seni sempena fasa peralihan ke endemik. Ia dapat dilihat menerusi usaha menjadikan Petaling Jaya (PJ) sebagai Kota Seni.

Pada 1 April lalu, MBPJ mengadakan program Santai Budaya Kota Seni yang berlangsung di Laman MBPJ & Dataran Boulevard, Seksyen 52, Petaling Jaya.

Program ini menampilkan 15 aktiviti termasuklah tingkah tari, permainan rakyat, pelancaran kelab basikal, kayuhan santai, zumba, hoki jalanan, kendera saji dan gerai makanan.

Tidak ketinggalan, perpustakaan bergerak, sukan bola jaring, futsal, Rumah Seni Selangor, busking dan Bean Scooter.

Kemuncak program diserikan dengan persembahan penyanyi Azlan & The Typewriters dengan kehadiran ramai pengunjung.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohammad Azhan Md Amir berkata, wawasan mewujudkan Kota Seni dilakukan sejak 2015 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Namun, ia terhenti apabila negara berdepan pandemik. Kini, Malaysia berada dalam fasa peralihan ke endemik.

"Jadi, kami mahu PJ diaktifkan semula sebagai Kota Seni.

"MBPJ mahu PJ dihidupkan sebagai Kota Seni, pelbagai budaya seni berada di sini. Kami merancang satu acara lebih besar dipanggil PJ International Folklore Festival, penghujung tahun ini.

"Bermula 1 April lalu, kami sudah memulakan dengan program seni budaya. Kali ini, lebih bertumpu kepada tarian, namun, tetap menampilkan permainan rakyat," katanya.

Mohamad Azhan berkata, program Santai Budaya dan Kota Seni akan menjadi satu cap dagang kepada masyarakat.

"Sebut PJ orang akan ingat Kota Seni. Kami mahu semarakkan seni budaya masyarakat Malaysia. Ia membabitkan penyertaan artis popular, busker dan sebagainya.

"Seni ini luas, ada muzik, tari dan sebagainya. Kami tidak akan meminggirkan mana-mana pihak.

"Dalam konteks ini, semua daripada aspek seni tari, budaya, lakon dan teater akan digabung.

"Kami akan jadikan Boulevard Seksyen 52 depan pejabat MBPJ sebagai kawasan Kota Seni.

"Insya-Allah, PJ akan sambut Hari Bandaraya Ke-16 pada Jun depan, jadi pelbagai aktiviti dirangka menyokong Kota Seni," katanya.

Program bertemakan Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya) juga akan menampilkan persembahan kebudayaan masyarakat setempat.

"Ini termasuk di bawah program Sister City. Antaranya, Bandung-Indonesia, Miyoshi-Jepun, Asan-Korea Selatan, Seong Bok Gu-Korea Selatan dan Xing Yuan-China.

"Ia satu peluang keemasan buat warga kota dan penduduk PJ khususnya apabila program ini dijangka berlangsung pada November depan.

"Selain persembahan budaya Sister City, artis tempatan juga terbabit dengan konsert," katanya.

Pada tarikh sama, MBPJ melalui Kelab Wanita IRIS turut menganjurkan sambutan Hari Wanita PJ di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ.

Penganjuran itu bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan jasa wanita dalam pembangunan negara.

Pada acara berkenaan, penyanyi Farhan dan Caliph Buskers diundang menghiburkan tetamu.

Yang turut hadir, isteri kepada Mohamad Azhan, Farah Hanini Abdul Rahman yang juga Penasihat Kelab Wanita IRIS MBPJ.

Berita Harian X