Sabtu, 9 April 2022 | 6:00pm
Aizat mengakui Elyssa adalah wanita istimewa dalam hidupnya. - Foto IG Elyssa Alia
Aizat mengakui Elyssa adalah wanita istimewa dalam hidupnya. - Foto IG Elyssa Alia

Aizat nafi sorok kahwin, ada anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hanya Kau Yang Mampu, Aizat Amdan, 33, bakal mendirikan rumah tangga bersama pengurus bakat di Kasi Gegar Entertainment (KGE), Elyssa Alia, 34, tahun ini.

Aizat berkata, pihak keluarganya sudah merisik wanita pilihan hatinya itu pada 12 Februari lalu.

"Saya mengakui Elyssa adalah wanita istimewa dalam hidup saya. Dia teman wanita saya sekarang.

"Alhamdulillah, acara merisik sudah dilaksanakan. Namun, walaupun sudah merisik, ia masih belum ikatan sah. Jadi, doakanlah yang terbaik buat saya dan Elyssa," katanya kepada BH Online.

Tambah Aizat, dia akan memaklumkan tarikh perkahwinan apabila segala perancangan sudah ditetapkan.

"Dalam situasi sekarang, saya tidak boleh terlalu merancang. Saya dengar ada Pilihan Raya Umum (PRU) dan sebagainya, jadi saya pun tidak pasti. Sekarang ini, kami hanya mampu berusaha.

"Apa-apa pun, saya akan maklumkan. Sekarang saya sedang membuat persiapan sedikit demi sedikit seperti mencari lokasi," katanya.

Kongsi Aizat, dia mengenali Elyssa sejak dua tahun lalu ketika bekerja sebagai penyampai radio di stesen radio Rakita.

"Saya berjumpa Elyssa ketika bekerja bersama stesen radio Rakita. Ketika itu, Elyssa bergelar penyampai radio," katanya.

Aizat mengenali Elyssa ketika bekerja sebagai penyampai radio di stesen radio Rakita, dua tahun lalu. - Foto IG Elyssa Alia
Aizat mengenali Elyssa ketika bekerja sebagai penyampai radio di stesen radio Rakita, dua tahun lalu. - Foto IG Elyssa Alia

Menjawab dakwaan sudah berkahwin selepas Elyssa memuat naik gambar bersama seorang kanak-kanak, Aizat berkata, kanak-kanak itu adalah anak saudaranya.

"Mungkin disebabkan rupa seperti saya, tetapi sebenarnya kanak-kanak itu anak kakak saya. Elyssa pula sangat sukakan kanak-kanak.

"Itu yang membuatkan saya tertarik dengannya. Elyssa seorang penyayang, bukan terhadap saya sahaja, tetapi pada manusia lain juga," katanya.

Aizat ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Armani Entertainment Group, baru-baru ini.

Sementara itu, Elyssa mengharapkan doa yang baik-baik agar hubungan hingga ke jenjang pelamin.

"Hubungan masih baharu, namun, Alhamdulillah kami sudah mengambil keputusan ke fasa seterusnya. Ibu bapa pun memberi restu, malah, keluarga Aizat datang merisik pada 12 Februari lalu.

"Jadi, insya-Allah kami akan melangsungkan perkahwinan, tidak lama lagi. Soal ini, Aizat akan umumkan," katanya.

Tambah Elyssa, dia terpikat dengan sifat Aizat yang mementingkan agama, sekali gus dilihat mampu membimbingnya.

"Jujurnya, saya terpikat kerana agama. Aizat nampak bersahaja, tetapi memiliki hati besar.

"Semua orang mahu berubah ke arah baik. Aizat menjadi insan pertama yang mengimamkan solat ketika Ramadan lalu, itu yang membuatkan saya benar-benar yakin Aizat boleh membimbing saya.

"Selain itu, kami juga suka menikmati makanan. Mulanya, kami selalu makan bersama hinggalah timbul rasa suka antara satu sama lain.

"Paling penting, saya boleh jadi diri sendiri apabila bersama Aizat. Dia juga seperti kawan baik saya," katanya yang juga hos program Jom Wayang di HyppTV.

Berita Harian X