Khamis, 7 April 2022 | 6:00pm
Ayu tidak dapat menahan sebak apabila teringatkan arwah bapanya yang meninggal dunia akibat kanser otak, tahun lalu.
Ayu tidak dapat menahan sebak apabila teringatkan arwah bapanya yang meninggal dunia akibat kanser otak, tahun lalu.

Baju Melayu biru permintaan terakhir arwah bapa

BANGI: Penyanyi, Ayu Damit menitiskan air mata mengenangkan kali pertama menempuh Ramadan dan Aidilfitri tanpa arwah bapa tersayang, Allahyarham Damit Osiri, 72, yang meninggal dunia akibat kanser otak pada Julai tahun lalu.

Berkongsi lanjut perasaan dukanya, Ayu atau nama sebenar, Norayu Damit, 32, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat menyambut Syawal bersama arwah bapa, tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tahun lalu, arwah banyak membuat persiapan raya. Antaranya, pasang lampu raya. Mungkin arwah sudah dapat merasai itu adalah Syawal terakhir buatnya.

"Arwah ada bertanya pada emak, mengapa saya tak balik. Emak cuma cakap, kami tak boleh nak balik kampung sebab PKP. Saya memang ralat sangat," katanya kepada BH Online.

Perasaan sebak penyanyi Hanya Di Mercu ini semakin berpanjangan saat bercerita mengenai baju Melayu warna biru yang menjadi hadiah terakhir buat insan kesayangannya itu.

"Banyak perkara yang dirindui apabila bercakap mengenai diri arwah. Biasanya apabila raya, arwah paling 'bising' bertanyakan itu dan ini.

"Arwah tidak banyak kerenah. Paling tidak pun hanya minta belikan baju raya sahaja.

"Kali terakhir, saya terpaksa pos baju raya warna biru yang diminta. Niat di hati nak beraya di kampung di Kota Kinabalu, tetapi tidak boleh nak balik gara-gara pandemik COVID-19.

"Nampaknya, tak akan ada suara bertanya atau meminta dibelikan baju Melayu, tahun ini. Kalau ada pun, mungkin emak. Memang tak lengkaplah raya, tahun ini," luah bekas pemenang program realiti One In A Million musim kedua ini.

Ayu simpan perasaan terkilan tidak sempat menyambut Syawal bersama arwah bapa berikutan pelaksanaan PKP, tahun lalu.
Ayu simpan perasaan terkilan tidak sempat menyambut Syawal bersama arwah bapa berikutan pelaksanaan PKP, tahun lalu.

Ditanya apakah dilakukan saat kerinduan terhadap arwah bertandang, pemilik vokal ampuh ini berkata, dia melepaskan segala perasaan sedihnya dengan menyanyi.

"Apabila perasaan rindu sudah tidak mampu dibendung, saya akan masuk studio dan menyanyikan lagu sedih sambil menangis. Itu adalah cara saya meluahkan perasaan terbuku dalam hati.

"Saya cuba mengelak daripada menangis depan anak-anak kerana tak mahu mereka salah sangka punca saya mengalirkan air mata. Suami amat memahami situasi saya," ungkapnya.

Ayu ditemui pada Majlis Iftar Hotel Tenera Bersama Media bertemakan balik kampung yang diadakan di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini. Selain sesi ramah mesra, Ayu memeriahkan suasana dengan menyampaikan dua lagu.

Berita Harian X