Ahad, 3 April 2022 | 8:30am
Sara mengaku berdepan masalah kebimbangan melampau terhadap COVID-19 ketika industri kreatif dibuka semula. Foto IG Sara Ali
Sara mengaku berdepan masalah kebimbangan melampau terhadap COVID-19 ketika industri kreatif dibuka semula. Foto IG Sara Ali

Sara belum tenggelam

KUALA LUMPUR: Nama Sara Ali mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sara dianggap antara anak seni berbakat besar yang pernah menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin TV3 pada 2015.

Namun, disebabkan kebanjiran ramai pelakon wanita pelapis baharu dalam dunia lakonan, Sara agak tenggelam sejak akhir-akhir ini.

Ia bukanlah bermakna Sara tidak laku, sebaliknya wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu masih ligat menerima pelbagai tawaran lakonan.

Sedekad dalam industri, pelakon berusia 31 tahun itu tidak menafikan tindakan sesetengah stesen televisyen (TV) bersikap pilih kasih memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut di media sosial adalah tidak wajar.

Sara atau nama sebenarnya, Siti Sarah Hairi Ali bersyukur, tidak perlu 'berperang' dengan jumlah pengikut dalam media laman sosial untuk membolehkan diterima berlakon.

"Barangkali, stesen TV tidak nampak kesan sikap pilih kasih yang dipraktikkan. Sebenarnya, sikap pilih kasih hanya mengecewakan orang yang benar-benar berbakat dalam lakonan.

Sara lega ada stesen TV yang tidak bersikap ‘double-standard’ apabila memilih pelakon berdasarkan kepada bakat dan pengalaman, bukannya jumlah pengikut laman sosial. Foto IG Sara Ali
Sara lega ada stesen TV yang tidak bersikap ‘double-standard’ apabila memilih pelakon berdasarkan kepada bakat dan pengalaman, bukannya jumlah pengikut laman sosial. Foto IG Sara Ali

"Namun, saya lega ada juga stesen TV yang tidak bersikap 'double-standard' apabila memilih pelakon berdasarkan kepada bakat dan pengalaman, bukannya jumlah pengikut laman sosial," katanya kepada BH Online.

Sara ditemui pada sidang media drama Hotel Cahaya Bulan secara virtual, baru-baru ini.

Memulakan kerjaya lakonan pada 2011 menerusi filem Penunggu Istana, Sara sempat menitipkan pesanan buat pelakon baharu.

Katanya, pelakon yang berminat kepada dunia lakonan perlu mempunyai kesabaran tinggi ketika menyertai industri seni.

"Mereka perlu banyak bersabar. Zaman saya masih okay lagi kerana tidak perlu bersaing dengan jumlah pengikut seperti zaman sekarang atau dipilih berdasarkan kepada paras rupa.

"Jadi, tanam impian dan matlamat jika benar-benar berminat bergelar anak seni. Itulah yang membuatkan kenapa saya mampu bertahan sehingga hari ini," katanya.

Mengulas pembabitannya dalam drama Hotel Cahaya Bulan, Sara berkata, buat kali pertama membawakan watak komedi.

Sebelum ini, katanya, dia banyak ditawarkan watak serius.

Namun, sebaliknya dalam naskhah ini, dia membawa watak bersahaja sebagai pekerja hotel dikenali sebagai Amira Abdullah, ibu tunggal yang bekerja di hotel bertaraf lima bintang.

Sara berkata, dia seronok bekerja dalam produksi drama yang menampilkan empat pengarah iaitu Mien Ly, Khairil M Bahar, Gavin Yap dan Tony Pietra Arjuna kerana setiap pengarah ada cara tersendiri.

Tambah Sara, lebih membuatkan drama Hotel Cahaya Bulan menarik kerana barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Sharifah Amani, Riz Amin, Radhi Khalid dan ramai lagi.

"Lebih seronok, kami sering berlatih bersama. Cuma, cabarannya apabila menjalani penggambaran dalam era pandemik.

"Awalnya agak kekok apabila terpaksa mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

"Selain itu, terbit bimbang dijangkiti COVID-19. Sudahlah saya memegang watak utama, jadi saya perlu menjaga diri kerana bimbang menyusahkan orang lain," katanya.

Sara berkata, dia berdepan masalah kebimbangan melampau terhadap COVID-19 ketika industri kreatif dibuka semula.

"Tetapi kini saya semakin dapat menerima pendekatan norma baharu ini," katanya.

Berita Harian X