Khamis, 31 March 2022 | 6:18pm
Dayang berkongsi foto kenangan bersama Allahyarham Rudy ketika meraikan kejayaan mereka di pentas AJL. Foto IG Dayang Nurfaizah
Dayang berkongsi foto kenangan bersama Allahyarham Rudy ketika meraikan kejayaan mereka di pentas AJL. Foto IG Dayang Nurfaizah

Moga kita bersua 'Di Pintu Syurga' - Dayang Nurfaizah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah, 41, hilang kata-kata sebaik mendapat tahu pemergian bekas wartawan Harian Metro dan penulis lirik, Allahyarham Rudy Imran Shamsudin, 47, hari ini.

Melalui coretan di Instagram (IG), Dayang berkongsi pengalaman bekerja dengan Allahyarham Rudy yang dianggap banyak berjasa sepanjang perjalanan seninya.

"Rudy Imran yang biasa saya panggil abang Rudy antara orang yang melihat saya 'membesar' dalam bidang muzik.

"Bermula daripada hubungan antara wartawan dan artis hinggalah abang Rudy menulis lirik untuk lagu-lagu saya. Terlalu banyak kebaikan abang Rudy, orang sekeliling sentiasa menyenangi.

"Saya bagai hilang kata-kata kerana semuanya berlaku sangat cepat. Saya akan ingat setiap kenangan indah sepanjang kerjasama kami," katanya.

Selepas lebih tiga tahun melawan kanser usus, Allahyarham Rudy meninggal dunia di kediaman keluarga di Semenyih, Selangor, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Allahyarham Rudy yang menggunakan nama pena, Iman Imran, difahamkan baru keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Isnin lalu, selepas dimasukkan ke wad akibat keadaan kesihatan yang makin merosot, sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, arwah ketika itu meminta keluarganya merahsiakan perkembangan kesihatannya itu daripada pengetahuan orang lain.

Rudy yang menyertai akhbar Harian Metro pada 2004, bukanlah asing dalam dunia muzik melalui lirik dan hasil penulisannya.

Malah, lirik nukilannya, Lelaki Teragung dendangan penyanyi Dayang Nurfaizah, diangkat sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31 pada 2017.

Sebelum itu, lagu Di Pintu Syurga dendangan Dayang meraih tempat ketiga pada AJL 29.

Dalam hantaran itu, Dayang meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat merakamkan sebuah lagu baharu yang liriknya dihasilkan Rudy.

"Saya ralat kerana tidak sempat merakamkan lagu yang arwah tulis. Andai dapat diulang masa, saya ingin merakamkannya lebih awal agar abang Rudy dapat mendengarnya.

"Semoga roh abang Rudy ditempatkan dalam kalangan insan dikasihi Allah. Semoga kita bersua 'Di Pintu Syurga'," katanya.

Rudy yang meninggalkan Harian Metro pada 2019 berkhidmat sebagai wartawan selama 26 tahun. Sebelum itu, arwah pernah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia, Bacaria, Harian Watan, majalah Hai dan VariaPop.

Allahyarham yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), namun, tergendala disebabkan masalah kesihatan.

Berita Harian X