Khamis, 31 March 2022 | 8:30am
Antara artis yang hadir pada sidang media pengumuman kerjasama RIM dan Astro Radio dalam menghebahkan Carta RIM melalui stesen radio Hitz FM, Era dan MY. Foto IG RIM
Antara artis yang hadir pada sidang media pengumuman kerjasama RIM dan Astro Radio dalam menghebahkan Carta RIM melalui stesen radio Hitz FM, Era dan MY. Foto IG RIM

Refleksi pasaran muzik Malaysia

KUALA LUMPUR: Carta RIM kendalian Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang memberi refleksi sebenar muzik tempatan dan antarabangsa yang menjadi pilihan rakyat negara ini bakal dihebahkan melalui stesen radio di bawah Astro Radio, mulai Sabtu ini.

Melalui kerjasama RIM dan Astro Radio, Carta RIM akan diperdengarkan menerusi stesen radio Hitz FM, Era dan MY.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, Carta RIM diwujudkan sebagai tanda sokongan kepada penggiat muzik tempatan untuk mempromosikan lagu mereka.

"Selama ini, Carta RIM hanya dimuat naik di laman sesawang RIM dan media sosial sahaja. Mulai Sabtu ini, Carta RIM boleh didengari di Astro Radio.

"Carta RIM menyenaraikan lagu yang mencatat jumlah strim paling tinggi di Malaysia berdasarkan data diperoleh daripada perkhidmatan penstriman muzik digital utama di Malaysia seperti Spotify dan Apple Music.

Rosmin menjelaskan kerjasama eksklusif bersama Astro Radio dijalinkan demi pembangunan industri muzik tempatan. Foto Ihsan RIM
Rosmin menjelaskan kerjasama eksklusif bersama Astro Radio dijalinkan demi pembangunan industri muzik tempatan. Foto Ihsan RIM

"Data ini dicatatkan syarikat teknologi muzik global, BMAT," katanya pada sidang media di ibu negara, Selasa lalu.

Rosmin berkata, kerjasama eksklusif bersama Astro Radio dijalinkan demi pembangunan industri muzik tempatan.

"Sebenarnya, kami sudah berbincang mengenai kerjasama ini sejak tahun lalu dan kini berjaya dilancarkan. Tidak hanya itu, tidak lama lagi, jumlah tontonan YouTube juga diambil kira.

"Sekarang, data hanya diambil daripada platform penstriman audio. Seterusnya, kami akan ambil kira catatan penstriman video. Ini kerana di Malaysia, ramai yang turut mendengar muzik menerusi YouTube," katanya.

Mengimbas kembali, Rosmin berkata, Carta RIM pernah disiarkan di ntv7 pada era 1990-an dalam program yang dihoskan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Namun, pada 2006, Carta RIM dihentikan berikutan jualan album fizikal merudum dan dianggap tidak relevan dengan keadaan semasa.

"Pada 2017, Carta RIM dikembalikan iaitu selepas 11 tahun. Jika sebelum ini Carta RIM dibuat berdasarkan jualan kaset dan album, mulai 2017, kiraan dibuat menerusi lagu yang paling banyak distrim sehinggalah sekarang.

"Kami akan cuba kekalkan carta ini selama mungkin. Tetapi kita tidak boleh jangka apa yang akan jadi dengan industri muzik pada masa hadapan. Industri ini sentiasa berubah berikutan evolusi," katanya.

Rosmin berkata, Carta RIM banyak membantu perkembangan industri muzik secara menyeluruh sejak era 1990-an lagi.

"Sebelum ini pendedahan agak terhad kerana Carta RIM hanya disiarkan di laman sesawang dan media sosial. Tetapi

apabila carta ini dikeluarkan tiga stesen radio tempatan yang popular, ia akan memberi pendedahan yang sangat luas.

"Ini akan membantu syarikat rakaman yang menerbitkan lagu berkenaan. Apabila banyak pendedahan, sesebuah lagu akan lebih banyak distrim dan artis jadi lebih popular hingga lebih banyak undangan diterima," katanya.

Rosmin berkata, pihaknya percaya Carta RIM akan menerima sambutan baik daripada pendengar.

"Carta ini tidak hanya menyiarkan lagu tempatan, malah, lagu antarabangsa. Kita tahu lagu dari artis Korea Selatan seperti BTS popular di Malaysia," katanya.

Selain stesen radio Hitz FM, Era dan MY, pendengar boleh strim menerusi aplikasi SYOK untuk mengikuti Carta RIM.

Carta ini disiarkan melalui tiga kategori iaitu bahasa Melayu, Cina dan antarabangsa mengikut sasaran pendengar stesen radio itu.

Berita Harian X