Rabu, 30 March 2022 | 9:36am
Pinkett Smith yang tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi membabitkan suaminya, Smith dan Rock di pentas Oscar, kelmarin, memuat naik entri pertama di Instagram (IG), kira-kira 11 jam lalu. Foto IG Jada Pinkett Smith
Pinkett Smith yang tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi membabitkan suaminya, Smith dan Rock di pentas Oscar, kelmarin, memuat naik entri pertama di Instagram (IG), kira-kira 11 jam lalu. Foto IG Jada Pinkett Smith

Kontroversi Oscar, Jada Pinkett Smith bersuara

LOS ANGELES: "Ini adalah masa untuk berbaik semula dan saya sudah bersedia."

Dua hari selepas insiden Will Smith menempeleng Chris Rock di pentas Anugerah Akademi Ke-94 (Oscar), isteri pelakon dan penerbit itu, Jada Pinkett Smith, memuat naik hantaran pertama di Instagram (IG), kira-kira 11 jam lalu.

Biarpun sebaris ayat ringkas berbunyi 'This is a season for healing and I'm here for it', kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan insiden kontroversi membabitkan suaminya dan Rock.

Semakan di IG rasmi @jadapinkettsmith menunjukkan entri berkenaan meraih lebih 150,000 tanda 'like' daripada pengikutnya.

Entri ringkas dimuat naik Pinkett Smith di Instagram (IG), kira-kira 11 jam lalu yang dipercayai ada kaitan dengan kontroversi membabitkan suaminya, Smith dan Rock di pentas Oscar, kelmarin. Foto IG Jada Pinkett Smith
Entri ringkas dimuat naik Pinkett Smith di Instagram (IG), kira-kira 11 jam lalu yang dipercayai ada kaitan dengan kontroversi membabitkan suaminya, Smith dan Rock di pentas Oscar, kelmarin. Foto IG Jada Pinkett Smith

Pelakon dan penyanyi itu memiliki lebih 11.8 juta pengikut IG.

Sejak insiden yang hangat diperdebatkan netizen itu tercetus, Pinkett Smith tidak mengeluarkan kenyataan media sehinggalah entri terbabit dimuat naik di IG.

Kelmarin, pergeseran Rock dan Smith di pentas Oscar yang menyaksikan Smith melempang pelakon dan pelawak popular itu, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, di sini dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung acara anugerah berprestij itu.

Ia berlaku ketika Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Oscar, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.

"Oooo! Wow! Will Smith bagi saya penampar," kata Rock selepas ditampar Smith.

Menuju ke tempat duduknya, Smith dilihat berjalan sampai memberi amaran kepada Rock supaya tidak mempersenda isterinya.

"Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku," katanya.

Difahamkan, pada detik itu, kata-kata Smith 'dipadamkan' daripada siaran ulangan.

Sementara itu, penganjur Oscar, Academy of Motion Picture Arts and Sciences mengutuk insiden terbabit dan dilaporkan sudah memulakan siasatan dalaman.

Melalui kenyataan akademi itu, penganjur sudah memulakan proses menilai semula insiden mengejutkan itu dan sedia menimbang tindakan selanjutnya mengikut standard kelakuan dan undang-undang di California, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi.

Selain kenyataan media, turut dikepilkan dokumen lima muka surat berhubung standard kelakuan yang memberi petunjuk jenis perlakuan atau perbuatan yang tidak diterima Academy of Motion Picture Arts and Sciences berkaitan penganjuran Anugerah Akademi (Oscar), lapor agensi. AGENSI

Berita Harian X