Isnin, 28 March 2022 | 1:05pm
Trofi kemenangan Katsur disampaikan bintang veteran Korea Selatan, Youn Yuh-Jung di pentas Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini. Foto AFP
Trofi kemenangan Katsur disampaikan bintang veteran Korea Selatan, Youn Yuh-Jung di pentas Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini. Foto AFP

Will Smith, Troy Katsur menang trofi Oscar

LOS ANGELES: Kekurangan diri bukan penghalang berkongsi bakat seperti dibuktikan aktor kelahiran Arizona, Amerika Syarikat (AS), Troy Katsur, 54, yang merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Akademi Ke-94, hari ini.

Lakonan aktor yang mengalami masalah cacat pendengaran dalam filem CODA, iaitu singkatan membawa maksud 'child of deaf adults' atau anak kepada insan cacat pendengaran, memikat juri untuk memilih Katsur sebagai pemenang.

Atas kejayaan itu, Katsur melakar sejarah sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) berstatus pekak pertama memenangi trofi Oscar.

Melalui filem dan kategori sama, Katsur meraih kejayaan dalam pelbagai acara anugerah lain seperti Anugerah Akademi British (BAFTA) 2022 dan Anugerah Screen Actors Guild (SAG) 2022.

Watak nelayan dan ketua keluarga bernama Frank Rossi ternyata membuka mata ramai terhadap bakat seni Katsur yang aktif berlakon sejak tiga dekad lalu.

"Suatu pengalaman hebat untuk berada di sini dalam perjalanan ini. Saya masih tidak boleh percaya sedang berada di sini.

"Kemenangan ini untuk komuniti cacat pendengaran, CODA dan mereka yang kurang upaya.

"Terima kasih kepada penganjur kerana memerhati dan mengiktiraf bakat serta hasil kerja yang saya," katanya yang dilahirkan pekak sejak kecil.

Trofi kemenangan Katsur disampaikan bintang veteran Korea Selatan, Youn Yuh-Jung yang juga pelakon filem Minari.

Katsur menewaskan pesaing lain seperti J K Simmons bagi filem Being the Ricardos, Ciaran Hinds (Belfast) dan dua calon daripada filem The Power of the Dog iaitu Jesse Plemons dan Kodi Smit-McPhee.

Sementara itu, pelakon dan penerbit, Will Smith yang mencetuskan kontroversi di pentas Oscar apabila menampar penyampai trofi, Chris Rock, diumum Pelakon Filem Lelaki Terbaik hasil lakonannya dalam filem King Richard.

Smith yang tampil dengan lakonan cemerlang dalam filem King Richard, diumumkan pemenang Pelakon Filem Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini. Foto AFP
Smith yang tampil dengan lakonan cemerlang dalam filem King Richard, diumumkan pemenang Pelakon Filem Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini. Foto AFP

Ketika menerima trofi, Smith memohon maaf atas keterlanjurannya itu.

"Saya sudah biasa menyayangi dan melindungi orang dalam hidup ini. Saya juga tahu, dalam hidup ini, kita kena berdepan perkara negatif.

"Pasti ada yang bercakap buruk mengenai kita. Dalam bidang ini, kita kena berdepan dengan situasi apabila orang tidak hormat kita dan kita terpaksa senyum sahaja.

"Saya mahu minta maaf kepada penganjur (Anugerah Akademi Ke-94). Saya juga mahu minta maaf kepada semua calon lain yang bertanding," katanya tanpa menyebut nama Rock.

Smith juga memetik kata-kata aktor Denzel Washington yang bertemunya selepas insiden lempang itu.

"Denzel berpesan kepada saya ketika berada di puncak, detik itulah 'syaitan' mendekati kita," katanya.

Dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Smith menewaskan calon lain termasuk Denzel Washington, Javier Bardem dan Andrew Garfield.

Kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik pula dimenangi Jessica Chastain untuk filem The Eyes of Tammy lantas membenamkan harapan calon lain seperti Nicole Kidman, Kristan Stewart dan Penelope Cruz.

Acara berprestij itu juga menyaksikan filem Dune dibintangi Zendaya dan Timothee Chalamet, menang enam kategori iaitu Skor Asli Terbaik, Kesan Khas Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik dan Bunyi Terbaik.

Berita Harian X