Khamis, 24 March 2022 | 8:30am
Zed menyifatkan tindakan Zul yang terbabit dengan perkongsian video memaparkan satu adegan drama rantaian yang tular baru-baru ini, jelas bertentangan dengan nilai ketimuran Malaysia. Foto NSTP
Zed menyifatkan tindakan Zul yang terbabit dengan perkongsian video memaparkan satu adegan drama rantaian yang tular baru-baru ini, jelas bertentangan dengan nilai ketimuran Malaysia. Foto NSTP

Insiden video kontroversi 'wake up call' - SENIMAN

KUALA LUMPUR: Kontroversi dicetuskan Zul Ariffin yang terbabit dengan perkongsian video memaparkan satu adegan drama rantaian yang tular, baru-baru ini, dianggap Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sebagai 'wake up call' atau isyarat akhir kepada penggiat industri seni terhadap kepincangan yang didakwa berlaku dalam dunia penerbitan drama.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata kecenderungan memberi keutamaan kepada pelakon yang memiliki lebih sejuta pengikut laman sosial dalam menjayakan projek drama mendorong pemilik akaun berkongsi entri yang berpotensi tular dan menjadi perdebatan netizen.

Ini sekali gus, tambah Zed, mampu meningkatkan jumlah pengikut media sosial mereka.

"SENIMAN memandang serius kontroversi ini. Tindakan aktor itu jelas bertentangan dengan nilai ketimuran Malaysia. Kita bukannya di Barat yang boleh menerima babak aksi ghairah secara terbuka.

"Perbuatan itu bukan sahaja memalukan diri sendiri dan syarikat produksi, malah, penggiat seni lain. Perbuatan itu juga mencemarkan reputasi industri seni secara keseluruhan.

"Inilah yang akan berlaku apabila terlalu taksub dengan media sosial. Disebabkan mahu mengejar populariti dan mahu mengumpul pengikut ramai semata-mata mahu mendapatkan tawaran berlakon, maruah dan jati diri sanggup dipertaruhkan

"Sejak dahulu lagi SENIMAN tidak bersetuju dengan keputusan penyiar yang meletakkan syarat pelakon kena ada jumlah pengikut lebih sejuta di Instagram (IG) sebelum diberi tawaran.

"Ini akan membawa kepada masalah lain seperti yang berlaku hari ini," katanya kepada BH Online.

Zed berkata, pelakon perlu tahu batas dan tidak sewenang-wenang berkongsi apa sahaja yang boleh mendatangkan keburukan kepada mereka.

"Mesti ada yang berpendapat, itu media sosial mereka. Jadi, mereka berhak untuk berkongsi apa sahaja. Namun, mereka kena ingat, negara kita ada undang-undang.

"Jangan kerana terlalu ghairah untuk mempromosikan drama yang dilakonkan, perkara yang menjadi larangan dilanggar begitu sahaja.

"Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ada menegur dalam Twitter agar perlu menjaga budaya.

"Dalam apa juga yang dilakukan, kita kena sentiasa tanam sifat jati diri. Tidak semua yang datang dari luar perlu dicontohi," katanya.

Berharap insiden sama tidak berulang, Zed berkata, pelakon dan syarikat produksi perlu diingatkan agar mereka lebih tahu dan patuh kepada peraturan ditetapkan selama ini.

"Kebanyakan pelakon sekarang bakat mereka dikesan menerusi media sosial. Jadi, SENIMAN dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), RTM dan pihak berkaitan sedang merancang menganjurkan bengkel membimbing pelakon.

"Kita mahu mendedahkan mereka garis panduan sedia ada. Program ini sudah dilaksanakan tetapi banyak kali tertangguh disebabkan perubahan pucuk pimpinan dalam kerajaan.

"Kita akan menggerakkannya sekali lagi bagi memastikan setiap pelakon dilengkapi ilmu yang boleh menghalang mereka daripada melakukan perbuatan yang boleh merosakkan industri seni," katanya.

Berita Harian X