Sabtu, 19 March 2022 | 8:30am
Nabila mengaku lebih suka berkongsi perkara yang pernah dilalui, bukan mengada-adakan cerita terutama dalam soal hati. Foto IG Nabila Razali
Nabila mengaku lebih suka berkongsi perkara yang pernah dilalui, bukan mengada-adakan cerita terutama dalam soal hati. Foto IG Nabila Razali

Nabila cerita semua dalam novel

KUALA LUMPUR: Ketika lagu Putus dilancarkan tahun lalu, penyanyi Nabila Razali mendedahkan single yang dihasilkan bersama komposer Singapura, Erwin Purnama itu ada kaitan dengan kisah hidupnya.

Dalam erti kata lain, Nabila mengakui pernah berpacaran, namun percintaan itu terkandas di pertengahan jalan. Bahagia yang diharapkan, namun kecewa akhirnya yang melanda.

Meskipun peristiwa itu sudah berlaku sedekad lalu dan dia sudah melupakannya, namun, kata Nabila, jauh di sudut hatinya rasa sakit akibat dikhianati itu tetap ada.

"Perkara ini terjadi sebelum saya bergelar artis. Hubungan kami terjalin selama setahun sebelum dia mengambil keputusan meninggalkan saya.

"Kisah saya ini boleh dianggap tragis kerana ditinggalkan tanpa sebarang khabar berita, selain disebabkan orang ketiga. Waktu itu saya memang tak tahu nak buat apa.

Nabila mencurah rasa dalam novel terbaharu hasilan nukilan Sophilea berjudul Kerana Cinta Itu Ada yang mula dipasarkan sekarang. Foto IG Nabila Razali
Nabila mencurah rasa dalam novel terbaharu hasilan nukilan Sophilea berjudul Kerana Cinta Itu Ada yang mula dipasarkan sekarang. Foto IG Nabila Razali

"Malah situasi itu juga membuatkan saya terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah hubungan kami masih berterusan ataupun sememangnya sudah berakhir," katanya kepada BH Online pada majlis pelancaran novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada di ibu negara, baru-baru ini.

Novel itu diadaptasikan daripada pengalaman duka Nabila.

Diusik pertanyaan apakah Nabila atau nama penuhnya, Nur Nabila Mohd Razali ini masih menyimpan dendam apabila mendedahkan kisah cinta tidak kesampaian menerusi dua platform berbeza, penyanyi Pematah Hati ini berkata, dia sekadar ingin berkongsi pengalaman dengan peminat.

"Sekarang kami sudah 'moved on' dan ada kehidupan sendiri. Saya kongsi kisah ini kerana mahu peminat tahu, saya sama seperti mereka iaitu pernah melalui pengalaman putus cinta.

"Saya tidak simpan dendam terhadapnya. Cuma kata orang, luka sudah sembuh tapi parutnya tetap ada. Ibaratnya, kalau hendak duduk semeja, makan bersama itu memang tak bolehlah," luah Nabila.

Bukan kerana serik, namun menurut pelakon drama rantaian Pesan Pada Hati dan Kebaya Kasut Kanvas ini, dia tidak lagi memikirkan soal berpacaran kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni.

"Fokus saya sekarang hanyalah kepada kerja. Banyak perkara yang ingin saya urus selain memikirkan mengenai cinta seperti perniagaan dan kerjaya lakonan.

"Lagipun, sepanjang saya bergelar artis, saya tidak banyak gosip mengenai kisah cinta pun," ungkapnya yang lebih akrab disapa Bella ini.

Sementara itu, berkongsi mengenai novel hasil tulisan Sophilea ini, Nabila menjelaskan 50 peratus daripada jalan cerita diambil daripada kisah benar dirinya.

"Saya seorang yang suka berkongsi pengalaman yang dilalui berbanding sesuatu perkara yang tidak saya alami. Lazimnya, kalau hendak luah sesuatu, saya gunakan platform lagu.

"Namun, kali ini saya meluahkannya menerusi novel. Manalah tahu, kalau ada rezeki selepas ini, ia dipindahkan dalam bentuk drama rantaian pula.

"Saya berharap novel ini dapat memberi semangat untuk mereka yang pernah melalui pengalaman putus cinta dan ditinggalkan untuk kembali bangkit," katanya.

Novel Kerana Cinta Itu Ada diedarkan oleh Mask Team dan boleh didapati secara dalam talian https://keranacintaituada.onpay.my/ sejak 14 Mac lalu.

Berita Harian X