Jumaat, 18 March 2022 | 11:00am
Dari kiri Kenchana, Beego dan Nora bertemu kembali untuk penggambaran drama Puteri Reunion. Foto IG Alia Zekri
Dari kiri Kenchana, Beego dan Nora bertemu kembali untuk penggambaran drama Puteri Reunion. Foto IG Alia Zekri

Puteri Reunion temui peminat raya pertama

KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun drama Puteri disiarkan TV3, kisah melingkari kehidupan gadis bernama Puteri Farah Nordin itu bakal menemui penonton dalam versi istimewa di saluran sama pada 3 Mei depan, iaitu Syawal pertama mengikut jangkaan.

Versi berkonsep 'come back' itu diberi judul Puteri Reunion itu yang dibikin dalam empat episod. Kali ini, drama empat episod itu diterbitkan Padi Pictures dan menggunakan khidmat Amor Rizan sebagai pengarah.

Dalam naskhah asal, Puteri diterbitkan Syarikat Ace Motion Pictures dan diarah Aziz M Osman.

Nora Danish yang melakonkan watak Puteri tidak menyangka karakter yang mempopularkan dirinya diterbitkan semula.

"Saya tidak sangka drama ini ada balik... Ingatkan sudah 'berkubur'. Selepas 17 tahun, bukan tempoh pendek.

Nora tidak sangka impak lakonannya dalam drama Puteri sejak 17 tahun lalu masih dirasakan peminat. Foto IG Nora Danish
Nora tidak sangka impak lakonannya dalam drama Puteri sejak 17 tahun lalu masih dirasakan peminat. Foto IG Nora Danish

"Sebelum ini, dalam hati terdetik berharap drama ini dibikin semula. Saya rindukan semua pelakon asal. Akhirnya, ia jadi juga kenyataan dengan Puteri Reunion," katanya kepada BH Online.

Ibu kepada dua cahaya mata itu mengaku masih ramai yang mengingati drama itu termasuk memanggilnya Puteri.

"Saya teruja dapat tawaran ini dan tentunya gembira dapat jumpa pelakon lama seperti Beego, Kenchana Devi, Intan Ladyana dan Siti Fazurina.

"Bayangkan ada antara kami sudah berkahwin dan punyai anak, dahulu kami bujang. Dapat lepas rindu dengan semua pelakon.

"Saya yakin penonton juga dapat mengubat rindu apabila menonton Puteri Reunion," katanya.

Nora menambah, enam tahun bersama drama Puteri dengan 130 episod dalam 10 musim, meninggalkan impak besar terhadap karier seninya.

"Saya dikenali melalui drama ini. Malah, slogan 'Kita Enjoy' diingati sampai sekarang. Bayangkan, platform jualan atas talian, Lazada minta saya kekalkan imej Puteri dan sebut dialog sama.

"Malah, montaj pembukaan drama ini pun masih ada yang ingat," katanya.

Sementara itu, pemilik Syarikat Padi Pictures, Nor Aliah Lee Abdullah atau Alia Zekri mengaku air matanya tertumpah ketika melihat watak asal cerita berkenaan sudi bekerjasama untuk menghasilkan drama empat episod itu.

Tambahnya, idea menghasilkan semula drama itu tercetus ketika TV3 meminta cadangan agar menerbitkan produk sempena ulang tahun ke-38 stesen televisyen (TV) itu.

"Saya mula terfikir drama yang mahu dibikin, sama ada baharu atau lama. Akhirnya, teringat kenapa tidak kembalikan drama Puteri yang sinonim dengan stesen TV itu.

"Memandangkan TV3 memegang hak cipta tajuk drama itu, bermulalah idea untuk mencipta tajuk baharu. Akhirnya diputuskan judul Puteri Reunion," katanya.

Pada mulanya, Alia mempelawa Aziz mengarahkan Puteri Reunion.

"Namun, beliau tidak dapat lakukan. Tetapi Aziz menawarkan diri untuk memberi idea termasuk mengolah skrip jika perlu.

"Sekalipun tak berada di bahagian belakang tabir, saya pelawa Aziz berada di depan kamera melakonkan watak pengarah filem dikenali sebagai Azizan Rosman dalam Puteri Reunion," katanya.

Penggambaran drama empat episod itu dijangka berakhir pada 24 Mac depan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

Berita Harian X