X
Khamis, 17 March 2022 | 5:50pm
Aiman (dua dari kiri) bersama kanak-kanak ditemui ketika menjayakan program komuniti anjuran Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah, di sini, Sabtu lalu. Foto Ihsan Muhammad Aiman Badrul Hisham
Aiman (dua dari kiri) bersama kanak-kanak ditemui ketika menjayakan program komuniti anjuran Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah, di sini, Sabtu lalu. Foto Ihsan Muhammad Aiman Badrul Hisham

Aiman kagum jiwa kental pesakit kanser

KUALA LUMPUR: Pelakon drama bersiri I-Tanggang, Muhammad Aiman Badrul Hisham kagum dengan semangat kanak-kanak seusia yang menghidap kanser berjuang melawan penyakit itu.

Aiman yang berusia sembilan tahun beroleh pengalaman apabila mendampingi kanak-kanak penghidap kanser ketika menjayakan program komuniti anjuran Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah, di sini, Sabtu lalu.

Aiman berkata, kebanyakan kanak-kanak yang ditemui adalah pesakit kanser tahap empat.

"Saya dapat belajar bagaimana kanak-kanak kanser dirawat. Saya dapat tahu di mana selepas mereka menjalankan rawatan kimoterapi, mereka jadi lemah.

"Bagaimanapun, saya sangat kagum dengan semangat dan kekuatan mereka... Tidak nampak seperti mereka sedang sakit apabila bermain dengan saya.

Aiman kagum dengan semangat kanak-kanak seusia yang berjuang melawan kanser. Foto IG Muhammad Aiman Badrul Hisham
Aiman kagum dengan semangat kanak-kanak seusia yang berjuang melawan kanser. Foto IG Muhammad Aiman Badrul Hisham

"Alhamdulillah, saya gembira kerana sempat meluangkan masa sekejap untuk mereka biarpun saya sibuk menjayakan penggambaran drama bersiri Misi Anak Bulan, di Kedah dan Perlis untuk siaran Ramadan di TV3," katanya kepada BH Online.

Aiman berkata, program dihadirinya itu dianggap antara pengalaman berharga apabila dapat mendekati kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Rumah Ronald McDonald menjemput artis kanak-kanak untuk menceriakan anak-anak penghidap kanser.

"Saya seronok dapat meluangkan masa tiga jam bersama mereka. Insya-Allah saya mahu menjayakan program seperti ini lagi. Lagipun, saya suka program komuniti dan amal," katanya.

Aiman turut menghulurkan sumbangan peribadi untuk membantu kanak-kanak pesakit kanser dan keluarga asnaf yang menginap di hospital berkenaan sementara anak mendapatkan rawatan.

Dilahirkan di Alor Setar dan dibesarkan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Aiman menceburi dunia lakonan selepas disunting pengarah Allahyarham Nurhalim Ismail untuk membintangi drama bersiri pertama, Keringat Firdausi siaran RTM.

Selain itu, Aiman membintangi drama seperti Keringat Firdausi, Sabarlah Duhai Hati, Dia Isteriku, Duri Cinta Bisu dan Lockdown.

Antara iklan komersial yang dibintangi Aiman termasuklah Maevi TNB, Proton X70, Faber Castell, TGV Cinemas, Sharp serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berita Harian X