Khamis, 17 March 2022 | 3:00pm
Nancy menyempurnakan majlis pelancaran Program IB 2022 di Lambang Sari, IB di ibu negara, kelmarin. Foto NSTP Rohanis Shukri
Nancy menyempurnakan majlis pelancaran Program IB 2022 di Lambang Sari, IB di ibu negara, kelmarin. Foto NSTP Rohanis Shukri

IB jejak 39 syarikat produksi

KUALA LUMPUR: Pengurusan Istana Budaya (IB) mendedahkan 39 syarikat produksi masih gagal melunaskan hutang tertunggak membabitkan pelbagai projek pementasan di lokasi acara berprestij itu sejak 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi IB, Mohamad Azlan Abdul Majid, berkata IB memandang serius isu hutang lapuk dan konsisten dalam memberi peringatan kepada pihak terbabit agar segera menyelesaikan tunggakan.

"Hingga hari ini ada 39 syarikat yang menjadi penaja persembahan di IB gagal menjelaskan hutang mereka sejak 11 tahun lalu.

"Biarpun tidak sampai tahap hingga kami terpaksa 'memburu mereka, namun, IB tidak berdiam diri. Sebaliknya, kami konsisten menghantar surat peringatan kepada syarikat terbabit.

"Ada juga yang memberi maklum balas tetapi ada yang senyap begitu sahaja," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Mohamad Azlan enggan mendedahkan nilai tunggakan hutang yang sepatutnya dijelaskan 39 syarikat produksi terbabit.

Pada 2019, bekas menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi pernah mengumumkan 37 syarikat yang menaja persembahan di IB gagal melunaskan tunggakan hutang kira-kira RM3 juta sejak 2010.

Biarpun mengakui ada golongan yang agak 'liat' untuk menjelaskan hutang-piutang mereka, namun, IB masih mahu bertolak ansur dan lebih selesa menggunakan pendekatan diplomasi.

"Pada peringkat kerajaan, kami sentiasa mahu membantu mereka. Kalau mereka kata tidak boleh hendak bayar hutang, kita bantu mereka mencari jalan penyelesaian.

"Mungkin mereka boleh berbincang dengan kami. Kita juga hendak tahu apa masalah mereka hingga gagal melangsaikan hutang.

"Tetapi mereka kena sedar, kalau sudah namanya berhutang, apa pun situasinya, kenalah bayar," katanya ditemui pada majlis pelancaran Program IB 2022 di Lambang Sari, IB di ibu negara, kelmarin.

Majlis yang disempurnakan Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri itu memperkenalkan 12 program pementasan di IB merangkumi konsert, teater dan muzikal mulai Mac hingga Disember depan.

Sementara itu, sebagai usaha merancakkan semula aktiviti seni dan budaya yang semakin malap berikutan pandemik COVID-19, penaja persembahan bakal menikmati potongan cukai berkanun sebanyak 50 peratus mulai tahun ini hingga 2025.

Memperincikan perkara itu, Mohamad Azlan berkata, keistimewaan hanya diberi kepada mereka yang menaja daripada segi wang tunai, bekalan peralatan atau menanggung kos keseluruhan program.

"Tawaran ini khusus untuk mereka yang membuat persembahan di pentas IB. Tapi kalau acara itu dianjurkan di luar IB, ia perlu mendapat kelulusan MOTAC.

"Acara itu yang dianjurkan itu perlu berkaitan seni, kebudayaan dan warisan serta menepati tiga kriteria ditetapkan

"Hanya selepas diluluskan barulah MOTAC menyerahkan surat sokongan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar pengecualian cukai ke atas syarikat terbabit dibuat," katanya.

Dalam perkembangan lain, IB masih mengekalkan syarat mengenakan deposit RM3,000 kepada syarikat produksi yang mahu membuat persembahan di premis mereka.

"Syarat ini adalah sebagai tanda komitmen dan sebelum pementasan berlangsung, mereka perlu melunaskan semua baki bayaran.

"Memandangkan pentas kami masih dalam proses penyelenggaraan, kadar sewaan sebanyak RM15,000 untuk sebuah pementasan masih dikekalkan.

"Hanya selepas proses naik taraf pentas selesai dilakukan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini, barulah bayaran sebanyak RM30,000 dikenakan semula," katanya.

Antara 12 acara tersenarai dalam kalendar IB tahun ini adalah Konsert Lagu Rakyat pada 25 dan 26 Mac; NSO Peter & The Wolf and The Carnival of Animals (3 dan 4 Jun); Konsert U.K's Reunion 25 Tahun (17 dan 18 Jun) dan Konsert Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab (1 hingga 3 Julai).

Turut disenaraikan Tari Sulur dan Nakasari (22 dan 23 Julai); Teater Muzikal Moyang Salleh ( 26 hingga 31 Ogos) dan Tanjong (9 hingga 11 September).

Berita Harian X