KUALA LUMPUR: Selepas menunggu dua tahun, akhirnya, impian pelakon, Sweet Qismina menyarung jubah dan menggenggam ijazah, tercapai, Isnin lalu.
Penat lelah membahagikan masa antara karier seni dan pengajian hingga berat badan susut 10 kilogram (kg), berbalas apabila Sweet menggenggam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti dan Kolej SEGi.
Tambah manis, keluarga dan tunang yang juga pelakon, Adam Lee, menyaksikan detik bersejarah itu.
Sweet Qismina atau nama sebenar, Farhanna Qismina Supandi, 24, berkata kejayaan itu dapat mengikis tanggapan konon ibunya tidak memikirkan masa depan anak apabila menggalakkan dia berlakon sejak berusia 10 tahun.
Dalam hantaran dimuat naik di Instagram (IG), Sweet mengaku hampir berputus asa. Namun, motivasi insan terdekat memberi semangat kepadanya mengharungi pengajian hingga tamat.
"Saya hampir putus asa kerana tidak larat apabila terpaksa membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.
"Namun, saya bersyukur dengan sokongan keluarga dan orang sekeliling yang sentiasa membantu dan memahami keadaan saya ketika penat.
"Kesabaran saya teruji apabila perlu menyiapkan tesis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bayangkan, tidak boleh keluar rumah sehingga hilang motivasi untuk menghabiskan pelajaran.
"Mujur ada bantuan Cik Mira, dialah yang banyak membantu saya untuk berhadapan dan menyiapkan tesis.
"Untuk mama pula, saya tidak suka mentaliti orang yang beranggapan ibu yang menghantar anak berlakon tidak memikirkan masa depan dan pelajaran anak... Ini adalah untuk mama," luahnya.
Sementara itu, Sweet Qismina turut memberi dedikasi kejayaannya kepada arwah kakak yang dipanggil Pearl. Pearl atau nama sebenar, Farhana Qistina meninggal dunia pada 2015 selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
"Untuk arwah Kak Pearl, disebabkan kakak, Sweet sanggup habiskan. Majlis konvokesyen ini adalah untuk kakak.
"Sweet janji untuk habiskan pengajian demi kakak sebab kakak tidak dapat pakai jubah. Jadi, ini adalah yang teristimewa buat kakak... Kita berjaya kakak," katanya.
Biarpun terpaksa berpenat lelah membahagikan masa antara kerja dan pelajaran, Sweet Qismina bagaimanapun suka cabaran itu.
"Fasa yang memang tidak akan saya lupakan. Zaman sekolah dahulu, pagi ke sekolah, habis kelas, bergegas untuk penggambaran.
"Sebelah malam pula hadiri kelas tambahan. Jika peperiksaan sebelah pagi, petang 'shoot' sampai subuh dan kemudian bergegas ke sekolah untuk peperiksaan seterusnya.
"Masuk universiti pun sama, kelas jam 8 pagi hingga 6 petang. Lari pergi 'shoot' sampai 4 pagi. Jam 8 pagi masuk kelas semula. Tapi disebabkan saya sendiri yang mahu dan ingin merebut kedua-duanya.
"Mama selalu berpesan, kalau hendak berlakon, saya perlu belajar. Sakit macam mana pun saya akan belajar. Siapa kata saya tiada masa untuk berseronok?
"Memori waktu kecil adalah yang paling menarik dan mahal. Rasa puas sangat, saya paksa diri selama 14 tahun dan akhirnya saya berjaya juga menyudahkan pengajian.
"Terima kasih untuk mama. Mungkin selepas ini sarjana pula?" katanya.