Sabtu, 12 March 2022 | 1:00pm
Bunga mahu bekerjasama dengan lebih ramai penyanyi indie bagi tujuan mengetengahkan artis yang berbakat. - Foto IG Bunga Isme
Bunga mahu bekerjasama dengan lebih ramai penyanyi indie bagi tujuan mengetengahkan artis yang berbakat. - Foto IG Bunga Isme

Bermula 'tin kosong' kini popular

KUALA LUMPUR: Sudah terang lagi bersuluh. Imej 'hijabista' dan berbaju kurung bukan halangan buat seseorang penyanyi memperjuangkan genre rap serta hip hop.

Ini dibuktikan oleh penyanyi remaja yang kian menempa nama, Bunga Isme, 23, apabila diterokai muzik tanpa sempadan dan sekatan dengan imej 'hijabista'.

Satu demi satu kejayaan diraih Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari Jailani, sekali gus membuka mata dunia bahawa gadis 'hijabista' mampu terbang tinggi dengan perjuangan muziknya.

Sebelum ini, gadis kelahiran Slim River, Perak pernah tular selepas video menyanyi rap sambil mengenakan persalinan baju kurung muncul dalam artikel The New York Times, manakala Bloomberg pula memainkan video nyanyiannya.

Nama Bunga sekali lagi diperkatakan apabila lagu kolaborasi bersama Ratu Pop Tradisional, Noraniza Idris berjudul Intan Payung berjaya membolosi anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36) yang berlangsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) menerusi kaca TV3, Ahad lalu.

Tidak mengambil masa lama mencipta populariti selepas mencuri tumpuan menerusi video YouTube 16 Baris bersama Joe Flizzow, Bunga mengakui, dia bersyukur apa yang diperoleh, selain penat lelahnya berbayar dalam tempoh tiga tahun bergelar penyanyi rap.

Malah, lebih membanggakan, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk berpeluang beraksi buat kali pertama di pentas berprestij seperti AJL 36.

"Alhamdulillah, saya bersyukur rezeki diberikan Allah. Jika ikutkan, ini baru tahun ketiga saya berada dalam industri muzik.

"Saya akui, bukan mudah mengecapi apa yang diperoleh dalam tempoh agak singkat. Saya sangat berbangga pencapaian diri.

"Selama ini, saya terpaksa meletakkan usaha yang lebih disebabkan saya tidak mempunyai latar belakang muzik ketika mula menyertai industri muzik.

"Saya hanya 'tin kosong'. Tetapi, saya belajar kenal muzik, vokal dan keupayaan diri sendiri. Apa yang boleh saya buat dan

sebaliknya," katanya kepada BH Online.

Hanya tiga tahun berjuang, satu demi satu kejayaan diraih Bunga. - Foto IG Bunga Isme
Hanya tiga tahun berjuang, satu demi satu kejayaan diraih Bunga. - Foto IG Bunga Isme

Penuntut jurusan Diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, Negeri Sembilan itu berkata, sehingga kini, banyak pencapaian yang sudah dikecapi tanpa diduga.

"Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Terima kasih kepada semua menyokong daripada saya tiada lagu sehingga mampu melangkah sebagai finalis AJL 36.

"Namun, ini bukan usaha saya seorang diri, sebaliknya saya berterima kasih kepada rakan duet, Noraniza Idris dan Amsyar Lee, pasukan Warner Music, penerbit, komposer, penulis lirik, koreografer dan semua yang membantu saya," katanya.

Bercerita single duet bersama Amsyar berjudul Belai yang menduduki tangga kelima carta 'trending' di laman YouTube sejak dimuat naik dua minggu lalu, Bunga berkata, dia berbangga dengan kebolehan Amsyar.

"Saya pernah berada pada kedudukan Amsyar sebagai penyanyi baharu yang mengeluarkan single. Jadi, sebenarnya lagu Belai adalah mengetengahkan Amsyar sebagai penyanyi baharu.

"Saya berbangga dengan Amsyar kerana dapat membawa lagu Belai dengan baik sehingga menjadi trending. Bukan senang untuk penyanyi baharu mencapai kejayaan ini," katanya.

Tambah Bunga, dia mahu menampilkan dan bekerjasama dengan lebih ramai penyanyi indie bagi tujuan mengetengahkan lebih ramai artis yang berbakat.

"Saya memang ada perancangan mahu menghasilkan single dan album pertama. Saya mahu bekerjasama dengan lebih ramai penerbit dan penyanyi 'indie' yang tidak dikenali ramai, sama seperti apa yang dilakukan bersama Amsyar," katanya.

Bunga mewarisi bakat nyanyian dari ibunya, Siti Rohani, 67, yang banyak menyertai pertandingan nyanyian ketika zaman muda.

Tidak hanya dirinya, darah seni yang mengalir itu turut diwarisi abang dan dua kakaknya. Salah seorang abangnya adalah Harry yang juga pemain gitar kumpulan 6ixth Sense.

Berita Harian X