Rabu, 9 March 2022 | 5:00pm
Shima berterima kasih kepada Dr Susanna kerana menyelamatkan nyawanya selepas kehilangan banyak darah. - Foto IG Shima Anuar
Shima berterima kasih kepada Dr Susanna kerana menyelamatkan nyawanya selepas kehilangan banyak darah. - Foto IG Shima Anuar

'Sakit hingga tak boleh bergerak, bercakap'

KUALA LUMPUR: Kegembiraan pelakon Shima Anuar menyambut kehadiran cahaya mata ketiga tidak kesampaian apabila mengalami keguguran, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Shima atau nama sebenarnya, Noor Hashimah Anuar, 31, melalui detik ngeri apabila hampir kehilangan nyawa akibat mengandung bayi luar rahim.

Dalam hantaran dikongsikan menerusi Instagram (IG), semalam, Shima berkongsi dimaklumkan doktor merawatnya.

"Kami hampir kehilangan awak. Awak kehilangan 2.5 liter darah, tekanan darah pula 60/30.

"Wajah awak juga terlalu pucat, kata doktor," kongsi Shima.

Pelakon filem Nasi Tangas itu berkata, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut disebabkan keadaan yang membimbangkan.

"Syukur, keadaan semuanya sudah selamat. Cuma sakit kerana pembedahan dilakukan di tempat sama dengan kelahiran dahulu.

"Sakit sekarang lebih teruk daripada pengalaman bersalin pembedahan, sebelum ini. Boleh bayangkan tak?

"Tetapi tidak mengapa, saya anggap semua ini ujian dan dugaan. Saya juga reda.

"Saya ingin berterima kasih kepada Dr Susanna kerana menyelamatkan nyawa saya. Ia mimpi ngeri, memang sakit sangat-sangat sehingga saya tidak boleh bergerak dan bercakap," katanya.

Shima berkongsi, kesakitan dialami lebih teruk daripada pengalaman bersalin pembedahan anak sebelum ini. - Foto IG Shima Anuar
Shima berkongsi, kesakitan dialami lebih teruk daripada pengalaman bersalin pembedahan anak sebelum ini. - Foto IG Shima Anuar

Shima berkata, dia tidak memberikan sebarang respon selepas pembedahan.

"Sebab itu, saya dimasukkan ke ICU dan perlu melakukan pemindahan darah.

"Saya tidak tahu hamil anak luar rahim teruk hingga boleh hilang nyawa," tulis Shima.

Sementara itu, Shima berkata, dia sudah tidak sabar mahu pulang ke rumah untuk berjumpa dua cahaya matanya, Marian Sophia, 3, dan Mikhael Iman, 2.

Pada 17 Februari lalu, Shima berkongsi berita gembira dalam IG memaklumkan hamil anak ketiga.

Dalam pada itu, Shima turut memaklumkan terpaksa membatalkan semua tawaran kerja kerana bimbang kandungannya terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Shima mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Solih Toha, 54, pada April 2017.

Berita Harian X