Isnin, 7 March 2022 | 12:42am
Keampuhan vokal Aina ketika mendendangkan lagu ciptaan sendiri, Sepi melayakkan dirinya meraih trofi Vokal Terbaik pada AJL36, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee
Keampuhan vokal Aina ketika mendendangkan lagu ciptaan sendiri, Sepi melayakkan dirinya meraih trofi Vokal Terbaik pada AJL36, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee

Pelukan Angkasa ungguli AJL36

KUALA LUMPUR: Lagu Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin yang dipersembahkan kumpulan SOG dan Shila Amzah diumum juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam tadi.

Kumpulan SOG dan Shila melakar sejarah apabila diumum juara AJL36 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, WTCKL di ibu negara, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee
Kumpulan SOG dan Shila melakar sejarah apabila diumum juara AJL36 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, WTCKL di ibu negara, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee

SOG dan Shila membawa pulang trofi AJL bersalut emas yang kali pertama diperkenalkan serta wang tunai RM100,000.

Naib juara menjadi milik mutlak lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim yang dinyanyikan Marsha Milan. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Selain trofi naib juara, lagu Cinta diumum pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah trofi, wang tunai RM18,000 serta ganjaran sumbangan penaja, NOIR Beauty Essence.

Lagu Mimpi ciptaan Haqiem Rusli dan Datuk A Aida diumum pemenang tempat ketiga. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM30,000.

Sementara itu, keampuhan vokal Aina Abdul ketika mendendangkan lagu ciptaan sendiri, Sepi melayakkan dirinya meraih trofi Vokal Terbaik. Aina menerima trofi dan dan wang tunai RM12,000.

Tambah manis, Aina berkongsi kemenangan bersama Khai Bahar menerusi lagu duet Nafas Cinta. Mereka diumumkan pemenang kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL tajaan jenama telefon bimbit OPPO. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

Lagu lain yang turut memberikan persaingan pada AJL36 adalah Boneka dendangan Ernie Zakri; Purnama (Naim Daniel); Intan Payung (Bunga dan Noraniza Idris); Salahku (Yonnyboii); AEWO (Shiha Zikir dan Noki); Lara (Haqiem, Naim Daniel dan Hael Husaini) dan Angkara (Siti Nordiana).

Persembahan 12 finalis diadili 10 juri profesional diketuai Datuk Mokhzani. Juri lain adalah Datuk Habsah Hassan, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Edrie Hashim, Helen Yap, LY, Altimet dan Faizal Tahir.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 85 peratus diadili terlebih awal iaitu daripada segi melodi, lirik, vokal, produksi dan susunan dalam rakaman.

Baki 15 peratus adalah melalui persembahan dan vokal termasuk susunan muzik secara langsung pada malam kemuncak.

AJL36 yang disiarkan dalam norma baharu dengan mengehadkan 200 penonton, menyaksikan gandingan Alif Satar dan Nabila Huda sebagai pengacara.

Karpet Merah AJL36 pula dihoskan Sissy Imann dan Sean Lee yang disiarkan TV9 dan YouTube TV3 Malaysia.

Malam kemuncak AJL36 turut diserikan dengan persembahan Datuk Jamal Abdillah, Mas Idayu, Ayda Jebat, kumpulan Cassia serta gandingan otai rock, Wings diketuai Datuk Awie.

Berita Harian X