Ahad, 6 March 2022 | 11:03pm
 Yonniboii bersama isteri, Nik Nazira antara yang mencuri perhatian di segmen karpet merah. Foto NSTP Aziah Azmee
Yonniboii bersama isteri, Nik Nazira antara yang mencuri perhatian di segmen karpet merah. Foto NSTP Aziah Azmee

AJL36 : Gaun pepohon Aina Abdul viral

KUALA LUMPUR: Terus menarik perhatian dengan penampilan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi dan komposer, Aina Abdul, sekali lagi viral apabila busana persis pepohon bunga digayakan ketika mendendangkan lagu duet, Nafas Cinta bersama Khai Bahar, hangat diperkatakan.

Busana rekaan Melinda Looi digayakan Aina pada edisi ke-36 acara anugerah berprestij itu pantas menarik perhatian netizen. Foto NSTO Aziah Azmee
Busana rekaan Melinda Looi digayakan Aina pada edisi ke-36 acara anugerah berprestij itu pantas menarik perhatian netizen. Foto NSTO Aziah Azmee

Busana rekaan Melinda Looi digayakan Aina pada edisi ke-36 acara anugerah berprestij itu pantas menarik perhatian netizen yang memberi terjemahan sendiri terhadap gaya berani ditampilkan Aina.

Sebelum ini, busana ditampilkan Aina pada AJL termasuk Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) Ke-36 pernah disamakan dengan selimut Toto, bulu ayam termasuk karakter Valak dalam filem seram, The Conjuring.

Sementara itu, segmen karpet merah AJL36 yang dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat menyaksikan finalis termasuk artis undangan melaram, apatah lagi selepas dua tahun AJL dianjurkan tanpa kehadiran penonton.

Bertemakan Ini Rentak Kita, AJL36 memberi terjemahan tersendiri kepada artis dalam menata gaya.

Antara selebriti mencuri tumpuan, Yonniboii bersama isteri, Nik Nazira Narriman dan pelakon, Gambit Saifullah yang mencetuskan kontroversi dengan watak jejaka 'gay' dilakonkan dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa disiarkan slot Samarinda TV3.

Tidak ketinggalan, gaya Nabila Razali dengan rekaan Nurita Harith yang dikatakan sepatutnya digayakan pada AJL35.

Selain itu, seorang lagi finalis, Bunga yang mempertaruhkan lagu Intan Payung bersama Noraniza Idris, tampil di karpet merah bersama kekasih, Amzar Razqa.

Karpet merah dihoskan Sissy Iman dan Sean Lee yang disiarkan di TV9 dan YouTube TV3 Malaysia sebelum malam kemuncak AJL36 bermula.

Sementara itu, persembahan artis lama dan baharu pada segmen pembukaan AJL36 menyerlahkan tema Ini Rentak Kita.

Segmen pembukaan membariskan bintang 'senior' iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Mas Idayu. Generasi baharu pula diwakili Ayda Jebat dan kumpulan Cassia.

Mas Idayu membuka tirai persembahan dengan lagu dangdut Bhangra, Bolehlah Boleh. Foto NSTP Aziah Azmee
Mas Idayu membuka tirai persembahan dengan lagu dangdut Bhangra, Bolehlah Boleh. Foto NSTP Aziah Azmee

Mas Idayu membuka tirai persembahan dengan lagu dangdut Bhangra, Bolehlah Boleh. Jamal pula mempamerkan vokal hebat menerusi lagu Samrah Mentari.

Seterusnya, Ayda yang lebih enam bulan berehat kerana melahirkan anak sulung, membuat kemunculan menyanyikan lagu Pencuri Hatiku yang diberi sentuhan dangdut.

Pentas bertambah hangat dengan persembahan empat gadis, Cassia mendendangkan lagu X Perlu.

Berita Harian X