Khamis, 3 March 2022 | 5:35pm
Ramai mahu menyatukan Fikry dan Rita selepas melihat keakraban mereka di lokasi penggambaran. - Foto Ihsan TV3
Ramai mahu menyatukan Fikry dan Rita selepas melihat keakraban mereka di lokasi penggambaran. - Foto Ihsan TV3

Muka, kulit sama tanda jodoh?

KUALA LUMPUR: Pelakon kacak, Fikry Ibrahim menafikan dakwaan menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon baharu, Rita Nadira selepas dua kali digandingkan bersama dalam drama.

Fikry berkata, dia dan Rita hanya kawan baik dan hubungan tidak lebih rakan seperjuangan dalam industri kreatif.

"Mungkin sebab kami 'satu kapal', sebab itulah, produser mahu satukan kami. Iyalah, muka dan kulit pun sama.

"Bagi saya, semua ini hanyalah keserasian di lokasi penggambaran, tidak berlebihan. Saya ada perjalanan sendiri, sebelum memikirkan soal jodoh. Saya percaya Rita juga sama.

"Namun, kami memang rapat di lokasi penggambaran. Biasalah, apabila orang tengok kami 'ngam' berlakon, ada sahaja yang mahu satukan.

"Secara tak langsung, ia bagus dan mempercepatkan jodoh. Namun, jujurnya, saya belum ke arah memikirkan soal perkahwinan," katanya kepada BH Online.

Fikry menjawab pertanyaan desas-desus hubungannya dengan Rita ketika sidang media drama Kerana Dia Suka secara virtual, baru-baru ini.

Fikry dan Rita mudah mencipta keserasian dalam drama, menjadi pilihan penerbit menggandingkan mereka. - Foto Ihsan TV3
Fikry dan Rita mudah mencipta keserasian dalam drama, menjadi pilihan penerbit menggandingkan mereka. - Foto Ihsan TV3

Mengulas mengenai drama arahan Kyroll Hamzah itu, Fikry berkata, dia selesa berlakon bersama Rita, memandangkan sudah mencipta keselesaan menerusi drama terdahulu.

"Sebelum ini, kami pernah bergandingan dalam drama Ayahanda. Jadi, ini adalah drama kedua kami bersama.

"Rita banyak memudahkan kerja saya kerana memahami karakter dilakonkan. Sememangnya, kami banyak gelak, tetapi Rita tahu apa yang nak buat.

"Bagi saya, Rita adalah seorang pelakon baharu yang bijak. Saya percaya kerjaya lakonannya boleh maju ke hadapan, insya-Allah," katanya.

Kerana Dia Suka, drama bersiri inspirasi novel karya Marissa akan ditayangkan di slot Lestary di TV3, setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam bermula 9 Mac depan.

Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production Sdn Bhd diarahkan oleh Kyoll, manakala skrip ditulis oleh Mufid Suhaimi dan Next Team Scene.

Ia turut menampilkan pelakon popular seperti Rozita Che Wan, Nasha Aziz, Aidit Noh dan Risyka Akira.

Berita Harian X