Khamis, 24 Februari 2022 | 5:30pm
Walaupun tanggapan nakal berpunca daripada watak Barkoba, namun, Bell tetap bimbang gelaran ikon muka tak puasa akan melekat dan kekal sampai bila-bila. - NSTP/Aziah Azmee
Walaupun tanggapan nakal berpunca daripada watak Barkoba, namun, Bell tetap bimbang gelaran ikon muka tak puasa akan melekat dan kekal sampai bila-bila. - NSTP/Aziah Azmee

Bell gusar melekat 'dicop' ikon muka tak puasa

SERI KEMBANGAN: Sering dijadikan ikon 'muka tak puasa' setiap kali menjelang Ramadan menerbitkan perasaan resah dalam diri pelakon, pelawak dan pengacara popular, Bell Ngasri.

Walaupun tanggapan nakal itu berpunca daripada watak Barkoba lakonannya, namun, Bell tetap bimbang gelaran itu akan melekat dan kekal sampai bila-bila.

"Masa saya terima tawaran membawakan watak Barkoba, saya tak terfikir akan mendapat gelaran ikon muka tak puasa. Sebaliknya, saya hanya fikir pasal peluang kerja dan bayaran berbaloi.

"Namun, sekarang bila tiba Ramadan, pasti muka saya akan digunakan sebagai ikon orang tak puasa. Perkara ini sebenarnya sangat merisaukan saya," katanya kepada BH Online.

Barkoba adalah watak yang dilakonkan Bell dalam tiga telefilem bergenre komedi arahan Allahyarham Mamat Khalid berjudul 16 Puasa, 17 Puasa dan 19 Puasa yang juga sentuhan terakhir arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir, Oktober tahun lalu.

Zulin, Faizal, Bell dan Saharul diumumkan sebagai jemputan istimewa oleh syarikat agensi, Syabibah Travel & Tours, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Zulin, Faizal, Bell dan Saharul diumumkan sebagai jemputan istimewa oleh syarikat agensi, Syabibah Travel & Tours, semalam. - NSTP/Aziah Azmee

Meskipun gelaran itu memberi impak kepada emosi hingga anak-anaknya turut menerima tempias apabila dipersendakan rakan sekolah, namun, Bell bersedia melakonkan watak itu jika ada sambungannya.

"Arwah cerita pernah bermimpi telefilem ini akan berlanjutan hingga 20 Puasa. Cuma telefilem 19 Puasa tidak diterbitkan kerana arwah ada projek lain iaitu filem Kampung Pisang Berbuah Dua kali yang akan ditayangkan di Astro First pada 3 Mac depan.

"Kalau ada sambungan, saya tiada masalah untuk berlakon. Saya percaya isteri atau anak arwah sudah sedia maklum mengenai jalan ceritanya.

"Dan saya sendiri pun tiada masalah berlakon di bawah arahan anak arwah, Mohd Khalid Amen kerana hasil kerjanya tidak banyak beza dengan arwah.

"Lagipun, Mohd Khalid ada pengalaman bekerja bersama kami sebelum ini. Jadi, saya sudah memahami caranya bekerja," katanya.

Bell ditemui pada majlis sidang media pengumuman pakej umrah bersama barisan selebriti oleh Syabibah Travel & Tours di sini, semalam.

Selain Bell, majlis itu turut dihadiri Saharul Ridzwan, Faizal Ismail, Zulin Aziz dan Pengarah Urusan Syabibah Travel & Tours, Ustaz Muzammil Soliheen Musa.

Pada majlis itu, Saharul, Zulin dan Bell diumumkan sebagai jemputan istimewa oleh agensi berkenaan untuk pakej umrah yang ditawarkan sempena Ramadan pada April depan.

Mereka berminat menyertai program umrah boleh mengunjungi pejabat agensi atau hubungi talian untuk keterangan lanjut.

Berita Harian X