Sabtu, 19 Februari 2022 | 4:00pm
Nelissa tidak berniat mencetuskan kontroversi, sebaliknya foto mesra bersama Zul untuk mempromosikan drama Tarik Aku Ke Syurga yang bakal ditayangkan di kaca TV3, tidak lama lagi. - Foto IG Nelissa Nizam
Nelissa tidak berniat mencetuskan kontroversi, sebaliknya foto mesra bersama Zul untuk mempromosikan drama Tarik Aku Ke Syurga yang bakal ditayangkan di kaca TV3, tidak lama lagi. - Foto IG Nelissa Nizam

Nelissa jawab tuduhan aksi terlebih mesra

KUALA LUMPUR: Tidak berniat mencetuskan kontroversi, pelakon Nelissa Nizam menjelaskan foto aksi mesra bersama aktor Zul Ariffin yang dikongsikan dalam laman Instagram (IG) sekadar mempromosikan drama Tarik Aku Ke Syurga yang bakal ditayangkan di kaca TV3.

Jauh di sudut hati, Nelissa berkata, dia tidak menyedari perkongsiannya mencetuskan ketidakpuasan hati di kalangan netizen. Ini berikutan dirinya tidak membaca dan lebih gemar mengabaikan komen dalam laman sosial.

Disebabkan aksi mesra Nelissa berkata, hubungannya dengan aktor bertubuh sasa itu mula menjadi tanda-tanya peminat.

"Sebenarnya, aksi mesra ini hanya mempromosikan drama Tarik Aku Ke Syurga yang bakal ditayangkan di TV3.

"Tidak sangka pula ramai menegur dan tak puas hati. Aksi saya dan Zul pada sesi fotografi tidaklah keterlaluan.

"Namun, ada peminat Zul marah, tetapi saya lebih gemar mengabaikan komen mahupun mesej langsung diterima. Lagipun, saya suka melayan komen baik sahaja sejak dahulu," katanya kepada BH Online.

Nelissa tidak menyedari perkongsian foto aksi mesra bersama Zul mencetuskan ketidakpuasan hati di kalangan netizen. - Foto IG Nelissa Nizam
Nelissa tidak menyedari perkongsian foto aksi mesra bersama Zul mencetuskan ketidakpuasan hati di kalangan netizen. - Foto IG Nelissa Nizam

Nelissa ditemui pada majlis pratonton filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa terbitan Kotaki Studios Sdn Bhd, baru-baru ini.

Berkongsi lakonannya dalam filem arahan pengarah muda, Kyle A Halim yang bakal menemui penonton pada 24 Februari ini menerusi Astro First, Nelissa yang sudah lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan menyifatkan kesabarannya berbaloi apabila diberikan watak penting dalam filem.

"Selama lebih lima tahun dalam industri, inilah kali pertama saya diberikan watak penting. Selama ini, saya hanya melakonkan watak pembantu dan sampingan.

"Jadi, tawaran Kyle ini sesuatu sangat bermakna untuk portfolio kerjaya seni. Ini kerana akhirnya ada juga penerbit yakin dengan kemampuan dan bakat saya," katanya yang membawakan watak Yana.

Nelissa bersama barisan pelakon ketika majlis pratonton filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa arahan Kyle, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Nelissa bersama barisan pelakon ketika majlis pratonton filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa arahan Kyle, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Berkongsi pengalaman membintangi filem bergenre seram thriller itu, Nelissa berkata, paling mencabar terpaksa mempelajari dialek Sabah, namun, ia juga pengalaman yang menyeronokkan.

"Bagi saya, babak paling sukar apabila kepala saya dihantuk ke kabinet dapur. Selain itu, ada juga babak saya dilemparkan ketika berdepan pembunuh, namun, ia amat bermakna buat saya.

"Biarpun kelihatan ganas, tetapi kami melakukan babak pergelutan dengan penuh berhati-hati bagi mengelak tercedera," katanya.

Selain Nelissa, filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa diterajui oleh Alicia Amin dan Syazuwan Hassan. Turut membintanginya, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.

The Dissapearance Of Irdina Adhwa mengisahkan Sofia menyertai tujuh rakan kolej bercuti dan berkelah sebaik majlis graduasi selesai. Namun, berlaku kejadian tidak diingini dan diselubungi misteri apabila salah seorang rakannya terbunuh ketika mereka menginap di sebuah rumah peranginan pada malam pertama.

Bagaimanapun, Sofia dan rakan-rakannya terperangkap dan dikejar pembunuh dalam rumah peranginan berkenaan dan tidak boleh keluar minta pertolongan bagi menyelamatkan diri.

Berita Harian X