Selasa, 15 Februari 2022 | 3:00pm
Ayu mempunyai perancangan menyatukan Puteri Balqis dan Mia dalam supertele berjudul Ais Krim Cinta.
Ayu mempunyai perancangan menyatukan Puteri Balqis dan Mia dalam supertele berjudul Ais Krim Cinta.

Puteri Balqis, Mia bakal disatukan dalam supertele?

KUALA LUMPUR: Sukar menidakkan bakat besar milik dua pelakon remaja, Puteri Balqis, 15, dan Mia Sara Nasuha, 17. Bukan hanya bakat diketengahkan sejak kecil, malah pernah menggenggam trofi terbaik.

Namun, perselisihan faham yang berlaku antara Puteri Balqis dan Mia, baru-baru ini, disifatkan satu kerugian buat industri seni oleh penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh.

Mengharapkan perbalahan dua pelakon remaja tidak berlarutan, Ayu menganggap Puteri Balqis dan Mia tidak seharusnya dibayangi kontroversi yang tidak menguntungkan.

Penerbit filem Tokan dan Ada Apa Dengan Dosa itu berkata, Puteri Balqis, mahupun Mia dikenali sebagai bintang cilik yang kini sudah remaja dan mempunyai kredibiliti dalam bidang lakonan.

"Jadi, perselisihan faham yang berlaku tidak menguntungkan kedua-dua pihak. Bagaimanapun, saya lega mendengar mereka sudah berdamai apabila Puteri Balqis memohon maaf dan meminta Mia tidak mengulangi kesilapannya.

"Bagi saya, jika bersalah, Mia seharusnya mohon maaf sahaja. Tidak rugi minta maaf sebab masing-masing mempunyai keluarga, malu orang luar lihat pertelingkahan dan mengecam bukan-bukan.

"Lebih baik sekiranya menanamkan sifat rendah diri dan mengakui keterlanjuran jika tersilap kata. Ini kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Sayang gaduh-gaduh seperti ini sebab mereka adalah heroin pelapis masa depan. Jadi, mohon maaf dan memaafkan lebih baik. Industri hiburan pun kecil sahaja, pusing-pusing bertemu muka sama juga suatu masa nanti," katanya kepada BH Online.

Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh berkata, kebanyakan pelakon utama sekarang sudah berusia, sama ada watak hero mahupun heroin.

"Saya sebenarnya sudah memikirkan pelakon pelapis yang akan mengganti hero dan heroin sedia ada, sejak sebulan lalu.

"Saya fikir Puteri Balqis dan Mia mempunyai peluang dan masa depan yang cerah. Bakat mereka sudah terbukti sejak kecil lagi. Disebabkan itu, sebagai penerbit, saya risau konflik yang berlaku membabitkan mereka.

"Saya menganggap mereka pelakon berbakat besar yang bakal menjadi pelapis pada masa depan," katanya.

Ayu menganggap Puteri Balqis dan Mia adalah pelakon berbakat besar yang bakal menjadi pelapis pada masa depan. - Foto IG Ayu Puteh
Ayu menganggap Puteri Balqis dan Mia adalah pelakon berbakat besar yang bakal menjadi pelapis pada masa depan. - Foto IG Ayu Puteh

Berkongsi lanjut, Ayu berkata dia mempunyai perancangan menyatukan Puteri Balqis dan Mia dalam supertele berjudul Ais Krim Cinta.

"Sejujurnya, saya sudah lama merancang menyatukan mereka dalam supertele, sebelum kontroversi tercetus lagi. Jika diikutkan, nama mereka sudah diletakkan dalam senarai pelakon dalam drama dan filem terbitan syarikat produksi, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd sejak awal bulan lalu.

"Namun, pasukan produksi mahu menyiapkan skrip dan jalan cerita terlebih dahulu. Saya hanya menunggu masa mahu menawarkan projek ini kepada pelakon sahaja.

"Supertele Ais Krim Cinta berkisar mengenai cinta remaja. Selain Puteri Balqis dan Mia, dua pelakon lelaki yang turut membintangi naskhah ini termasuklah Afieq Shazwan dan anak saya, Alif Ali," katanya.

Ekoran itu, Ayu berharap, impian menggabungkan dua pelakon remaja itu disambut baik dan menjadi realiti.

"Saya percaya naskhah ini akan berjaya menarik ramai penonton memandangkan mereka berbakat besar dalam dunia lakonan. Saya mahu mengetengahkan mereka sebagai heroin," katanya.

Terdahulu, Mia menerusi aplikasi TikTok menyentuh kehidupan Puteri Balqis. Komen Mia mengenai Puteri Balqis disalah erti dan tidak bermaksud mengkritik kehidupan pelakon itu.

"Dia (Puteri Balqis) tidak dididik dengan gaya hidup Islamik sejak kecil, nak tegur silakan, tetapi usah letakkan kesalahan pada bahunya," kata Mia.

Menerusi komen dalam ruangan TikTok yang ditinggalkan, Mia menafikan bercakap perkara negatif, sebaliknya tampil mempertahankan Puteri Balqis.

Namun, pendapat Mia mendapat perhatian Puteri Balqis yang menganggap Mia bercakap perkara tidak baik mengenainya.

Puteri Balqis tampil bersuara dan mempersoalkan motif penulisan Mia dalam TikTok, seolah-olah sengaja hendak memburukkannya, sekali gus mencetuskan lebih banyak kecaman netizen buatnya.

Namun, Puteri Balqis tampil membuat permohonan maaf menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam laman Instagram, baru-baru ini, sekali gus mengambil jalan berdamai dengan Mia.

Berita Harian X