Ahad, 13 Februari 2022 | 4:00pm
Lagu Lara kolaborasi Naim bersama Hael dan Haqiem turut memburu gelaran juara. - Foto Ihsan TV3
Lagu Lara kolaborasi Naim bersama Hael dan Haqiem turut memburu gelaran juara. - Foto Ihsan TV3

Debaran AJL 36 pada 6 Mac depan

KUALA LUMPUR: Debaran tarikh penganjuran acara anugerah tahunan berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 akhirnya terjawab apabila diumumkan bakal berlangsung pada 6 Mac depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Pengumuman dilakukan menerusi program Melodi, semalam.

Memilih konsep spektrum warna untuk iklan penjenamaan AJL 36, TV3 menerusi kenyataan dikeluarkan menyatakan konsep itu menepati misi untuk menjadikan AJL 36 lebih meriah selain menterjemahkan atmosfera industri hiburan ketika ini.

"Bagi menyemarakkan acara, iklan penjenamaan AJL 36 berkonsepkan spektrum warna yang melambangkan tenaga muzik turut dilancarkan secara rasmi menerusi TV3 dan laman media sosial, TV3 Malaysia Official, semalam.

"Rentak AJL 36 menyatukan semua finalis dengan mengetengahkan genre muzik berbeza memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar dapat mengharungi cabaran melawan penularan virus COVID-19 bersama.

"Ia juga menggambarkan aura generasi kini yang sentiasa berani mencuba sesuatu yang baru. Selain itu, penggunaan elemen 'glitch' dalam iklan ini juga menjurus kepada era digitalisasi dan moden," kata kenyataan yang dikeluarkan TV3.

Pun begitu, dalam keterujaan meraikan siapa yang bakal dinobatkan sebagai Juara Lagu pada 2021, penganjur tetap akur dengan situasi semasa yang masih diancam dengan penularan pandemik COVID 19 dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Lagu Angkara ciptaan Sharon, manakala lirik oleh Fedtri Yahya dan Nana yang didendangkan Siti Nordiana turut mara ke pentas akhir AJL 36. - Foto Ihsan TV3
Lagu Angkara ciptaan Sharon, manakala lirik oleh Fedtri Yahya dan Nana yang didendangkan Siti Nordiana turut mara ke pentas akhir AJL 36. - Foto Ihsan TV3

Selepas penganjuran norma baharu dalam edisi tahun lalu, TV3 dan produksi akan memperinci SOP yang harus dipatuhi agar AJL 36 dapat dianjurkan dengan terancang, sempurna dan menekankan aspek keselamatan warga kerja terjaga.

Sebanyak 12 lagu bakal berentap pada malam kemuncak AJL 36 selepas melalui saringan pada peringkat separuh akhir, awal bulan lalu.

Penyanyi Aina Abdul yang pernah diangkat pemenang tempat kedua AJL35 menerusi lagu Semalam, tahun lalu, berjaya menempa dua tiket ke peringkat akhir menerusi lagu Sepi.

Lagu Sepi ciptaan Aina, manakala lirik menyaksikan kolaborasi Aina bersama Wan Zakaria. Manakala lagu duet bersama Khai Bahar berjudul Nafas Cinta ciptaan Aina bersama Khai, manakala lirik gabungan Aina, Khai dan Wan Zakaria turut bolos ke AJL 36.

Turut mengekori, Aina dengan dua pencalonan ialah penyanyi dan komposer muda, Naim Daniel menerusi lagu Purnama. Lagu Purnama ciptaan dan lirik Naim bersama Amzar Razqa.

Manakala, lagu kolaborasi Naim bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli berjudul Lara turut berjaya melangkah ke AJL 36. Lara ciptaan Hael dan MFMF, manakala lirik oleh Hael, Naim dan Haqiem.

Sementara itu, menepati ramalan, satu lagu lagi nyanyian Haqiem berjudul Mimpi turut memburu gelaran juara lagu. Mimpi ciptaan Haqiem, manakala lirik ditulis oleh Haqiem bersama Datuk A Aida.

AJL 36 menyaksikan buat julung kali Shiha bertanding atas tiket karya sendiri menerusi lagu AEWO berkolaborasi dengan Noki. - Foto Ihsan TV3
AJL 36 menyaksikan buat julung kali Shiha bertanding atas tiket karya sendiri menerusi lagu AEWO berkolaborasi dengan Noki. - Foto Ihsan TV3

Turut bersaing, lagu Boneka nyanyian Ernie Zakri ciptaan dan lirik oleh Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat dan lagu Salahku nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh komposer muda, Yonnyboii.

Lagu Angkara ciptaan Sharon Paul, manakala lirik oleh Fedtri Yahya dan Nana Alias yang didendangkan Siti Nordiana turut mara ke pentas akhir, selain lagu Cinta nyanyian Marsha Milan ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim, manakala lirik Hang Nadim.

Tidak ketinggalan, lagu Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishammuddin dinyanyikan oleh SOG dan Shila Amzah.

Keunikan lagu Intan Payung dendangan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris berkolaborasi dengan penyanyi rap, Bunga Isme ciptaan Luca Sickta, Bunga, Amzar Razqa, manakala lirik oleh Bunga dan Siqma.

Lagu Aewo menampilkan kolaborasi Shiha bersama Noki K-Clique ciptaan Ezra Kong dan lirik oleh Ezra dan Noki juga bakal berentap pada malam kemuncak AJL 36.

Bagaimanapun, pengumuman siapakah pengacara AJL 36 dan barisan artis yang akan membuat persembahan bakal menyusul tidak lama lagi.

Berita Harian X