Jumaat, 11 Februari 2022 | 11:00am
Antara babak filem C144 yang diinspirasikn menerusi kisah kapal pejuang C-47B terhempas ketika Perang Dunia Kedua pada 1945 di hutan Malaysia.
Antara babak filem C144 yang diinspirasikn menerusi kisah kapal pejuang C-47B terhempas ketika Perang Dunia Kedua pada 1945 di hutan Malaysia.

C144 cipta sejarah tembusi Hollywood

KUALA LUMPUR: Seperti Roh dan Prebet Sapu, filem bergenre thriller, C144 meletakkan harapan untuk karya arahan Jack Wong itu berjaya menjadi wakil Malaysia ke Anugerah Akademi atau Oscar, tahun hadapan.

Bagaikan permulaan yang baik apabila filem terbitan Redboy Pictures Sdn Bhd itu melepasi semua syarat ditetapkan termasuk bakal ditayangkan di Noho7 Laemmle Theatre @ Lankershim Boulevard, Hollywood pada April ini.

Filem C144 mencipta sejarah apabila menjadi filem Malaysia pertama yang akan ditayangkan di Hollywood, tahun ini. Tayangan perdana filem yang menelan belanja RM1.9 juta itu akan berlangsung di Laemmle Theatre @ Lankershim Boulevard akan diadakan serentak dengan tayangan di Malaysia pada 17 Februari ini.

Selain itu, filem yang mengangkat kisah benar berkaitan kehilangan pesawat Amerika Syarikat (AS) di hutan Malaysia ketika Perang Dunia Kedua bakal ditayangkan 12 negara seperti Jepun, Korea, China, Filipina, Singapura, Indonesia dan beberapa negara Eropah.

Penerbit Redboy Pictures, Aaron Lim berkata, enggan dilabel filem syok sendiri, pasukan produksi filem C144 sanggup turun padang bagi melakukan kajian untuk mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap filem berunsur triller itu sebelum ditayangkan.

"Kajian dijalankan selama setahun dengan 500 responden termasuk pelancong asing dan golongan pelajar. Daripada maklum balas diterima, barulah proses suntingan dan pos produksi dilakukan.

"Malah, pasukan produksi sanggup melakukan semula penggambaran bagi memastikan kualiti filem menepati selera penonton.

Walaupun terpaksa mengambil masa selama setahun bagi melakukan kajian fokus, tetapi, ia bukan sesuatu yang membebankan kerana tidak mahu filem kelihatan syok sendiri.

"Hasrat produksi membawa filem C144 menembusi pasaran antarabangsa, jadi kami tidak boleh menghasilkan filem asal boleh. Saya dan pengarah, Jack Wong perlu mengenepikan kehendak kami menerusi filem ini.

"Nyata, apa yang dilakukan tidak sia-sia apabila filem C144 mendapat peluang ditayangkan di pawagam di Laemmle Theatre @ Lankershim Boulevard selama seminggu pada April depan," katanya kepada BH Online.

Aaron berkata, majlis tayangan perdana bakal dihadiri pengkritik filem Hollywood, sekali gus membuka kepada filem C144 bertanding dalam Anugerah Akademi bagi kategori utama.

Penerbit Redboy Pictures, Aaron Lim berkongsi, tayangan perdana bakal dihadiri pengkritik filem Hollywood, sekali gus membuka ruang filem C144 bertanding dalam Oscar bagi kategori utama.
Penerbit Redboy Pictures, Aaron Lim berkongsi, tayangan perdana bakal dihadiri pengkritik filem Hollywood, sekali gus membuka ruang filem C144 bertanding dalam Oscar bagi kategori utama.

Katanya, ini satu perkembangan yang baik bagi filem Malaysia ditayangkan di Hollywood. Ini kerana pasukan produksi amat teliti dalam penghasilan filem, malah, tidak kisah perjalanan menyiapkan filem C144 mengambil tempoh lama selama hampir lima tahun.

Bagaimanapun, kata Aaron, dia tidak mahu mengharapkan harapan terlalu tinggi bagi kemenangan untuk acara berprestij bertaraf antarabangsa itu.

Apa yang penting, katanya, karya Malaysia diiktiraf ke peringkat lebih tinggi, apatah lagi, peluang tidak datang selalu.

"Mana-mana filem ditayangkan di Hollywood berpeluang bertanding pada Anugerah Akademi bagi kategori utama.

"Mereka tertarik menayangkan filem C144 kerana adanya elemen budaya dalam karya, di mana kami ada memaparkan mengenai orang Asli.

"Bagi mereka, ia satu tarikan jualan yang menarik kerana adanya elemen budaya dalam filem C144. Kami berjaya memeterai perjanjian untuk tayangan di Hollywood, tahun lalu," kata Aaron.

Biarpun belum ditayangkan, filem yang bakal menjengah 37 pawagam di Malaysia pada 17 Februari ini sudah melakar beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa.

Antaranya, C144 pernah merangkul Filem Terbaik Dalam Alam Semulajadi, Persekitaran dan Hidupan Liar di Karnival Filem Dunia, Singapura pada 2021; Penulis Terbaik, Festival Filem Alternatif, Kanada (2020), Sinematografi Terbaik, Festival Filem Sinematik Eropah (2021) dan Filem Terbaik, Festival Filem Eropah Timur (2020).

Mengulas tindakan berani mempertaruhkan pelakon tiada nama dalam membintangi karya terbitannya, Aaron berkata, dia menyandarkan kepercayaan kepada wajah baharu.

Katanya, dia bukan ingin bersaing dengan pasaran filem Melayu dan Cina tempatan, sebaliknya, niatnya menghasilkan filem C144 bagi mewarnai industri serta melahirkan kelompok 'urban muda'.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid (tengah) bersama pasukan filem C144 ketika menghadiri tayangan perdana, baru-baru ini.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid (tengah) bersama pasukan filem C144 ketika menghadiri tayangan perdana, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, menjadi hasrat pasukan produksi untuk melihat filem C144 berjaya menjengah ke pasaran luar negara.

Selain pawagam, filem C144 yang diinspirasikan daripada kisah kapal pejuang C-47B yang terhempas ketika Perang Dunia Kedua pada 1945 sedang dalam proses perbincangan untuk ditayangkan di platform Over The Top (OTT) premium di AS dan United Kingdom.

"Dalam situasi tidak menentu akibat pandemik, saya tidak meletakkan harapan besar filem C144 mampu mencecah kutipan sehingga puluhan juta ringgit.

"Bagi saya, asalkan separuh panggung penuh dan filem dapat disiarkan di platform lain sudah memadai.

"Tetapi, saya tetap mahu filem C144 ditonton oleh masyarakat tempatan terutama generasi muda dan urban.

"Namun, pada masa sama, saya juga ingin membawa filem C144 ke peringkat global bagi memperkenalkan nama Malaysia di mata dunia," katanya.

Filem C144 menelan belanja RM1.9 juta menjalani penggambaran selama hampir dua bulan di Beruas, Perak; Bentong dan Raub, Pahang serta Kuala Lumpur.

Ia mengisahkan dua ahli perkhemahan amatur, Jason dan Kamal terjumpa tinggalan pesawat C-47B yang digunakan oleh tentera Amerika bagi menghantar bekalan makanan yang terhempas di Malaya pada 1945 semasa Perang Dunia Kedua.

Penemuan bersejarah itu membuatkan mereka mendapat keuntungan besar dengan cepat, malah, timbul idea mengadakan satu ekspedisi ke tapak nahas untuk pengembara yang ingin tahu mengenai penemuan tanpa mengetahui rahsia yang tersembunyi.

Berita Harian X