KUALA LUMPUR: Pelakon Syifa Melvin, 28, menafikan pertelingkahan antaranya dan tiga adik-beradik menerusi sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG) sekadar gimik demi meraih perhatian.
Syifa berkata, pertikaman lidah The Melvins membabitkannya dengan Syatilla, Syafiqa dan Syida adalah realiti sebenar yang selalu berlaku sepanjang tiga tahun mengusahakan perniagaan bersama.
"Itulah realiti sebenar kami adik beradik dalam menguruskan perniagaan membabitkan ahli keluarga. Namun, kami tetap menyayangi antara satu sama lain.
"Jujurnya, sedutan rakaman CCTV yang dikongsikan dalam IG bukan gimik. Kami memang sengaja ambil rakaman dan berkongsi dalam media sosial.
"Lagipun, kami kesuntukan masa untuk melakukan kandungan video yang biasa dilakukan sepanjang pandemik," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Syatilla memuat naik sedutan rakaman video berdurasi satu minit yang memperlihatkan empat beradik itu bertikam lidah, sebelum Syatilla berang lalu keluar daripada pejabat.
Pelakon drama Sis Cuba dan Bulan Di Kota Langit itu berkata, walaupun sering bertelingkah, ia tidak sesekali membuatkan mereka bermusuh, sebaliknya tetap profesional menjalankan tugas masing-masing.
"Jika diikutkan, pertikaman lidah sering berlaku sepanjang tiga tahun menguruskan perniagaan. Memang begitu cara kami adik-beradik bekerja.
"Namun, sebaik melangkah keluar dari pejabat, hubungan adik-beradik tetap utuh seperti biasa. Tiada istilah bermasam muka atau simpan kemarahan dalam hati berminggu-minggu.
"Saya percaya setiap orang yang menjalankan perniagaan pasti melalui masalah sama apabila ada percanggahan pendapat, namun, kami selalu mengamalkan konsep suara majoriti mencapai kata sepakat," katanya.
Syifa berkata, dia tidak menafikan sejak Syatilla hamil dan mengalami masalah pada kandungannya, dia banyak menghabiskan masa di rumah.
"Perselisihan faham mula berlaku apabila Syatilla tidak tahu perkembangan terkini, sedangkan ia adalah sebahagian tugasnya memantau dan mengambil tahu urusan syarikat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mereka sudah faham sikap masing-masing dan sebaik mungkin cuba bertolak ansur.