Rabu, 9 Februari 2022 | 6:00pm
Zamani mengharapkan doa peminat agar dirinya dan isteri berpeluang menimang cahaya mata pada suatu masa nanti. - NSTP/Rohanis Shukri
Zamani mengharapkan doa peminat agar dirinya dan isteri berpeluang menimang cahaya mata pada suatu masa nanti. - NSTP/Rohanis Shukri

Zamani menanti kehadiran cahaya mata

KUALA LUMPUR: Lebih dua tahun bergelar suami, vokalis kumpulan Slam, Zamani reda dengan ketentuan Ilahi masih belum dikurniakan cahaya mata.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 50 tahun itu mengharapkan doa peminat agar dirinya dan isteri berpeluang menimang cahaya mata suatu masa nanti.

"Saya masih mencuba, tetapi buat masa ini, masih belum ada rezeki lagi.

"Saya berkahwin pada usia yang agak lambat, jadi, apapun doakan saya mendapat baby 'junior' suatu hari nanti," katanya kepada BH Online.

Zamani ditemui pada majlis sidang media A Night To Remember bersama Datuk Jamal Abdillah yang bakal berlangsung pada 26 Mac depan.

Zamani memilih Nur Juliana Abdul Rani, 38, sebagai pasangan hidupnya selepas 14 tahun saling mengenali. Juliana juga pembantu peribadi Zamani di syarikat ZIME Production milik Zamani dan keluarganya.

Pasangan itu disatukan pada 20 September 2019 dalam satu acara tertutup yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Zamani teruja apabila muncul dengan dua konsert bersama Jamal dan kumpulan Slam dalam masa yang terdekat ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Zamani teruja apabila muncul dengan dua konsert bersama Jamal dan kumpulan Slam dalam masa yang terdekat ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Pada majlis berkenaan, Zamani tidak mengundang pihak media sebagai menghormati permintaan keluarga.

Berkongsi mengenai acara A Night To Remember, Zamani mengakui teruja kerana sudah hampir dua tahun tidak mengadakan persembahan secara terbuka.

Namun, pada masa sama, Zamani berkata, dia bimbang dengan angka jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat.

Katanya, dia bakal menyanyikan enam lagu dan memilik koleksi lagu yang jarang dinyanyikan sebelum ini.

"Selepas dua tahun tidak dapat menjayakan persembahan, semestinya saya sangat teruja. Lebih lagi, dua konsert yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat termasuk Konsert Slam Mentari Muncul Lagi pada Sabtu ini.

"Saya berharap segala-gala perancangan akan berjalan dengan lancar dan angka jangkitan COVID-19 yang meningkat tidak akan menjejaskan persembahan kami," katanya.

Berita Harian X